Tatkala diumumkan beliau antara muka baru Parti Pekerja (WP) yang bakal bertanding dalam pilihan raya umum (GE) akan datang, Cik Siti Alia Abdul Rahim Mattar menerima banyak mesej daripada kenalannya yang berbunyi seperti:
“(Anda) Berani ya?”
Meskipun sedar terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dalam menceburi dunia politik, lebih-lebih lagi sebagai anggota parti pembangkang, Cik Alia menyahut cabaran itu dengan penuh semangat kerana berasa sudah tiba masanya beliau menyumbang dan membuat kelainan untuk masyarakat dan negara.
Peguam di sebuah syarikat berbilang negara (MNC) berusia 43 tahun itu diperkenalkan sebagai antara muka baru WP dalam satu sidang media pada 17 April.
Minatnya memasuki arena politik tercetus menyusuli satu kejadian yang berlaku pada 2024.
Anak beliau pulang dari sekolah dan menceritakan kepadanya tentang pelajaran Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) mengenai konflik Israel-Palestin yang diajarkan dalam kelas, namun Cik Alia rasa kurang selesa dengan kandungan yang disampaikan.
Pelajaran CCE itu – yang menjadi tajuk berita pada awal 2024 – turut menimbulkan keprihatinan dalam kalangan sesetengah ibu bapa lain, yang melahirkan rasa kurang senang terhadap kandungan pelajaran dan cara anak-anak mereka diajar tentang konflik itu.
“Saya telah menulis kepada Anggota Parlimen (AP) di kawasan undi saya dan responsnya kurang menyenangkan.
“(Kemudian) Saya telah menulis juga kepada AP WP dan mereka membangkitkan isu ini di Parlimen. Dari situ, saya rasa yang saya perlu menolong, dan dari situ juga, saya memutuskan untuk menjadi sukarelawan untuk WP,” tambahnya, yang menjadi sukarelawan parti pembangkang itu sejak sekitar Mac 2024.
Meskipun belum diketahui kawasan manakah Cik Alia akan bertanding dalam GE 2025, beliau berkongsi dengan Berita Harian (BH) bahawa beliau aktif mendekati penduduk Tampines.
Menyifatkan dirinya sebagai tidak suka bergaul, Cik Alia pada mulanya berasa kurang selesa apabila kali pertama melakukan lawatan ke rumah penduduk.
Namun dengan masa, perasaan itu mula lenyap dan beliau berasa gembira dapat membantu penduduk dan mengetengahkan isu-isu dan maklum balas yang diberikan kepada AP mereka.
“Kalau saya tidak menjadi sukarelawan, saya tidak akan mengetahui apa-apa isu yang dihadapi oleh orang lain,” kata beliau.
Sebagai ibu kepada tiga anak berusia antara 12 dengan 18 tahun, antara isu yang dekat pada hatinya adalah berkenaan pembangunan anak-anak.
Lazimnya, kebimbangan yang ada dalam hati ramai ibu bapa adalah penekanan kepada kejayaan akademik, namun Cik Alia berkata perkara itu perlu diteliti kerana ia memberi kesan kepada kesihatan mental dan fizikal anak-anak.
Beliau turut menekankan pentingnya usaha membina masyarakat yang lebih berempati dan lebih menghormati antara satu sama lain, di samping masyarakat yang peka tentang isu-isu di peringkat nasional dan global.
“Langkah pertama sebagai ibu bapa adalah untuk kita membesarkan anak-anak kita menjadi anak-anak yang berempati dan menghormati dalam cara mereka berbincang.
“Pada masa yang sama, kita harus juga menggalakkan pertukaran idea dan perkongsian tentang kebimbangan yang ada. Saya rasa sama-sama ini akan membuatkan masyarakat kita lebih berjaya kerana kita perlu ingat bahawa anak-anak kita adalah masa depan kita,” kata beliau.
Berkongsi tentang isu-isu yang menjadi keprihatinannya khusus bagi masyarakat Melayu/Islam pula, Cik Alia berkata beliau bimbang dengan sesetengah keluarga yang masih hidup di bawah garis kemiskinan, sambil menambah perlunya membantu keluarga sedemikian keluar daripada lingkaran kemiskinan.
Meskipun baucar yang diberikan pemerintah akan membantu keluarga tersebut, ia bukan penyelesaian jangka panjang, tambah beliau, dan perlu dipastikan bantuan dan penyelesaian yang diberikan kepada mereka dapat benar-benar menangani masalah yang dihadapi.
“Sebagai contoh, saya pernah berjumpa sebuah keluarga yang memberitahu saya mereka selalu diberikan makanan kering dan biskut oleh akar umbi mereka dengan banyaknya, sehinggakan mereka memberikannya kepada jiran-jiran. Dari situ, saya sedar bahawa isu yang mereka hadapi bukanlah makanan yang tidak cukup.
“Saya rasa kalau kita dapat tahu apakah isu yang dihadapi, pemerintah dan masyarakat boleh bekerjasama untuk mewujudkan bersama penyelesaian atau huraian untuk isu-isu yang dihadapi,” ujarnya.
Cik Alia bagaimanapun mengakui bahawa beliau masih baru dalam bidang politik dan ingin mengenali lebih lanjut isu-isu yang dihadapi keluarga Melayu/Islam.
Sedar akan persepsi ataupun stigma yang mungkin terkait dengan parti pembangkang, Cik Alia berharap cara pemikiran sedemikian dapat berubah dan warga negara dapat melihat bahawa parti pembangkang, terutama WP, juga dapat membentangkan dasar-dasar yang boleh memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Justeru, menjelang GE2025 akan datang ini, beliau berharap rakyat Singapura akan memikirkan tentang dasar dan isu-isu yang menjadi keprihatinan mereka dan juga AP yang bakal mewakili mereka untuk mengetengahkan kebimbangan dan maklum balas mereka di Parlimen.
“Saya harap pengundi akan memikirkan dengan lebih mendalam tentang parti mana yang dapat mewakili mereka dan mendengar suara mereka di Singapura,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg