Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Orang muda lebih berani bersuara, mahu didengari

May 13, 2025 | 5:30 AM
Demografik pengundi yang lebih muda pada masa ini lantang bersuara, lebih proaktif dan bersikap kritikal dalam menentukan arah masa depan negara.
Demografik pengundi yang lebih muda pada masa ini lantang bersuara, lebih proaktif dan bersikap kritikal dalam menentukan arah masa depan negara. - Foto fail

Sekadar seorang rakyat Singapura yang menunggu giliran dalam barisan untuk mengundi – itulah peranan saya semasa Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).

Namun, pada GE2025 yang baru lalu, saya melihatnya daripada sudut berbeza.

Selain menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Singapura buat kali kedua, saya kini turut memikul peranan sebagai wartawan di akhbar nasional.

Peranan ini bermakna ‘pengembaraan’ GE saya bermula lama sebelum Writ Pilihan Raya diumumkan, termasuk ‘mengekori’ dan cuba mengenali individu yang dianggap akan menjadi calon dan bercakap dengan seberapa banyak penduduk yang termampu untuk mencongak harapan dan keprihatinan mereka.

Pada Hari Penamaan Calon pula, selepas membuat liputan yang sewajarnya, saya dan rakan wartawan di bilik berita membuat liputan dari satu rapat ke satu rapat yang lain, memburu wawancara dengan calon-calon tertentu sehinggalah Hari Mengundi tiba.

Keputusan GE2025 – kemenangan besar untuk Parti Tindakan Rakyat (PAP) sesuatu yang menarik perhatian ramai kerana ia memberi mandat kukuh yang didamba Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Di akhir Hari Mengundi pada 3 Mei, PAP meraih undi popular 65.57 peratus berbanding 61.24 peratus pada GE2020. WP pula meraih undi popular 50 peratus, berbanding 50.5 peratus pada GE2020.

Namun bagi saya, lebih menonjol ialah perubahan dari segi ‘nada’ pengundi dan landskap politik di Singapura.

Pengundi hari ini, dengan penyertaan lebih besar daripada golongan muda, tampil lebih lantang bersuara, lebih proaktif dan kritikal dalam menentukan arah masa depan negara. Media sosial amat membantu dalam aspek ini.

Demikian bukanlah sekadar pemerhatian di lapangan.

Pengalaman membuat liputan, terutamanya di GRC Punggol, mencadangkan kewujudan kumpulan pengundi lebih muda yang lebih terbuka mempertimbangkan pilihan alternatif selagi aspirasi mereka diberi perhatian.

Ramai yang saya temui menekankan mereka mahu menilai calon berdasarkan visi jangka panjang dan mutu penyampaian. Mereka bukan sahaja menuntut jawapan yang jelas, malah mahukan huraian yang mampan bagi masa depan mereka dan negara.

Mereka juga tampil dengan suara yang lebih yakin, tidak sekadar menunaikan tanggungjawab mengundi, tetapi benar-benar ingin memahami dan menilai dasar yang diutarakan calon dan parti mereka serta tahap komitmen calon-calon tersebut.

Statistik dan laporan semasa menunjukkan bahawa golongan muda – Gen Z dan milenial – membentuk sebahagian besar landskap politik di Singapura.

Media setempat melaporkan bahawa GE2025 menyaksikan peningkatan ketara dari segi penglibatan golongan muda, bukan sahaja sebagai pengundi tetapi juga sebagai calon.

Penyertaan lebih aktif pengundi muda tidak datang begitu sahaja.

Ia lahir daripada pengalaman yang membentuk mereka – pandemik global, ketidaktentuan ekonomi dan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Ramai antara mereka yang saya temui di lapangan menyuarakan harapan untuk lebih banyak dasar yang inklusif, peluang pekerjaan yang mampan, dan jaminan sosial yang kukuh.

Mereka bukan sekadar bertanya tentang janji kempen, malah mahukan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan dasar dan menyusuli itu kaedar mengukur keberkesanannya.

Fenomena ini juga mencerminkan satu perkembangan dalam demokrasi Singapura.

Kematangan politik tidak semata-mata diukur melalui pertukaran kuasa, tetapi bagaimana wacana dan penglibatan rakyat berkembang dari masa ke masa.

Hakikat bahawa golongan lebih muda kini lebih vokal dan berani mengutarakan dasar awam menunjukkan bahawa politik di Singapura semakin berakar di hati masyarakat.

Mereka juga mahukan perwakilan pembangkang di Parlimen, sesuatu yang dicerminkan dalam keputusan GE2025.

Selain mempertahankan 10 kerusi Parlimen yang dimenanginya pada GE2020, Parti Pekerja (WP) turut memperkukuh kedudukannya di GRC Sengkang, meraih 56.31 peratus undi berbanding 52.13 peratus undi yang dimenanginya pada 2020. Ia juga meraih 62.17 peratus undi di SMC Hougang berbanding 61.19 peratus undi pada GE2020. Di Aljunied ia meraih peratusan undi yang serupa pada GE2025 berbanding GE2020.

Ia gagal mendapat undi majoriti di GRC Punggol, GRC Tampines, GRC East Coast serta di dua SMC, Tampines Changkat dan Jalan Kayu, tetapi pasukannya di kawasan undi tersebut masing-masing meraih lebih 40 peratus undi.

Malah keputusan undi di SMC Jalan Kayu dan GRC Tampines bermakna WP boleh menamakan dua Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) bagi penggal Parlimen akan datang ini.

Sebagai seorang wartawan lebih muda yang berpeluang mengikuti perjalanan pilihan raya ini, saya melihat harapan yang besar dalam keterlibatan generasi muda dalam politik.

Saya harap ia bukan sekadar trend sementara, tetapi mencerminkan proses kematangan yang boleh memanfaatkan Singapura dan proses demokrasi di sini.

Perjalanan ini, bagi negara yang akan meraikan ulang tahun ke-60 tahun ini, masih panjang.

Hanya masa akan menunjukkan hasil proses kematangan ini.

Namun, tidak kira warna sepanduk yang dikibarkan di hati, setiap rakyat harus berkongsi matlamat serupa – iaitu keinginan untuk melihat Singapura terus berjaya dan maju.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg