Satu ‘fatwa’ yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) yang berpangkalan di Qatar baru-baru ini, yang menyeru kepada jihad bersenjata terhadap Israel, menonjolkan keperluan kritikal untuk membezakan antara hukum agama yang sah, dengan hukum bermotif politik, kurang pemahaman konteks, atau kurang mendapat sokongan pihak berkuasa yang diiktiraf.
Satu ‘fatwa’ yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) yang berpangkalan di Qatar, sebagai tindak balas terhadap konflik yang berterusan di Gaza, telah mendapat reaksi pelbagai daripada masyarakat Islam di seluruh dunia.
Pengisytiharan tersebut, yang menyeru kepada jihad bersenjata terhadap Israel, sangat bermasalah dan bersifat radikal.
Ia membelakangkan pihak berkuasa negara yang sah, menggalakkan pengganasan dan mengabaikan pelbagai konteks kehidupan umat Islam, terutama dalam masyarakat sekular seperti Singapura.
Nada pengisytiharan tersebut yang bersifat mutlak berisiko mencetuskan radikalisasi dan menjejas keharmonian sosial.
Episod ini menekankan keperluan mendesak bagi umat Islam untuk menilai hukum agama secara kritikal dan mengenal pasti tanda-tanda hukum yang tidak sah, seperti motivasi politik, kurangnya pemahaman konteks atau ketiadaan pihak berkuasa yang diiktiraf.
Dalam sebuah negara sekular dan berbilang agama seperti Singapura, di mana keharmonian dan kedaulatan undang-undang menjadi asas utama, masyarakat Islam Singapura harus bijak menilai dan merujuk kepada institusi tempatan yang dipercayai untuk mendapatkan penjelasan agama.
Mereka harus mendapatkan bimbingan daripada institusi tempatan yang dipercayai seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Jawatankuasa Fatwa, agar amalan agama mereka terus berada di landasan yang sah, mematuhi undang-undang dan bertanggungjawab dari segi sosial.
Fatwa ialah satu pendapat hukum agama yang tidak mengikat secara undang-undang, yang dikeluarkan oleh ulama Islam bertauliah atau mufti yang pakar dalam mengeluarkan hukum sebagai jawapan kepada persoalan tertentu mengenai hukum syariah.
Di Singapura, Jawatankuasa Fatwa bertanggungjawab mengeluarkan ketetapan agama dan fatwa.
Kesahihan sesuatu fatwa bergantung kepada faktor utama berikut:
– Ulama yang mengeluarkan fatwa mestilah sangat terlatih dalam perundangan Islam atau fiqah, Al-Quran, Hadis, metodologi hukum atau usul al-fiqh dan mereka kerap mengikuti pengajian di institusi yang sudah lama diiktiraf seperti Universiti Al-Azhar atau institusi yang setaraf dengannya.
– Fatwa tersebut mestilah berpegang pada mazhab Islam yang diiktiraf, seperti empat mazhab Sunni (Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali) atau mazhab Ja’fari dalam Islam Syi’ah, memastikan ia sentiasa berlandaskan tradisi dan kesepakatan ulama.
– Fatwa tersebut mestilah sesuai dengan konteks, mengambil kira masa, tempat dan keadaan khusus dalam sesuatu permasalahan, bagi mengelakkan penyalahgunaan fatwa atau pengeluaran fatwa yang tidak relevan.
– Ketelitian metodologi juga penting kerana fatwa mesti diperoleh daripada sumber utama Islam menggunakan kaedah yang diiktiraf seperti qiyas (analogi), ijma (kesepakatan ulama) dan maslahah atau pertimbangan terhadap kemaslahatan awam.
Di samping itu, sesuatu fatwa memperoleh kesahihan yang lebih kukuh sekiranya ia dikeluarkan atau disokong oleh institusi keagamaan berwibawa atau ulama yang dihormati secara meluas.
Pada 2025, IUMS mengeluarkan apa yang mereka gelar sebagai ‘fatwa’ tindak balas kepada konflik yang berterusan di Gaza, mengisytiharkan bahawa jihad bersenjata menentang Israel adalah satu kewajipan agama (fard al-’ayn) untuk semua umat Islam yang berkeupayaan.
Fatwa tersebut menyeru umat Islam dan pemerintah agar mengambil tindakan ketenteraan, ekonomi dan politik bagi menghentikan apa yang disifatkan sebagai satu “kempen pembunuhan beramai-ramai yang sistematik” terhadap rakyat Palestin, menuduh Israel melanggar perjanjian gencatan senjata dan mendapat sokongan Amerika Syarikat.
Pengisytiharan tersebut turut melarang sebarang bentuk bantuan kepada Israel, termasuk sokongan ketenteraan, logistik atau ekonomi dan menggesa sekatan penuh terhadap Israel.
‘Fatwa’ tersebut telah menerima pelbagai reaksi dari negara dan institusi Islam di seluruh dunia.
Pihak berkuasa fatwa rasmi Mesir, yang dikenali sebagai Dar al-Ifta, merupakan antara institusi perintis terawal yang mengeluarkan fatwa di seluruh dunia Islam, mengecam sekeras-kerasnya ‘fatwa’ IUMS, sambil menyifatkannya sebagai “pelawaan kepada huru-hara”.
Ia turut menegaskan bahawa pengisytiharan sedemikian harus menjadi hak eksklusif pihak berkuasa negara dan bukannya pertubuhan bebas.
Dar al-Ifta juga menyatakan bahawa ‘fatwa’ IUMS bercanggah dengan syariah (hukum Islam) dan menekankan bahawa hanya para pemimpin negara yang sah boleh mengisytiharkan peperangan, sambil memberi amaran terhadap mana-mana entiti yang tiada kuasa untuk mengeluarkan seruan sedemikian.
Bagaimanapun, Majlis Ulama Indonesia (MUI) menyatakan sokongan terhadap ‘fatwa’ IUMS tersebut.
MUI menyokong seruan berjihad menentang Israel, seiring dengan pendirian IUMS mengenai keperluan menyokong rakyat Palestin melalui pelbagai bentuk bantuan.
Kerajaan Qatar pula belum menyatakan pendiriannya mengenai ‘fatwa’ tersebut, walaupun IUMS berpangkalan di Qatar.
Penganalisis mentafsirkan sikap berdiam diri kerajaan Qatar sebagai persetujuan tersirat, memandangkan sokongan lamanya terhadap IUMS.
Umat Islam di seluruh dunia terus menghadapi pelbagai cabaran mengamalkan Islam dalam era digital hari ini, dengan maklumat – sama ada yang sahih mahupun mengelirukan – boleh tersebar luas dengan segera.
Pengisytiharan baru-baru ini, yang disalahertikan sebagai satu fatwa, adalah contoh jelas kebimbangan ini.
Fatwa seharusnya hanya dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama tempatan yang sah dan diiktiraf, yang mempunyai kelayakan agama yang sewajarnya, serta pemahaman mendalam tentang keunikan konteks budaya dan sosiopolitik masyarakat mereka.
Fatwa bukan sekadar satu pendapat agama; ia membawa implikasi moral yang berat dan dapat membentuk tingkah laku, sikap dan dasar awam.
Apabila entiti rentas negara atau berasaskan ideologi seperti IUMS mengeluarkan fatwa tanpa mengambil kira keadaan tempatan dan kedaulatan negara, mereka berisiko terputus daripada realiti, menimbulkan ketegangan, mencetuskan pemikiran radikal dan menjejas kedaulatan undang-undang.
Pemahaman berdasarkan konteks adalah penting dalam perundangan Islam, ulama mesti mengambil kira faktor masa, tempat dan keadaan sesuatu masyarakat, sebelum mengeluarkan sesuatu hukum.
Di Singapura, Muis dan Jawatankuasa Fatwa, yang dipengerusikan Mufti, adalah satu-satunya pihak berkuasa yang diiktiraf dan diberi kuasa untuk mengeluarkan fatwa.
Sebagai tindak balas kepada ‘fatwa’ IUMS yang menyeru kepada jihad bersenjata menentang Israel, Mufti Singapura tidak menyokong atau mengiktirafnya kerana pengisytiharan tersebut tidak selaras dengan undang-undang dan keselamatan negara, serta fabrik masyarakat berbilang agama di sini.
Fatwa yang dikeluarkan dari luar negara boleh menimbulkan perpecahan dan meradikalisasi masyarakat, jika ia mengabaikan konteks sosiobudaya dan politik tempatan.
Masyarakat Islam Singapura digalakkan mendapatkan bimbingan agama daripada pihak berkuasa agama tempatan seperti Muis dan Jawatankuasa Fatwa, serta nasihat daripada asatizah bertauliah, terutama dalam menangani pelbagai isu rentas negara yang rumit, atau apabila menemui fatwa yang dikeluarkan oleh badan antarabangsa.
Ulama tempatan adalah yang paling arif dan berkelayakan untuk mentafsir hukum Islam dengan cara yang selaras dengan rangka undang-undang, keharmonian sosial dan nilai berbilang budaya Singapura.
Merujuk kepada institusi tempatan yang diiktiraf akan memastikan bimbingan agama yang diterima adalah baik dan bertanggungjawab mengikut konteks.
Sebagai kesimpulan, pengisytiharan IUMS menjadi satu peringatan tepat pada masanya, tentang bahaya hukum agama yang tidak mengambil kira konteks dan dipengaruhi unsur politik.
Dalam era ideologi rentas negara dan pengaruh dalam talian, adalah lebih penting berbanding sebelum ini bagi masyarakat Islam, terutama yang hidup dalam masyarakat sekular dan berbilang agama seperti Singapura, untuk bersikap bijak dalam urusan agama.
Dengan merujuk kepada pihak berkuasa tempatan yang sah dan mengamalkan agama berpandukan bimbingan agama yang relevan dengan konteks, masyarakat Islam Singapura dapat terus berpegang teguh pada Islam, di samping memainkan peranan sebagai anggota bertanggungjawab dalam masyarakat yang pelbagai.
Ustaz Dr Mohamed Ali ialah Zamil Kanan, Program Pengajian dalam Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Rafillah Rapit pula ialah pelajar peringkat Sarjana Sains (MSc) dalam Pengajian Strategik di RSIS.
“
Fatwa seharusnya hanya dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama tempatan yang sah dan diiktiraf, yang mempunyai kelayakan agama yang sewajarnya, serta pemahaman mendalam tentang keunikan konteks budaya dan sosiopolitik masyarakat mereka. Fatwa bukan sekadar satu pendapat agama; ia membawa implikasi moral yang berat dan dapat membentuk tingkah laku, sikap dan dasar awam. Apabila entiti rentas negara atau berasaskan ideologi seperti IUMS (Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa) mengeluarkan fatwa tanpa mengambil kira keadaan tempatan dan kedaulatan negara, mereka berisiko terputus daripada realiti, menimbulkan ketegangan, mencetuskan pemikiran radikal dan menjejas kedaulatan undang-undang. Pemahaman berdasarkan konteks adalah penting dalam perundangan Islam, ulama mesti mengambil kira faktor masa, tempat dan keadaan sesuatu masyarakat, sebelum mengeluarkan sesuatu hukum.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg