Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Undang-undang baru tangani bahan palsu dalam talian mula berkuat kuasa

ELD keluarkan panduan bagi kempen pilihan raya
Apr 15, 2025 | 9:17 PM
Jabatan Pilihan Raya (ELD) mengeluarkan garis panduan bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Jabatan Pilihan Raya (ELD) mengeluarkan garis panduan bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025). - Foto fail

Undang-undang baru yang melarang bahan palsu mendalam atau ‘deepfake’ yang menyalahgambarkan calon akan berkuat kuasa buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), kata Jabatan Pilihan Raya (ELD) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 15 April.

Mengumumkan garis panduan kempen, ELD berkata peraturan berkaitan kempen dalam talian berfungsi untuk menegakkan kebenaran perwakilan semasa GE.

“Undang-undang baru ini melindungi bakal calon yang telah membayar deposit pilihan raya mereka dan memberikan kebenaran kepada ELD untuk mendedahkan pencalonan kepada umum terhadap OEA (Iklan Pilihan Raya Dalam Talian) yang dijana atau dimanipulasi secara digital yang menyasarkan mereka.

“Orang ramai boleh melihat senarai terkini bakal calon di laman web ELD, yang akan dikemas kini setiap hari,” kata ELD.

ELD membuat pengumuman itu berikutan pembubaran Parlimen dan pengeluaran Writ Pilihan Raya pada 15 April oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam, atas nasihat Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Hari Penamaan Calon telah ditetapkan pada 23 April, manakala Hari Bertenang akan diadakan pada 2 Mei, sebelum rakyat Singapura keluar mengundi pada 3 Mei.

Sepanduk, bendera, poster baru tidak dibenarkan sebelum tempoh kempen

Selain itu, ELD mengingatkan bahawa sepanduk, bendera dan poster baru yang dianggap sebagai iklan pilihan raya tidak akan dibenarkan dipamerkan sehingga tamat prosiding penamaan calon pada 23 April.

Walau bagaimanapun, ia menambah paparan visual di ruang awam seperti sepanduk yang mengandungi nama, imej atau simbol parti politik individu yang mungkin merupakan bakal calon dibenarkan jika ia dipaparkan sebelum Writ dikeluarkan.

Paparan visual tersebut juga mestilah tidak dipindahkan, ditukar atau diubah suai dan diisytiharkan kepada Pegawai Pengurus Undi (RO) dalam tempoh 12 jam selepas Writ dikeluarkan, jika paparan itu akan dikekalkan sebagai iklan pilihan raya semasa pilihan raya.

Larangan itu juga tidak dikenakan kepada sepanduk, bendera atau poster yang digunakan sebagai penanda lokasi tetap seperti logo parti yang dilekatkan secara kekal pada dinding luar bangunan.

Ia menambah, RO telah mengarah syarikat AETOS Security Management Pte Ltd supaya menguatkuasakan peraturan mengenai paparan iklan semasa pilihan raya.

“Secara amnya, bagi setiap sepanduk/bendera/poster yang tidak diisytiharkan atau tidak patuh yang dilaporkan, parti politik berkenaan akan dimaklumkan untuk membetulkan (sama ada mengeluarkan atau menutup) sepanduk/bendera/poster sedia ada yang berkenaan dalam tempoh tiga jam selepas menerima pemberitahuan.

“Jika ia tidak diperbetulkan, RO boleh mengarahkan AETOS supaya mengeluarkan TEA (Iklan Pilihan Raya Tradisional) itu. Calon kemudiannya dikehendaki menanggung perbelanjaan untuk mengeluarkan setiap TEA, dan mengisytiharkannya sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pilihan rayanya,” kata ELD.

Sesi lawatan penduduk, rumah ke rumah

ELD berkata sesi lawatan bersama penduduk serta lawatan rumah ke rumah dibenarkan, dan tidak memerlukan permit daripada polis jika ia dijalankan untuk tujuan bertemu dengan penduduk.

Namun, ia menambah bahawa acara tersebut tidak boleh digunakan semata-mata untuk menunjukkan sokongan kepada, atau menentang mana-mana orang, kumpulan, atau pemerintah, atau untuk mempromosikan sebarang tujuan atau kempen.

Kempen dalam talian

Mengikut peraturan, calon boleh berkempen dalam talian melalui media sosial, laman web, podcast dan e-mel, kata ELD.

Bagaimanapun, ia menambah, hanya parti politik, calon dan ejen pilihan raya boleh menerbitkan iklan pilihan raya dalam talian yang dibayar.

Orang lain hanya boleh menerbitkan iklan tersebut jika mereka menerima kebenaran bertulis daripada calon atau ejen pilihan raya.

Penerbitan tinjauan pilihan raya

ELD juga mengingatkan bahawa penyiaran keputusan tinjauan pilihan raya atau kandungan yang dikatakan sebagai hasil tinjauan pilihan raya adalah tidak dibenarkan dari tarikh pengeluaran Writ Pilihan Raya sehingga penutupan pengundian pada Hari Mengundi.

Dalam tempoh itu, orang ramai tidak seharusnya membuat tinjauan atau tinjauan pendapat di platform media sosial, forum dalam talian, khidmat mesej atau laman web, di mana hasilnya boleh dilihat.

Melakukannya akan dianggap sebagai pelanggaran undang-undang, kata ELD, sambil mengingatkan bahawa berkongsi semula keputusan tinjauan pilihan raya juga tidak dibenarkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg