Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga emas di Cheng San-Seletar kini punyai pendamping

Penjaja, posmen serta pekerja Majlis Bandaran - jadi ‘mata’, ‘telinga’ kesan tanda-tanda demensia, kemurungan
Mar 22, 2025 | 5:30 AM
Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin bergambar di salah satu Sudut Bertenang di bawah blok kawasan Cheng San-Seletar.
Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin bergambar di salah satu Sudut Bertenang di bawah blok kawasan Cheng San-Seletar. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pengasingan sosial dan kesunyian dalam kalangan warga emas merupakan keprihatinan yang semakin meningkat lebih-lebih lagi dengan masyarakat yang semakin menua.

Menyedari hal tersebut serta mengetahui ramai penduduknya tinggal bersendirian, Anggota Parlimen bagi GRC Ang Mo Kio yang bertanggungjawab bagi kawasan Cheng San-Seletar, Cik Nadia Samdin berkongsi bahawa satu inisiatif telah dimulakan di sana untuk menangani sebahagian isu tersebut.

Ini melibatkan usaha melatih penjaja, posmen dan posnita serta pekerja Majlis Bandaran - kumpulan penyedia khidmat yang berinteraksi kerap dengan penduduk - untuk mengesan tanda-tanda demensia atau kemurungan dalam warga emas di kawasan itu.

Sekitar 40 peratus penduduk di Cheng San-Seletar merupakan warga senja berusia 60 tahun ke atas, kata Cik Nadia

Berkongsi dengan Berita Harian, Cik Nadia berkata:

“Sukarelawan dan saya sendiri tidak boleh berada di sini sepanjang masa, jadi siapa yang boleh kita dekati sebagai sukarelawan untuk jadi ‘mata’ dan ‘telinga’ di sini?

“Jadi, apa yang kita lakukan adalah kita dekati penjaja dan penghantar surat serta pekerja Majlis Bandaran,” katanya.

Justeru, kumpulan penyedia khidmat yang menjalani latihan boleh menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ untuk mengenal pasti tanda-tanda yang mencetus keprihatinan.

“Contohnya, dulu pak cik tahu pasang butang bajunya dengan betul tetapi sekarang macam senget. Atau dulu pak cik boleh kira, kalau beli mi rebus $3.50 dia boleh kira, sekarang macam susah sikit.

“Maka, penjaja (bila sedar akan perkara ini) boleh memaklumkan agensi perkhidmatan sosial atau kelab masyarakat/balai rakyat (CC) dan kami akan pergi buat pemeriksaan (kebajikan) atau mendampingi pak cik itu atau nasihatkan beliau agar pergi buat pemeriksaan,” jelas beliau.

Satu lagi cara mengenal pasti tanda-tanda yang mencetus keprihatinan berhubung warga emas juga dimulakan di Cheng San-Seletar, dengan kerjasama penghantar surat dari Singpost. Inisiatif ini adalah yang pertama di Singapura, kata Cik Nadia.

Para penghantar surat ini akan memeriksa peti surat penduduk, dan jika ada peti surat yang selalunya kosong tetapi tiba-tiba penuh kerana sudah beberapa hari dibiarkan surat bertimbun di dalamnya, mereka akan memaklumkan CC.

Kakitangan dan sukarelawan CC kemudian akan pergi memeriksa unit tersebut untuk memastikan penghuninya baik-baik sahaja.

Idea bagi inisiatif ini timbul dari sebuah projek serupa yang dilakukan di Jepun, katanya.

“Sejauh ini, semua ‘false alarm’ sahaja. Ada seorang makcik tu, dia dirawat di hospital buat sementara waktu, itu sebabnya peti suratnya penuh.

“Tapi itulah yang kami cuba lakukan - lebih banyak ‘mata’ dan ‘telinga’ di sini untuk jaga warga emas kita,” ujar Cik Nadia.

Selain itu, beberapa kawasan bawah blok di sekitar kawasan Cheng San-Seletar juga telah diberi wajah baru dengan sokongan sukarelawan, termasuk para pelajar yang mengecat temboknya agar ia kelihatan lebih cantik dan menarik.

Digelar Sudut Bertenang, ia bertujuan mencipta perbualan tentang kesihatan mental di bawah blok serta memberi ruang selamat bagi penduduk berehat dan santai.

Terdapat lima Sudut Bertenang dengan setiap satu mempunyai beberapa tempat duduk dan senarai talian bantuan serta kata-kata semangat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg