Parti Titik Merah Bersatu (RDU) pada 23 Mac memperkenalkan calon pembangkang yang mungkin bertanding bagi Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Jurong Central yang baru.
Cik Emily Woo, 59 tahun, seorang guru piano, memperkenalkan dirinya kepada penduduk semasa lawatan bertemu penduduk di Pasar dan Pusat Penjaja Yuhua sebagai ketua pasukan RDU untuk kawasan itu.
Cik Woo akan mengetuai persediaan asas di SMC Jurong Central, kata setiausaha agung RDU, Encik Ravi Philemon, lapor The Straits Times.
Namun beliau menambah, masih terlalu awal untuk mengesahkan mana-mana calon untuk pilihan raya umum 2025 (GE2025) akan datang.
“Banyak perkara boleh berubah dari sekarang hingga Hari Penamaan Calon,” katanya kepada pemberita semasa lawatan bertemu penduduk itu.
Cik Woo, yang menyertai RDU pada 2020, berkata beliau adalah penduduk di SMC baru itu.
Bekas guru di Kementerian Pendidikan (MOE) itu telah menjadi guru piano bebas sejak tahun 2000.
Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam muzik daripada Universiti Institut Katolik di Paris.
Bekas ahli Parti Perpaduan Nasional (NSP), Encik Mohamed Fazli Talip, yang menyertai RDU pada 2020, turut dilihat bertemu dengan penduduk.
Cik Woo berkata beliau telah menjadi sukarelawan dalam masyarakat, dan berkata penduduk mengambil berat tentang isu seperti kos sara hidup.
“Kami akan mendengar masalah mereka dan melakukan yang terbaik untuk bercakap bagi pihak mereka. Dasar RDU akan ke arah itu,” tambahnya.
Tiada parti pembangkang lain yang akan bertanding merebut SMC Jurong Central setakat ini, dan Encik Philemon percaya pertarungan tiga penjuru tidak mungkin berlaku.
Parti pembangkang amat menyedari bahawa pertandingan pelbagai penjuru akan memberi kelebihan kepada penyandang, dan akan berusaha mengelaknya, katanya.
Encik Philemon berkata RDU sebelum ini berharap GRC Jurong akan kekal utuh untuk GE2025, tetapi masih berasa lega kerana ia telah membuat persediaan di Jurong Central juga.
“Kami akan menghantar calon terbaik kami untuk bertanding di kawasan undi ini,” katanya.
RDU memperoleh 25.39 peratus undi dalam GRC Jurong pada GE2020.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg