Berpeluh-peluh dibuatnya.
Apa tidaknya, meskipun sarat mengandung pada 2024, tugas tetap perlu dilaksanakan, khidmat kepada penduduk harus terus berjalan.
Namun, Cik Nadia Samdin, tidak perlu risau kerana penduduk begitu prihatin terhadapnya.
“Mereka betul-betul penuh kasih sayang, terutama sekali apabila saya hamil tahun lalu (2024).
“Wah! Apabila saya berjalan-jalan di pasar, kalau saya berpeluh, ada yang datang hulurkan tisu, mereka kata ‘Ms Nadia, kasihan!’.
“Ada juga yang nak tolong kipaskan saya!” kongsi Cik Nadia, Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio itu.
Menceburi politik sejak lima tahun lalu, pada 2020, Cik Nadia merupakan AP termuda pada usia 35 tahun.
Beliau bertanggungjawab bagi kawasan Cheng San-Seletar, yang demografik penduduknya merupakan ramai warga emas – sekitar 40 peratus penduduk di sana berusia 60 tahun ke atas.
Sebagai anak muda yang berkhidmat dalam kawasan dengan ramai warga emas, apakah rahsia beliau menambat hati penduduknya itu?
“Alhamdulillah, saya rasa sungguh bersyukur kerana dapat berkhidmat di sini.
“Saya rasa ramai orang kenal saya sebagai seorang yang banyak bekerja dengan orang muda kerana dulu pun saya berkhidmat di Mahkamah Belia, Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dan sebagainya.
“Tapi apabila saya datang ke sini, saya pandang warga emas dan penduduk saya seperti ibu bapa saya sendiri, amat disayangi,” katanya.
Di samping itu, memandangkan kebanyakan penduduknya berbangsa Cina, Cik Nadia juga telah mempelajari bahasa Mandarin bagi mempermudahkan beliau berinteraksi dengan dengan mereka.
Namun, mempelajari bahasa baru bukanlah perkara paling mencabar baginya dalam usaha berinteraksi dengan warga emas, kata Cik Nadia.
“Apabila (berkhidmat) dengan warga emas, yang paling sukar adalah apabila anda kehilangan mereka,” kongsi Cik Nadia.
Beliau menceritakan pengalamannya kehilangan seorang penduduk yang merupakan penjual sup ikan di pasar beberapa bulan lalu.
“Apabila saya datang ke sini, dia akan ajak saya ke pasar untuk berbual dengan peniaga di sana, selalu tolong angkat barang, bercerita. Kalau ada masalah di pasar, dialah yang pertama yang akan selesaikan masalah itu.
“Oleh kerana dia tidak begitu pandai menaip dalam bahasa Inggeris, apabila dia hantar WhatsApp kepada saya, selalunya dia akan menghantar rakaman suara, dan dia tahu saya tak begitu faham bahasa Cina, jadi dia akan cakap perlahan-lahan.
“Apabila saya dapat tahu dia telah meninggal dunia, di rumah, saya dengar lagi rakaman suaranya. Itu yang sedih. Apabila kita jaga warga emas... kita lakukan yang terbaik untuk mendampingi mereka dan ini termasuk sehingga saat akhir mereka di sini,” katanya.
Meskipun berkhidmat dalam kawasan yang ramai warga emas, Cik Nadia sedar tanggungjawabnya untuk menjaga keperluan penduduknya yang muda.
Bahkan dalam perjalanannya bagi temu bual dengan Berita Harian ini di kolong Blok 573, Ang Mo Kio Avenue 3, Cik Nadia sempat menyapa pasangan muda yang baru berpindah ke kawasan itu.
Berbual dalam bahasa Mandarin, beliau telah memperkenalkan dirinya dan memberitahu mereka agar usah segan silu mendekatinya jika ada apa-apa perkara yang boleh dibantunya.
Cik Nadia dipilih menjadi AP di Ang Mo Kio selepas pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong pada ketika itu, menewaskan pasukan daripada Parti Reformasi dengan meraih 71.91 peratus undi.
Semasa sesi temu bual dengan Cik Nadia, BH menyampaikan maklum balas penduduk yang telah ditemui sebelum itu kepadanya.
Ada di antara mereka menyatakan bahawa mereka mengharapkan adanya perubahan pada kemudahan yang tersedia di Cheng San-Seletar, apatah lagi kerana kawasan tersebut memang sudah agak lama.
Cik Nadia akur banyak kemudahan di situ memang sudah agak berusia disebabkan Ang Mo Kio merupakan estet yang cukup matang.
Namun, beliau berkongsi bahawa pusat masyarakat di sana telah melalui penambahbaikan dan akan ada kemudahan baru seperti taman di bumbung, studio memasak dan tempat berkaraoke.
Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru juga sedang dibina bersebelahan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, selain pasar dan pusat penjaja yang telah diberi wajah baru.
Tanya guru-guru Cik Nadia di sekolah dahulu, mereka akan katakan beliau merupakan seorang pelajar yang banyak bercakap.
Bahkan itulah yang ditulis dalam semua kad laporan sekolahnya, kongsi beliau.
Dalam kalangan rakan-rakannya pula, beliau dikenali sebagai ‘the arts girl’ – mata pelajaran yang diambilnya termasuk teater dan sastera.
Beliau turut meminati biologi marin dan kelautan.
Daripada situlah bermulanya ‘pengembaraan’ beliau ke dalam laut.
Malah, Cik Nadia sudah menyelam sebanyak 80 kali sejauh ini.
Antara pengalaman paling manis ketika menyelam ialah sewaktu beliau berada di Bali, kata Cik Nadia.
Pada waktu itu, beliau dikelilingi 13 pari manta iaitu ikan pari besar dan ia menjadi pengalaman yang cukup mengagumkan baginya.
Namun, sejak menjadi seorang ibu pada November 2024, sut selamnya itu terpaksa digantung buat seketika.
Waktunya kini dibahagikan juga untuk menjaga dan bersama anak tunggalnya, Syed Mizan Samdin Albar.
Buah hatinya itu menambahkan seri kepada beliau dan suami setelah enam tahun mendirikan rumah tangga.
“Saya fikir ramai orang muda termasuk saya juga ketika itu fikir, lepas kerja, jumpa jodoh, kahwin, ada anak.
“Tapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, saya sedar ia mungkin tidak semudah itu.
“Kami cuba enam tahun sebelum dapat anak kami, Mizan,” kongsi Cik Nadia.
Tidak hairanlah, isu kesuburan menjadi antara perkara yang ingin diperjuangkannya.
Bersama-sama sukaralewan dan Sayap Wanita PAP, mereka telah menganjurkan bengkel kesihatan kesuburan bukan sahaja untuk wanita bahkan juga bagi kaum Adam.
“Cabaran kesihatan (bagi aspek) kesuburan adalah sama rata antara lelaki dengan wanita.
“Mungkin bagi lelaki, agak susah untuk bercakap tentangnya. Jadi, kami mahu sediakan ruang selamat dan rangkaian bagi mereka yang mahu berbual tentang isu tersebut,” tambah Cik Nadia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg