Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peguam Melayu antara tiga calon baru WP

Sufyan Mikhail sertai pilihan raya sebagai usaha kolektif bina masyarakat prihatin dan adil
Apr 19, 2025 | 4:57 PM
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (dua dari kiri), dan Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim (tengah), memperkenalkan tiga lagi calon baru, (dari kiri) Encik Jasper Kuan Hon Whye, Encik Sufyan Mikhail Putra Mohd Kamil dan Encik Harpreet Singh Nehal, dalam satu sidang media di ibu pejabat mereka pada 19 April.
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (dua dari kiri), dan Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim (tengah), memperkenalkan tiga lagi calon baru, (dari kiri) Encik Jasper Kuan Hon Whye, Encik Sufyan Mikhail Putra Mohd Kamil dan Encik Harpreet Singh Nehal, dalam satu sidang media di ibu pejabat mereka pada 19 April. - Foto ZAOBAO

Parti Pekerja (WP) mendedahkan tiga lagi calon baru yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) akan datang, termasuk seorang peguam Melayu.

Tiga calon itu adalah Encik Harpreet Singh Nehal, 59 tahun, rakan kongsi pengurusan di firma guaman Audent Chambers LLC dan peguam kanan; Encik Sufyan Mikhail Putra Mohd Kamil, 33 tahun, mantan pengarah bersekutu di firma guaman Abdul Rahman Law Corporation; dan Encik Jasper Kuan Hon Whye, 47 tahun, peneraju produk Asia Pasifik bagi penyelesaian pertikaian di Visa Worldwide.

Mereka diperkenalkan dalam satu sidang media yang diadakan di ibu pejabat parti pembangkang itu di Geylang Road pada 19 April, yang turut dihadiri Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh, dan pengerusinya, Cik Sylvia Lim.

WP bagaimanapun tidak mendedahkan kawasan di mana mereka akan bertanding.

Dengan tiga calon yang didedahkan itu, ini bermakna parti itu telah memperkenalkan seramai 11 calon sepanjang tiga hari lalu, dengan WP dijangka menampilkan 17 calon baru buat kali pertama pada 2025.

Lebih ramai calon dijangka diperkenalkan WP dalam hari-hari mendatang, menjelang Hari Penamaan Calon pada 23 April.

GE2025 akan berlangsung pada 3 Mei.

Berkongsi latar belakang semasa sidang media itu, Encik Sufyan berkata beliau menyertai WP kerana beliau percaya dalam misi terasnya untuk menjadi “alternatif yang boleh dipercayai dan rasional untuk rakyat Singapura”.

“Saya menyertai pilihan raya ini kerana saya percaya bahawa usaha kolektif kita untuk membina sebuah masyarakat yang prihatin, adil dan lebih saksama adalah penting,” kata beliau, yang aktif mendekati penduduk, terutamanya di Punggol.

Encik Sufyan telah meletak jawatan sebagai pengarah bersekutu di Abdul Rahman Law Corporation disebabkan dasar tidak berpihak firma itu, supaya beliau dapat bertanding dalam pilihan raya.

Semasa memperkenalkan beliau, Cik Lim berkata Encik Sufyan sedang memohon untuk memulakan firma guamannya sendiri.

Encik Sufyan aktif sebagai sukarelawan WP sejak 2024, dan sering membantu Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied, Encik Faisal Manap, di kawasannya di Kaki Bukit. Beliau juga anggota pasukan dasar parti tersebut.

Antara isu yang ingin beliau perjuangkan termasuk kos sara hidup, kemampuan memiliki rumah dan saluran pendapatan alternatif bagi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dinaikkan.

Khususnya untuk masyarakat Melayu/Islam, Encik Sufyan berkata masyarakat telah dapat melihat bagaimana adanya “suara alternatif di Parlimen telah memberi kesan kepada dasar awam kita untuk menyuarakan kebimbangan kita dan membangkitkan isu-isu yang penting kepada masyarakat kita”.

“Antara lain, kenaikan kos sara hidup dan harga perumahan, hak untuk mengamalkan kewajipan agama kita di tempat kerja, dan pengukiran dasar kita dalam dunia yang penuh dengan ketegangan geopolitik.

“Sebagai seorang peguam dan juga sebagai sukarelawan di Sesi Bertemu Penduduk (MPS), isu seperti ini sangat menonjol ketika saya berurusan dengan pelanggan saya dan kebanyakannya datang daripada masyarakat kita,” kata beliau.

Sementara itu, Encik Harpreet dalam berkongsi sebab beliau ingin menceburi bidang politik, berkata Singapura kini dalam titik perubahan dan setiap rakyat negara ini perlu tampil ke hadapan dan bersuara tentang isu-isu yang penting.

Tiga bidang dasar yang beliau ingin berikan tumpuan termasuk kemampuan, pendidikan dan politik lebih adil.

Dalam memastikan politik yang lebih adil, Encik Harpreet berkata, antara lain, masyarakat seni, masyarakat sivil dan pengkritik perlu dilayan dengan hormat, dan bukannya rasa curiga.

Beliau memberi contoh kejadian seperti Majlis Seni Kebangsaan (NAC) menarik balik pendanaan bagi buku The Art Of Charlie Chan Hock Chye, kerana ia “berpotensi menjejas kuasa atau pengesahan” pemerintah.

“Jangan biarkan rakyat kita dengan tanggapan jelas bahawa beberapa orang bijak di negara ini dinafikan pemegangan jawatan kerana mereka berani bercakap benar kepada kuasa,” kata beliau.

Dalam pada itu, Encik Kuan pula berkongsi antara isu yang dekat pada hatinya termasuk berkenaan pendidikan. Misalnya, beliau prihatin tentang kebergantungan berlebihan pada tuisyen.

Penduduk lama Hougang itu, yang juga seorang mantan guru, mahu memperjuangkan sebuah sistem pendidikan yang lebih berpandangan ke hadapan, kurang tekanan dan lebih terangkum.

Beliau juga menyentuh tentang cabaran ibu bapa membesarkan anak-anak dalam persekitaran mahal Singapura.

“Saya ingin menjadi suara bagi dasar praktikal dan adil yang menyokong keluarga dan melindungi pencari nafkah. Adalah amat penting bahawa pemerintah terus mempertingkat kehidupan kita dan mewujudkan peluang bagi rakyat Singapura,” kata bapa tiga anak itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg