Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan PAP jangka tarungan sengit di Sengkang

Apr 20, 2025 | 7:01 PM
Anggota pasukan PAP di GRC Sengkang (dari kiri) Cik Theodora Lai, Dr  Lam Pin Min,  Profesor Madya Elmie Nekmat dan  Cik Bernadette Giam semasa lawatan menemui penduduk di Kopitiam Square pada 20 April.
Anggota pasukan PAP di GRC Sengkang (dari kiri) Cik Theodora Lai, Dr Lam Pin Min, Profesor Madya Elmie Nekmat dan Cik Bernadette Giam semasa lawatan menemui penduduk di Kopitiam Square pada 20 April. - Foto ST

Perjuangan untuk memenangi GRC Sengkang bukannya satu laluan mudah memandangkan kelebihan yang dimiliki penyandang Parti Pekerja (WP).

Namun, pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di sana berharap ia dapat memberikan “tentangan yang baik”, kata mantan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Dr Lam Pin Min.

“Sebagai sebuah parti, kami memahami bahawa setiap pilihan raya akan menjadi satu perlawanan yang sengit, bukan hanya di Sengkang sahaja. Setiap GRC – setiap SMC – akan menjadi satu pertandingan yang sukar, dan kami tidak mahu mengambil mudah,” katanya kepada media sebelum mengadakan lawatan menemui penduduk bersama pasukan PAP Sengkang di Kopitiam Square di Compassvale pada 20 April.

Dr Lam, satu-satunya calon yang dikekalkan daripada pasukan PAP Sengkang pada 2020, menjawab kenyataan ketua WP, Encik Pritam Singh, sehari sebelumnya bahawa pembangkang menjangkakan “pertarungan yang sangat sukar” di Sengkang, memetik kelebihan kecil dalam kemenangan terakhirnya ke atas parti pemerintah.

Pada 2020, pasukan muka baru WP memperoleh 52.12 peratus undi, menewaskan calon PAP yang terdiri daripada menteri Kabinet ketika itu, Encik Ng Chee Meng, Dr Lam, Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri dan Kesihatan), Encik Amrin Amin dan peguam Encik Raymond Lye.

Dr Lam bakal disertai calon-calon yang membuat penampilan sulung politik dalam pilihan raya umum 3 Mei ini, lapor The Straits Times.

Mereka ialah Cik Theodora Lai, 39 tahun, pengasas di firma ekuiti swasta Tembusu Partners; Profesor Madya Elmie Nekmat, 43 tahun, pensyarah komunikasi dan media baru di Universiti Nasional Singapura; dan Cik Bernadette Giam, 38 tahun, pengarah Creative Eateries, sebuah syarikat makanan dan minuman tempatan.

Dr Lam, 56 tahun, berkata pasukannya akan menghadapi lebih banyak cabaran ketika menentang barisan WP yang menampilkan Anggota Parlimen Sengkang: Encik Louis Chua, Cik He Ting Ru, Profesor Madya Jamus Lim dan pengurus harta kanan Majlis Perbandaran Aljunied-Hougang, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik.

“Jika kita bercakap tentang GRC Sengkang, kami bukan penyandangnya. Kami tidak mempunyai sumber majlis bandaran, dan kami mendapati bahawa sebagai pencabar, kami sentiasa menghadapi lebih banyak cabaran berbanding seseorang yang memegang jawatan dalam GRC,” terang beliau.

Namun begitu, pakar oftalmologi itu berkata beliau amat gembira apabila mengetahui pasukan daripada WP akan bertanding semula.

“Kami telah melihat bagaimana mereka telah berkhidmat kepada penduduk di Sengkang, tetapi kami juga tidak terpengaruh bahawa ia akan menjadi sangat mudah untuk kami.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk memberikan mereka tentangan yang baik, dengan harapan kami dapat memenangi hati dan minda pengundi Sengkang dan dapat merampas kembali Sengkang daripada WP,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg