SPH Logo mobile
Langgan|

PAP sangkal dakwaan calon WP sebagai ‘gambaran diputar belit, berat sebelah’

PAP sangkal dakwaan calon WP sebagai ‘gambaran diputar belit, berat sebelah’

Apr 21, 2025 | 4:24 PM

PAP sangkal dakwaan calon WP sebagai ‘gambaran diputar belit, berat sebelah’

Bakal calon Parti Pekerja (WP) dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025, Encik Harpreet Singh Nehal, mendakwa Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah melanggar prinsip meritokrasi dan kesaksamaan semua bangsa kerana tidak mengetengahkan Encik Tharman Shanmugaratnam, kini Tuan Presiden, sebagai Perdana Menteri, dalam satu sesi podcast pada 10 April.
Bakal calon Parti Pekerja (WP) dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025, Encik Harpreet Singh Nehal, mendakwa Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah melanggar prinsip meritokrasi dan kesaksamaan semua bangsa kerana tidak mengetengahkan Encik Tharman Shanmugaratnam, kini Tuan Presiden, sebagai Perdana Menteri, dalam satu sesi podcast pada 10 April. - Foto ST

Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah menyangkal kenyataan bakal calon Parti Pekerja (WP) dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), Encik Harpreet Singh Nehal, atas “gambaran diputar belit, berat sebelah” olehnya terhadap apa yang dikatakan pemimpin PAP perihal keupayaan kaum minoriti menjadi Perdana Menteri di Singapura.

Ini menyusuli kenyataan Encik Singh dalam sesi podcast pada 10 April.

Beliau mendakwa PAP telah melanggar prinsip meritokrasi dan kesaksamaan semua bangsa kerana tidak mengetengahkan Encik Tharman Shanmugaratnam, kini Tuan Presiden, sebagai Perdana Menteri (PM).

Menurut PAP dalam risalah dalam talian parti petir.sg pada 20 April, perkara ini tidak benar sama sekali.

Risalah itu menyatakan Encik Tharman telah beberapa kali mengutarakan pendiriannya terhadap jawatan Perdana Menteri.

Ditukil sebagai berkata dalam laporan The Straits Times (ST) pada September 2016 sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri, Encik Tharman menyifatkan dirinya “bukanlah individu untuk jawatan PM”.

“(Jawatan PM) bukanlah diri saya. Saya tahu diri saya, saya tahu apa yang boleh saya lakukan, dan jawatan ini bukanlah bagi saya,” katanya.

Risalah itu sekali lagi mengulangi kenyataan Encik Tharman yang dibuat pada 2023 mengenai pendirian beliau terhadap jawatan Perdana Menteri setelah beliau lebih cenderung memainkan peranan sokongan.

Beliau memberi analogi sukan berpasukan, dan menyifatkan dirinya lebih kepada “bek pertahanan” atau “bek sayap” dan lebih gemar merancang atur gerak permainan.

Risalah itu menyatakan: “Encik Tharman kini sudah menjadi Presiden. Nama beliau tidak seharusnya dicemuh atas tujuan mengelirukan bagi menyatakan hujah politik yang boleh menimbulkan perbalahan.

“Kita mesti menghormati jawatan presiden.”

Dalam sesi podcast itu, Encik Singh berkata: “Anda masih ingat apabila PAP menyatakan Encik Tharman Shanmugaratnam tidak akan dilantik sebagai Perdana Menteri kerana sesetengah rakyat Singapura tidak bersedia untuk Perdana Menteri bukan Cina?

“Itu satu tamparan kepada setiap rakyat Singapura. Ia bertentangan dengan prinsip meritokrasi kita, bertentangan dengan prinsip kesaksamaan bagi semua kaum; anda tidak akan pernah mendengarnya daripada WP.”

Sementara itu, petir.sg turut menerbitkan risalah berasingan pada hari yang sama bagi mengulas kenyataan yang dibuat barisan pemimpin parti sejak kebelakangan ini.

Ia antara lain menyentuh berkenaan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, pada 2019.

Menurut risalah itu, Encik Heng berkongsi pemerhatian beliau adanya segmen penduduk Singapura, terutamanya warga tua, yang belum bersedia untuk Perdana Menteri bukan berbangsa Cina.

Dengan berbuat demikian, beliau “mengakui pola pemikiran berbeza daripada penduduk majmuk, (dan) bukannya menyokong pandangan mereka”.

Risalah itu kemudian mengetengahkan kenyataan Encik Lawrence Wong pada Jun 2021, yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri.

Encik Wong pada waktu itu menjelaskan pandangan pemerintah, dengan beliau “mengalu-alukan prospek kewujudan Perdana Menteri daripada kaum minoriti” dan menantikan hari itu.

Memberikan respons pada hari yang sama menerusi catatan Facebook, Encik Singh berkata risalah PAP sedemikian “tidak mencerminkan perkataan atau maksud yang saya katakan”.

“Rakyat Singapura yang berfikiran adil boleh menilai sendiri apa yang saya katakan (dan tidak katakan) sebenarnya pada detik 1:07:15 dan seterusnya”, katanya, sambil menyediakan pautan kepada sesi podcast itu.

Encik Singh merupakan salah seorang daripada 14 muka baru yang diperkenalkan WP dan dijangka tampil dalam GE2025.

Peguam kanan dan rakan kongsi pengurusan di firma guaman Audent Chambers LLC itu dilihat membuat lawatan rumah ke rumah di GRC Marine Parade-Braddell Heights dan telah menjadi sukarelawan parti sejak 2012.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg