Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyandang, pembangkang, perlu terus giat yakinkan pengundi lebih arif

May 13, 2025 | 5:30 AM
Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) menggambarkan landskap politik yang semakin berubah di Singapura.
Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) menggambarkan landskap politik yang semakin berubah di Singapura. - Foto fail

Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) merupakan sebuah pengalaman yang amat bersejarah, bukan sahaja sebagai seorang rakyat Singapura yang mengundi buat kali kedua, malah juga sebagai seorang wartawan muda yang sedang belajar memahami denyut nadi masyarakat.

Daripada mengikuti rapat pilihan raya, mengenali calon-calon yang bertanding, hinggalah menyaksikan detik penting pada Hari Penamaan Calon dan pada Hari Mengundi, saya memperoleh pandangan yang lebih mendalam terhadap proses demokrasi di negara ini.

Apa yang paling ketara sepanjang liputan tanpa henti dan malam-malam yang berlarutan ialah betapa lantang dan bangganya suara kolektif rakyat Singapura.

Aspirasi rakyat untuk diwakili barisan pemerintah yang paling menyakinkan dalam usaha menjamin masa depan negara, di kala dunia yang bergelora dan saat ketidaktentuan, tidak disambut dengan sikap acuh tak acuh.

Sebaliknya, parti-parti politik telah mengangkat suara rakyat menerusi manifesto yang mencerminkan keperluan dan aspirasi masyarakat.

Setiap lapisan masyarakat mempunyai keprihatinan yang berbeza.

Bagi golongan keluarga muda, generasi terhimpit, golongan bujang dan juga pelajar, keresahan yang berlegar di benak fikiran mereka berkaitan dengan kos sara hidup yang kian meningkat – termasuk kos perumahan dan kos perubatan yang sukar dimampui tanpa bantuan pemerintah.

Perang dagang pula membuat peniaga dan usahawan cemas dan bimbang sekiranya niaga mereka terjejas dek tarif dan sekatan.

Isu-isu demikian menjadi intipati yang diperjuangkan dalam GE2025.

Namun, keputusan pilihan raya ini mencetuskan pelbagai reaksi.

Di sesetengah kawasan undi, sokongan padu terhadap Parti Tindakan Rakyat (PAP) masih kukuh, manakala di tempat lain seperti GRC Sengkang dan SMC Hougang, Parti Pekerja (WP) terus mengukuhkan kedudukan dengan majoriti kemenangan yang semakin meningkat.

PAP menang dengan margin melebihi 80 peratus undi di kawasan seperti GRC Tanjong Pagar, SMC Queenstown dan SMC Jurong Central.

Sementara itu, prestasi sesetengah parti pembangkang lain dilihat agak suram dengan keputusan yang tidak memberangsangkan.

Parti Perpaduan Nasional (NSP) mendapat 0.18 peratus undi di GRC Tampines dan 2.32 peratus undi di GRC Sembawang.

Parti Kuasa Rakyat (PPP) meraih 0.43 peratus undi di GRC Tampines dan 10.21 peratus undi di GRC Ang Mo Kio.

Keseluruhan keputusan ini menggambarkan satu landskap politik yang semakin berubah di Singapura.

Ia satu petanda bahawa rakyat semakin berani bersuara dan menuntut wakil yang boleh dipercayai untuk mewakili harapan mereka.

Namun, meskipun terdapat parti pembangkang yang menawarkan perwakilan alternatif, ia tidak menjamin undi.

Malah sebaliknya, pengundi dapat membezakan antara calon dan parti yang bermutu dengan calon dan parti yang masih perlu digilap kebolehpercayaannya.

Penyandang kerusi tidak terlepas daripada pemerhatian tajam para pengundi.

Dalam suasana politik yang semakin matang dan berinformasi, mereka tidak lagi boleh bersandar kepada rekod lalu semata-mata.

Sebaliknya, mereka perlu bekerja lebih keras untuk membuktikan bahawa mereka masih relevan dan mampu memenuhi aspirasi semasa rakyat.

Setiap janji diteliti, setiap tindakan dinilai, dan kepercayaan rakyat bukan sesuatu yang boleh diambil mudah.

Justeru, penyandang kini berdepan dengan cabaran untuk terus mendekati masyarakat, melibatkan diri secara aktif dan menunjukkan bahawa mereka benar-benar ingin berkhidmat demi kepentingan rakyat dan bukan sekadar mempertahankan kedudukan.

Satu kemenangan bagi negara ini ialah tiada parti yang ‘bermain’ politik kotor.

Sebaliknya, keperluan rakyat diutamakan – dilihat menerusi tujuan dasar-dasar yang diusul demi menggapai masa depan yang lebih cerah untuk negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg