Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lima parti pembangkang umum kawasan undi untuk tanding jelang GE2025

Mar 12, 2025 | 3:56 PM
Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 11 Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dan 10 Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) akan ditandingi pada pilihan raya akan datang berdasarkan maklumat setakat ini.
Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 11 Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dan 10 Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) akan ditandingi pada pilihan raya akan datang berdasarkan maklumat setakat ini. - Foto fail

Lima parti pembangkang telah menyatakan tuntutan mereka ke atas pelbagai kawasan pilihan raya menjelang Pilihan Raya Umum Singapura (GE2025) yang akan datang, hari yang sama laporan Jawatankuasa Kajian Sempadan Pilihan Raya (EBRC) dikeluarkan iaitu pada 11 Mac.

Setakat ini, terdapat empat Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dan empat Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC), yang mana lebih daripada satu parti pembangkang telah menyatakan kesediaan mereka untuk bertanding pada pilihan raya yang dijangka berlangsung paling lewat pada November.

Lima parti tersebut ialah Parti Perpaduan Nasional (NSP), Perikatan Rakyat untuk Pembaharuan (PAR), Parti Kuasa Rakyat (PPP), Red Dot United (RDU) dan Parti Rakyat Singapura (SPP).

SMC Jalan Kayu yang baru diwujudkan menerima paling banyak perhatian, dengan tiga parti – PAR, PPP dan RDU – menyatakan keinginan mereka untuk bertanding di sana.

Daerah pilihan raya lain yang mendapat perhatian termasuk Radin Mas, Potong Pasir, SMC Tampines Changkat yang baru, serta GRC Jalan Besar, Nee Soon, Tampines dan Tanjong Pagar.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 11 SMC dan 10 GRC dijangka akan ditandingi, namun ini adalah pengumuman awal, lapor The Straits Times (ST).

Parti Pekerja (WP), Parti Kemajuan Singapura (PSP) dan Parti Demokratik Singapura (SDP) belum mengumumkan kawasan yang mereka akan tandingi.

Penganalisis berpendapat GE2025 mungkin menyaksikan lebih banyak pertempuran pelbagai penjuru, dan tuntutan awal oleh parti pembangkang adalah strategi untuk mendapatkan kelebihan dalam perbincangan selepas sempadan pilihan raya ditetapkan.

PAR, yang dibentuk oleh Parti Suara Rakyat (PV), Parti Pembaharuan (RP) dan Parti Progresif Demokratik (DPP), akan bertanding di SMC Jalan Kayu, yang sebelum ini adalah sebahagian daripada GRC Ang Mo Kio yang ditandingi oleh RP dalam tiga pilihan raya lepas.

PAR akan bertanding di SMC Queenstown yang baru, yang dipisahkan dari GRC Tanjong Pagar, di mana PV aktif sejak 2018.

PAR akan bertanding di dua GRC dan lapan SMC.

RDU menyatakan kekecewaan terhadap laporan EBRC yang mengubah landskap politik di barat Singapura, terutama GRC Jurong, di mana parti itu telah membina hubungan rapat dengan penduduk.

GRC Jurong akan dibahagikan kepada empat kawasan.

RDU bercadang untuk bertanding di GRC Jurong East-Bukit Batok, SMC Jurong Central, GRC Nee Soon, SMC Jalan Kayu, GRC Tanjong Pagar dan SMC Radin Mas.

Parti itu akan berbincang dengan parti pembangkang lain untuk mengelak pertembungan tiga penjuru.

Setiausaha Agung PPP, Encik Goh Meng Seng, berkata partinya akan bertanding di GRC Tampines, SMC Tampines Changkat, GRC Nee Soon, GRC Ang Mo Kio dan SMC Jalan Kayu.

Setiausaha Agung NSP, Encik Spencer Ng, juga mengkritik perubahan sempadan dan berkata partinya akan bertanding di tujuh kawasan, termasuk GRC Tampines, Jalan Besar dan SMC Tampines Changkat serta Sembawang West.

Pengerusi SDA, Encik Desmond Lim, berkata pemisahan GRC Pasir Ris-Punggol akan memberi “impak besar” kepada perancangan parti.

SPP pula bersedia bertanding di SMC Potong Pasir dan GRC Bishan-Toa Payoh, yang ditandingi pada 2020.

“Kami akan meneliti laporan dan cadangannya sebelum memberi respons terperinci,” kata SPP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg