Parti Pekerja (WP) menampilkan empat muka baru termasuk dua calon Melayu, yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Mereka adalah peguam, Cik Siti Alia Abdul Rahim Mattar, 43 tahun, dan pengurus kanan hartanah, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, 36 tahun.
Dua lagi muka baru yang diumumkan adalah Encik Kenneth Tiong – yang akan bertanding di GRC Aljunied – dan Cik Eileen Chong.
Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh, dan pengerusi parti, Cik Sylvia Lim, mengumumkan barisan calon itu sempena pelancaran manifesto parti menjelang Pilihan Raya Umum (GE) 2025 di ibu pejabat parti di Geylang Road pada 17 April.
Encik Pritam berkata gabungan muka baru dan anggota sedia ada akan dapat memberikan perspektif berbeza, memandangkan calon-calon ini datang dari latar belakang yang pelbagai.
Ini sekali gus membolehkan parti itu mengetengahkan pandangan daripada pelbagai segmen masyarakat, tambahnya.
“Apabila anda sertai parti pembangkang, situasi adalah sangat berbeza – sesuatu yang bakal calon perlu faham dan pertimbangkan.
“Jadi kami mengetengahkan calon terbaik yang kami dapat perolehi, yang bersedia untuk mengambil jalan lebih sukar bagi mewakili suara rakyat Singapura di Parlimen,” ujarnya.
Semasa memperkenalkan dirinya, Cik Siti Alia berkata beliau ingin mengetengahkan isu subsidi kesihatan di hospital dan bantuan bagi golongan warga senja, sekiranya diberi mandat – Encik Pritam tidak mendedahkan di mana Cik Siti Alia akan diketengahkan.
Ibu tiga orang anak itu, yang pernah berkhidmat di Jabatan Perundangan di Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata:
“Saya adalah daripada golongan generasi terhimpit – saya menjaga anak-anak dan juga ayah saya yang lanjut usia.
“Seperti warga Singapura yang lain, saya bimbang dengan kos sara hidup yang meningkat yang menjejas semua.”
Berdasarkan pengalamannya menjaga ayah beliau, Cik Siti Alia menambah golongan ini memerlukan lebih bantuan dari segi pengendalian pengurusan kewangan berikutan penyakit kronik yang sering terkait dengan menua.
Bagi Encik Abdul Muhaimin pula, beliau yang sebelum ini kelihatan di Sengkang, terdorong untuk tampil dan berkhidmat kerana ingin menjadi wakil menyuarakan rakyat jelata.
Pengurus hartanah bersama Majlis Bandaran Aljunied-Hougang sejak 2015 itu, yang diperkenalkan sebagai calon GRC Sengkang, berkata:
“Saya tahu bagaimana rasanya untuk merasa risau tentang pinjaman perumahan pada masa hadapan, perbelanjaan harian dan sama ada anda mempunyai dana cukup pada hari persaraan.
“Ini adalah cabaran sebenar yang dikongsi penduduk Sengkang semasa saya berinteraksi dengan mereka.
“Itulah sebabnya saya tampil bagi menyuarakan keprihatinan mereka, mendengar cabaran dan kebimbangan mereka dan menjadi wakil suara mereka.”
Sementara itu, Enck Pritam tidak mendedahkan jumlah kawasan undi yang akan ditandingi, di samping bilangan calon yang parti itu akan ketengahkan pada GE2025.
Beliau berkata matlamat lebih besar adalah bagi memastikan parti itu mengemukakan pasukan sesuai yang dapat memperjuangkan kepentingan Singapura dan rakyat Singapura.
“Adakah PAP telah memperkenalkan calonnya bagi GRC Marine Parade-Braddel Heights dan East Coast secara rasmi?
“Mereka pun tidak banyak bercakap mengenai barisan calon terakhir (bagi kawasan undi ini)… itu bukanlah satu kebetulan,” ujarnya.
“
“Apabila anda sertai parti pembangkang, situasi adalah sangat berbeza – sesuatu yang bakal calon perlu faham dan pertimbangkan. Jadi kami mengetengahkan calon terbaik yang kami dapat perolehi, yang bersedia untuk mengambil jalan lebih sukar bagi mewakili suara rakyat Singapura di Parlimen.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg