Dengan kemenangan besar sebanyak 81.03 peratus undi, pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Tanjong Pagar, yang diterajui Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, membuktikan kawasan itu adalah kubu kuat PAP.
Pasukan ini menewaskan parti Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), malahan jurang kemenangan kali ini jauh lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), apabila PAP memperoleh 63.1 peratus undi ketika menentang Parti Kemajuan Singapura (PSP).
Ini merupakan kali ketiga GRC Tanjong Pagar dengan lima anggota itu dipertandingkan dalam sejarah pilihan raya Singapura.
Kawasan undi ini, dengan keseluruhan 140,194 pengundi itu, pernah diterajui Perdana Menteri Pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew.
Pasukan PAP di GRC Tanjong Pagar tidak mengadakan sebarang rapat umum sepanjang kempen kali ini, lapor The Straits Times (ST).
PAP turut mencatat kemenangan kukuh di SMC Radin Mas, dan SMC Queenstown – sebuah kawasan undi baru yang dibentuk daripada GRC Tanjong Pagar.
Di SMC Queenstown, Setiausaha Parlimen Kanan (SPS) Kebudayaan, Masyarakat dan Belia serta Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Eric Chua, meraih 81.12 peratus undi, menewaskan calon PAR, Encik Mahaboob Batcha.
Di SMC Radin Mas, Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Melvin Yong, berjaya meraih 69.17 peratus undi, menewaskan Encik Kumar Appavoo daripada PAR dan calon bebas, Encik Darryl Lo.
Encik Appavoo meraih 7.36 peratus undi, manakala Encik Lo memperolehi 23.47 peratus.
Pada GE2020, Encik Yong meraih 74.01 peratus undi menentang Encik Appavoo, yang ketika itu mewakili Parti Pembaharuan (RP).
Di GRC Tanjong Pagar, pasukan PAP terdiri daripada Encik Chan; Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan; Cik Joan Pereira, yang menyertai politik pada 2015; serta Cik Rachel Ong, yang kawasan kendaliannya di Telok Blangah telah diserap ke dalam GRC Tanjong Pagar.
Melengkapkan pasukan tersebut ialah muka baru PAP dan mantan pengarah di Kementerian Pengangkutan (MOT), Encik Foo Cexiang.
Encik Foo telah mengambil alih tempat Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Cik Indranee Rajah, yang menerajui GRC Pasir Ris-Changi dalam GE2025.
Pasukan PAR di Tanjong Pagar pula terdiri daripada pegawai bank komersial, Encik Prabu Ramachandran; pengarah sebuah sekolah privet, Encik Nadarajan Selvamani; penasihat dan pegawai keselamatan tapak binaan, Encik Rickson Giauw; felow hak asasi manusia di sebuah universiti luar negara, Cik Han Hui Hui; serta pembantu logistik kanan, Encik Soh Lian Chye.
PAR, antara lain, telah berkempen untuk menjadikan pendidikan, makanan sekolah dan penjagaan kesihatan percuma untuk setiap kanak-kanak warga Singapura, serta mengecualikan barangan keperluan seperti barangan runcit daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
PAR ditubuhkan pada Disember 2023 sebagai sebuah pakatan antara empat parti, termasuk RP, Parti Suara Rakyat (PV), Parti Demokratik Progresif (DPP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).
Namun, PPP telah menarik diri daripada pakatan tersebut atas “perbezaan strategi yang tidak dapat diselesaikan”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg