Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAP berdepan WP di GRC Punggol

Apr 23, 2025 | 6:42 PM
WP, PAP, GE2025
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, akan mengetuai Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk bertanding menentang pasukan Parti Pekerja (WP) yang diketuai oleh peguam kanan, Encik Harpreet Singh, dalam perebutan GRC Punggol yang baru. - Foto ST

Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dalam langkah yang mengejutkan, kini mengetuai Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk bertanding menentang pasukan Parti Pekerja (WP) yang diketuai oleh peguam kanan, Encik Harpreet Singh, di GRC Punggol yang baru.

Mengakhiri spekulasi yang berlarutan menjelang Hari Penamaan Calon pada 23 April, Encik Gan, 66 tahun, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, disahkan sebagai menteri utama bagi pasukan empat anggota PAP tersebut.

Encik Gan, yang pada awalnya dijangka mengetuai pasukan PAP di Chua Chu Kang, kini bersama Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary, 52 tahun; Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, 45 tahun; dan Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling, 48 tahun.

Perubahan itu adalah antara beberapa kejutan pada 23 April, yang turut menyaksikan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berpindah dari GRC Marine Parade ke GRC Chua Chu Kang, mengambil alih daripada Encik Gan, lapor The Straits Times.

Selain Encik Harpreet, 59 tahun, yang digelar ‘bintang’ WP, ahli-ahli lain dalam pasukan Punggol mereka adalah muka-muka baru.

Mereka ialah pengarah kanan pembangunan perniagaan penerbit di sebuah firma teknologi pengiklanan, Cik Alexis Dang, 39 tahun; penasihat undang-undang, Cik Siti Alia Abdul Rahim Mattar, 43 tahun; dan pengurus kanan urusan korporat dan pemasaran, Encik Jackson Au, 35 tahun.

WP mengejutkan ramai dengan mengalihkan nama-nama besar mereka ke Punggol dan Tampines, serta tidak menurunkan pasukan untuk GRC Marine Parade, bertentangan dengan jangkaan beberapa pihak.

Dalam satu wawancara, ketua WP, Encik Pritam Singh, bersama pasukannya yang bertanding di GRC Aljunied, berkata mereka memohon “pemahaman dan kesabaran penduduk” kerana tidak bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights.

“Ini tidak bermakna kami sudah tiada. Kami akan terus bekerja di sana selepas pilihan raya.

“Sebagai parti politik kecil, kami berusaha memberi yang terbaik dalam kempen ini dan inilah strategi yang kami ambil,” kata Encik Pritam.

Senarai calon untuk PAP dan WP telah diumumkan di pusat pencalonan Sekolah Menengah Yusof Ishak di Punggol.

Berucap kepada penyokong, Encik Gan berkata pilihan raya ini akan menentukan masa depan Singapura.

“Kami menghadapi cabaran dari segi ekonomi dan pekerjaan yang terancam, tetapi kami percaya bahawa jika kami bekerjasama, berkerja sebagai satu pasukan, kami akan mengatasi cabaran ini.”

Dr Janil berkata pasukan PAP akan membawa peluang pekerjaan yang baik ke Daerah Digital Punggol, menangani isu pengangkutan di Punggol dan memastikan kawasan itu kekal bersih dan terjaga.

Encik Harpreet, yang disambut dengan sorakan kuat, berkata ia adalah “keistimewaan seumur hidup” bagi dirinya dan rakan-rakan calon untuk tampil dan bertanding di GRC Punggol.

Beliau menyeru agar ada lebih banyak kemampuan membeli, sistem pendidikan yang lebih baik, sistem politik yang lebih adil dan “Parlimen di mana suara anda didengari, bukan sekadar bersetuju dengan segala-galanya”.

Di GRC Punggol, lebih separuh daripada sekitar 120,000 pengundinya dijangka terdiri daripada golongan dewasa yang bekerja berusia antara 21 dengan 45 tahun. 

Pengundi Milenial dan Generasi Z mendominasi kawasan itu, dengan perbezaan 10 peratusan mata berbanding kumpulan usia yang lain.

SMC Punggol West satu-satunya bahagian Punggol yang pernah ditandingi oleh WP sebelum ini.

Calon mereka, Encik Tan Chen Chen, meraih 39.02 peratus undi di sana dalam Pilihan Raya Umum 2020 menentang Cik Sun.

Secara keseluruhan, GRC Punggol menggabungkan 96,825 pengundi dari GRC Pasir-Ris-Punggol yang lama dengan 26,732 pengundi dari SMC Punggol West, menjadikan jumlah keseluruhan 123,557 pengundi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg