Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah akan terus erat hubungan, kerjasama dengan masyarakat Melayu/Islam

PM Wong berhasrat sama-sama realisasikan wawasan masyarakat gemilang dengan pasukan baru dalam Kabinet
May 23, 2025 | 10:01 PM
faishal ibrahim, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), upacara angkat sumpah, singapura
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim di upacara mengangkat sumpah bagi Kabinet baru di Istana pada 23 Mei. Beliau dilantik Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri). - Foto EPA-EFE

Pemerintah akan terus mengeratkan hubungan dan bekerjasama dengan masyarakat Melayu/Islam untuk merealisasikan wawasan masyarakat gemilang, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Encik Wong berkata beliau telah memperkukuh pasukan Kabinet beliau dengan menaikkan pangkat beberapa pemegang jawatan politik semasa dan melantik beberapa anggota baru, termasuk wakil masyarakat Melayu.

Berucap dalam bahasa Melayu dalam upacara mengangkat sumpah bagi Kabinet baru di Istana pada 23 Mei, Encik Wong melahirkan rasa terharu dan rendah hati kepada rakyat Singapura atas mandat jelas yang telah diberikan kepada beliau dan pasukannya.

Upacara itu turut dihadiri Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Ketua Hakim Sundaresh Menon.

“Dengan sokongan anda saya telah membentuk pasukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada anda dan negara kita.

“Saya berharap anda akan terus memberikan sokongan padu kepada kami,” kata beliau.

Dengan dunia yang pesat berubah, Encik Wong berkata akan terdapat pelbagai cabaran yang akan dihadapi.

Namun, pada masa yang sama, akan terdapat pelbagai peluang baru juga yang tersaji.

“Saya dan pasukan saya akan memastikan semua rakyat Singapura bersiap siaga untuk merebut peluang-peluang ini.

“Kami akan terus mengeratkan hubungan kami dengan masyarakat Melayu/Islam dan bekerjasama dengan anda untuk merealisasikan wawasan Masyarakat Gemilang,” kata beliau.

Menurut Encik Wong, meskipun hidup dalam masyarakat majmuk, rakyat Singapura merupakan rakyat yang bersatu, yang disatukan oleh nilai-nilai dan aspirasi yang dikongsi bersama.

“Marilah kita bersatu untuk menjamin masa hadapan yang lebih cerah untuk semua,” kata beliau.

Membentangkan barisan Kabinet barunya dalam satu sidang media pada 21 Mei, Encik Wong mengumumkan perubahan dalam kepimpinan masyarakat Melayu/Islam.

Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim dilantik Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, menggantikan Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad yang telah menerajui peranan itu selama tujuh tahun.

Beliau telah memberi jaminan bahawa Dr Faishal dan Menteri Negara Kanan, Encik Zaqy Mohamad, akan bekerjasama dengan penjawat politik dan Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam yang lain untuk mendekati masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Encik Wong menambah bahawa “mendekati masyarakat Melayu/Islam adalah keutamaan bagi saya pada penggal lalu, dan ia akan terus menjadi keutamaan saya dalam penggal baru ini”.

Dr Faishal, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) dan melepaskan jawatannya di Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Sementara itu, Encik Masagos melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kedua Kesihatan dan pengerusi Mendaki, namun tetap kekal sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Jawatan pengerusi Mendaki diambil alih oleh Encik Zaqy, yang sebelum ini merupakan timbalan pengerusi.

Encik Zaqy, yang sebelum ini menggalas peranan sebagai Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), akan melepaskan jawatannya di Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dan menggalas jawatan baru di Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE).

Dua AP Melayu/Islam lain – Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dan Dr Syed Harun Alhabsyi – pula akan menggalas tanggungjawab lebih besar dengan diberi jawatan politik.

Encik Zhulkarnain akan memegang jawatan sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) mulai 1 Februari 2026.

Dr Syed Harun pula dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), mulai 1 Oktober 2025.

Sementara itu, seorang lagi penjawat politik Melayu, Cik Rahayu Mahzam, kekal sebagai Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital).

Pemerintah akan tunai janji

Pemerintah saya akan menggunakan mandat kami untuk berkhidmat kepada semua rakyat Singapura – tanpa mengira kaum, bahasa, agama atau pilihan politik. Ini adalah kewajipan kami. Kami akan bekerja tanpa jemu untuk memperbaiki kehidupan setiap rakyat Singapura. Kami akan menunaikan janji kami.
Isu kaum dan agama

Apabila isu kaum dan agama timbul dalam pilihan raya ini, kita tidak benarkan ia memecahbelahkan kita. Ini menunjukkan sejauh mana kita telah melangkah sebagai sebuah masyarakat. Tetapi ini juga peringatan bahawa kita tidak boleh mengambil ringan keharmonian kaum dan agama kita. Kami akan terus menjaga perkara ini dengan teliti, dan menggandakan usaha kami untuk membina sebuah masyarakat di mana semua orang rasa dihormati dan dihargai, dan tahu mereka benar-benar sebahagian daripada negara.
Terus dekati masyarakat Melayu/Islam

Dunia sedang cepat berubah. Akan terdapat berbagai-bagai cabaran. Namun, di sebaliknya akan tersaji peluang-peluang baru. Saya dan pasukan saya akan memastikan semua rakyat Singapura bersiap siaga untuk merebut peluang-peluang ini. Kami akan terus mengeratkan hubungan kami dengan masyarakat Melayu/Islam dan bekerjasama dengan anda untuk merealisasikan wawasan Masyarakat Gemilang.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg