Dengan permintaan tenaga dijangka melonjak akibat perkembangan kecerdasan buatan (AI), pusat data dan transformasi digital sejagat, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata Singapura perlu mempertimbangkan model tenaga baru.
Ini termasuk tenaga nuklear berskala kecil, bagi memastikan keselamatan tenaga jangka panjang negara.
Semasa berucap di dialog, Forum Ekonomi Baru Bloomberg pada 19 November, Encik Wong berkata landskap tenaga sejagat sedang berubah dengan pantas dan Singapura tidak boleh mengandaikan model hari ini akan kekal mencukupi untuk masa depan.
“Permintaan tenaga akan meningkat – terutama dengan pusat data dan teknologi AI.
“Kita perlu melihat secara serius apakah sumber tenaga baru yang diperlukan supaya kita kekal berdaya saing,” kata beliau.
Menurut Encik Wong, tenaga nuklear bukan lagi ‘topik larangan’ dan menegaskan ia memerlukan kajian mendalam.
“Kami (Singapura) sedang mengkaji kemungkinan teknologi baru seperti reaktor modular kecil (SMR), terutama generasi baru yang lebih selamat,” kata beliau.
Namun beliau menekankan Singapura masih berada pada fasa awal penilaian, dan tiada keputusan akan dibuat tanpa bukti saintifik, perbandingan sejagat dan sokongan masyarakat.
“Kita perlu menilai keselamatan, teknologi dan penerimaan awam. Kita belum sampai ke tahap itu tetapi kita sedang membina keupayaan untuk memahami pilihan ini,” ujarnya.
Hari ini, hampir seluruh tenaga elektrik Singapura datang daripada gas asli cecair (LNG).
Bagaimanapun menurut Encik Wong, model itu tidak cukup untuk masa hadapan.
“Tidak ada penyelesaian sempurna (silver bullet). Kita terlalu kecil untuk menjana tenaga yang boleh diperbaharui pada jumlah yang besar,” katanya, sambil menambah negara ini mahu mempunyai sumber tenaga bersih ‘milik sendiri’ – sama ada hidrogen, atau teknologi lain di masa depan.
Dalam pada itu, Encik Wong menarik perhatian bahawa peralihan digital membawa implikasi fizikal yang besar.
“AI bukan hanya tentang perisian – ia membawa permintaan tenaga baru yang sangat besar,” ujar beliau.
Walaupun pusat data membawa pelaburan dan peluang pekerjaan, ia juga memerlukan perancangan tenaga dan prasarana fizikal jangka panjang yang lebih strategik, tambahnya.
Dalam mengurus peralihan ke arah model tenaga baru, Encik Wong menjelaskan pemerintah perlu memastikan ia tidak membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan lebih rendah.
“Kita bukan hanya memikirkan penyelesaian teknologi. Kita juga memikirkan kesan sosial termasuk kos dan struktur sokongan kepada rakyat,” katanya.
Beliau menambah Singapura mempunyai pendekatan dasar yang lebih luas berbanding negara lain, termasuk sistem perumahan awam yang memberi nilai kekayaan jangka panjang kepada rakyat biasa.
Mengulas tentang isu ketegangan geopolitik pula, Encik Wong menegaskan Singapura akan kekal berpendirian bebas dan pragmatik dalam menghadapi persaingan dua kuasa besar – Amerika Syarikat dan China.
Encik Wong menyifatkan dunia hari ini berada dalam fasa peralihan berbahaya – daripada satu sistem dunia teras tunggal, kepada sistem multipolar – melibatkan pelbagai negara – yang masih belum mempunyai peraturan jelas.
“Zaman unipolar – di mana Amerika memimpin dan menjadi penggerak utama sistem sejagat – sudah berakhir. Peraturan lama tidak lagi terpakai, tetapi peraturan baru belum ditulis,” katanya.
Mengulas tentang pertemuan Presiden China Xi Jinping dan Presiden Amerika Donald Trump baru-baru ini, Encik Wong menyifatkannya sebagai perkembangan positif, namun rapuh.
“Ia mungkin hanya gencatan sementara, tetapi ia sangat diperlukan. Ia menyediakan perlindungan supaya persaingan tidak tergelincir menjadi pemisahan menyeluruh atau, lebih buruk, konflik,” katanya.
Beliau berkata dialog berterusan antara kededua pemimpin sepanjang tahun depan memberi sedikit ruang kestabilan, namun “rasa saling curiga masih kekal mendalam.”
Isu Taiwan, katanya, kekal merupakan titik paling sensitif dalam hubungan kuasa besar.
“Taiwan adalah garis paling merah bagi China. Kami tidak melihat konflik ketenteraan berlaku dalam masa terdekat kecuali jika ada tindakan sebelah pihak yang mengubah status quo, seperti pengisytiharan kemerdekaan,” tegasnya.
Beliau menambah bahawa ketekalan dasar Amerika adalah penentu kestabilan jangka panjang.
“Jika Amerika kekal berpegang pada rangka dasar ‘One China’ dengan berhati-hati, kita mungkin dapat mengekalkan keamanan di Selat Taiwan.”
Diminta mengulas sama ada negara-negara Asia Tenggara semakin condong kepada China berbanding Amerika – satu naratif yang sering dibincangkan dalam pemerhatian geopolitik Barat – Encik Wong berkata gambaran itu adalah ‘simplistic’, atau terlalu mudah.
“Ia bukan soal memilih satu pihak. Tekanan sentiasa ada – setiap kuasa besar mahu kita lebih rapat dengan mereka.
“Tetapi kedudukan Singapura jelas: Kami membuat keputusan berdasarkan kepentingan negara, bukan logik blok,” katanya.
Beliau menyifatkan pendekatan Asean ini sebagai ‘multiple alignment’, atau penjajaran pelbagai, dan bukan ‘non-alignment’, atau tidak berpihak kepada mana-mana negara.
“Asean pernah menjadi medan perang kuasa besar. Ia pengalaman yang sangat pahit. Kami tidak akan membenarkannya berulang,” tambah beliau.
Encik Wong turut memberi amaran bahawa tindakan sebelah pihak negara-negara mengenakan tarif, sekatan teknologi dan kawalan rantaian bekalan – tanpa kerangka kolektif – boleh membawa dunia kepada perlumbaan tindak balas berbahaya seperti era 1930-an.
“Jika setiap negara bertindak sendiri berdasarkan ketakutan atau nasionalisme ekonomi, kita boleh memasuki kitaran pembalasan yang tidak berkesudahan – dengan akibat yang sangat buruk,” katanya.
Menurutnya, negara kecil dan sederhana perlu bekerjasama membina norma baru melalui platform seperti FIT-P (Kerjasama Masa Depan Pelaburan dan Perdagangan), WTO (Pertubuhan Dagangan Dunia) dan rangka serantau lain.
“Perubahan besar selalu bermula dengan usaha kecil. Jangan pandang rendah permulaan yang kecil. TPP (Kerjasama Rentas Pasifik) juga bermula begitu.”
Di samping itu, Encik Wong turut mengingatkan bahawa negara kecil tidak boleh bersikap selesa dalam dunia yang semakin tidak stabil.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg