Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keselamatan jemaah haji dijaga di tengah ketegangan geopolitik

May 10, 2025 | 3:07 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (paling kiri) berinteraksi dengan jemaah haji (dari kanan) Cik Fazilah Md Daud dan Encik Muhammad Taib Asmori pada 10 Mei. Encik Masagos ditemani (dari kiri, terselindung) Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen dan Presiden Muis, Encik Mohd Sa’at Abdul Rahman.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (paling kiri) berinteraksi dengan jemaah haji (dari kanan) Cik Fazilah Md Daud dan Encik Muhammad Taib Asmori pada 10 Mei. Encik Masagos ditemani (dari kiri, terselindung) Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen dan Presiden Muis, Encik Mohd Sa’at Abdul Rahman. - Foto BM oleh DESMOND WEE

Jemaah Singapura yang bakal menunaikan ibadah haji 2025 akan melalui laluan selamat untuk sampai ke tanah suci dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan berusaha semampunya untuk memastikan keselamatan jemaah dijaga, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad pada 10 Mei.

Menjawab pertanyaan tentang musim haji yang akan berlangsung di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang tinggi, Encik Masagos berkata:

“Satu-satunya masa kami membatalkan haji adalah sewaktu Covid-19. Ia (dilakukan) sekiranya ia bukan sahaja membahayakan diri anda apabila ke sana, tetapi apabila anda pulang, anda membawa virus itu dan membawa bahaya kepada orang di sekeliling anda. Mufti telah mengeluarkan fatwa untuk membatalkan haji pada tahun tersebut.

“Sebaliknya, terdapat laluan selamat untuk ke sana. Saya boleh beri jaminan kepada jemaah bahawa kami akan laksanakan segalanya untuk memastikan mereka pergi dengan selamat, menikmati pengalaman haji dan pulang dalam keadaan sihat.”

Encik Masagos, yang ditemui di luar taklimat prakeberangkatan haji yang diadakan di  Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, memberi komitmen bahawa kesihatan jemaah akan dijaga baik sedang Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) meneruskan model hibridnya bekerjasama dengan Arab Saudi bagi memastikan warga Singapura mendapat akses cukup kepada perkhidmatan perubatan.

Beliau kemudian menasihati jemaah agar bukan sahaja kekal cergas tetapi untuk terus menghidratkan diri dan menjaga kesihatan diri sedang mereka berdepan dengan kemungkinan cuaca ekstrem sedang Makkah dan Madinah memasuki musim panas.

Pada 2025, Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen akan memimpin delegasi haji negara ini yang terdiri daripada seramai 900 anggota jemaah dari Singapura.

Rombongan pertama akan bertolak dari Singapura pada 22 Mei dan kumpulan terakhir akan berangkat pada 2 Jun.

Dalam ucapannya, Encik Kadir berkata kesihatan dan keselamatan jemaah kekal sebagai keutamaan tertinggi.

Justeru, sokongan perubatan telah diperkukuh menerusi model hibrid hasil kerjasama dengan perkhidmatan kesihatan di Arab Saudi.

Klinik bergerak sendiri di Shisha, Makkah dan Madinah akan disediakan, dan ia akan dikendalikan oleh pegawai kesihatan dari Singapura, jelasnya.

Beliau turut meluahkan kegembiraan tentang pelaksanaan program Sihat untuk haji, usaha bersama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) untuk bantu tingkat kecergasan fizikal jemaah haji.

Program tersebut, katanya, telah mencatatkan penyertaan yang memberangsangkan, dengan lebih 85 peratus jemaah menyertai aktiviti pengukuhan kekuatan dan mengikuti ceramah kesihatan.

Antara yang telah mengambil bahagian dalam semua kegiatan di bawah program tersebut ialah pasangan suami isteri Encik Muhammad Taib Asmori, 57 tahun dan Cik Fazilah Md Daud, 56 tahun - kedua-duanya bakal menunaikan ibadah haji buat kali pertama setelah menanti selama 12 tahun.

“Semua senaman itu membantu saya dengan banyak sekali. Sekarang saya solat tanpa perlu menggunakan kerusi lagi,” kata Cik Fazilah, seorang suri rumah.

Di samping program tersebut, Cik Fazilah dan Encik Taib, seorang jurutera, akan dengan sendirinya melakukan kegiatan berjalan pantas sehingga tiga kilometer setiap minggu supaya dapat meningkatkan tahap kecergasan jasmani.

Cik Fazilah dan Encik Taib, yang mempunyai dua anak, bakal berangkat 29 Mei ini bersama agensi Noor Mohamad Services & Travel.

Ditanya tentang keprihatinan, Cik Fazilah menyentuh tentang cuaca panas yang bakal dihadapi.

“Kami bimbang alami dehidrasi disebabkan cuaca panas. Tetapi kami buat persiapan, dengan membeli air elektrolit, antara keperluan untuk tangani kepanasan itu. Insya-Allah, kami sedia dari segi mental,” ujarnya dengan penuh positif.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg