Parti pembangkang, Titik Merah Bersatu (RDU) akan bertanding di GRC Nee Soon dalam Pilihan Raya Umum (GE) akan datang setelah Parti Kuasa Rakyat (PPP) memberi laluan bagi mengelakkan persaingan tiga penjuru di kawasan undi yang diwakili Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu.
Kedua-dua ketua RDU dan PPP mengumumkan demikian di satu sidang media bersama di Pusat Bandar Yishun pada 22 Mac.
Keputusan tersebut dicapai setelah RDU dan PPP berbincang tentang siapa yang akan bertanding di kawasan undi itu setelah laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) dikeluarkan pada 11 Mac.
“Saya telah mengadakan beberapa perbincangan dengan Encik Ravi Philemon daripada RDU dan kami telah membuat membuat keputusan bahawa sudah tiba masanya untuk kami membiarkan RDU mempunyai persaingan yang ‘bersih’ di Nee Soon,” kata Setiausaha Agung PPP, Encik Goh Meng Seng.
Encik Philemon, Setiausaha Agung RDU, mengucapkan terima kasih kepada Encik Goh dan PPP kerana memberi laluan kepada partinya bertanding di GRC Nee Soon.
“Kami telah menemui penduduk di kawasan ini. Kami tahu apakah kekuatan kami. RDU akan melakukan yang terbaik untuk memenangi GRC Nee Soon bagi tujuan yang kami yakini,” katanya.
Semasa GE2020, GRC Nee Soon ditandingi oleh PAP dan Parti Kemajuan Singapura (PSP).
Pasukan PAP, yang terdiri daripada Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; serta Cik Carrie Tan, Encik Louis Ng, dan Encik Derrick Goh, menang dengan 61.9 peratus undi.
Pemerhati politik menjangkakan persaingan tiga penjuru di Nee Soon antara PAP, RDU dengan PPP selepas kedua-dua parti pembangkang mengisytiharkan yang mereka akan bertanding di kawasan undi itu.
Menurut Encik Philemon, RDU, yang diasaskan pada Mei 2020, telah mula menemui penduduk di Nee Soon sejak Ogos 2024.
Beliau berkata masih terlalu awal untuk mengumumkan siapa yang parti tersebut akan kemukakan untuk bertanding di GRC Nee Soon yang terdiri daripada lima orang.
Menurutnya, ada 25 calon yang telah berlatih bersama parti itu sejak Februari 2024.
Selain GRC Nee Soon, RDU merancang bertanding di GRC Jurong East-Bukit Batok dan GRC Tanjong Pagar serta SMC Jurong Central, SMC Jalan Kayu dan SMC Radin Mas.
Sementara itu, PPP berkata ia berhasrat bertanding di SMC Jalan Kayu dan SMC Tampines Changkat serta GRC Ang Mo Kio dan GRC Tampines.
RDU dan PPP kini sedang berbincang tentang parti mana yang akan bertanding di SMC Jalan Kayu memandangkan kedua-duanya telah menyuarakan hasrat bertanding di situ.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg