Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pihak berkuasa siasat akaun media sosial menyasar parti politik

Apr 25, 2025 | 4:05 PM
akaun palsu, GE2025, parti politik, media sosial
Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) menggesa orang ramai menjadi pengguna yang bijak dalam menilai hantaran di akaun media sosial baru yang menyasarkan parti politik. - Foto ST

Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) menasihatkan pengguna Internet agar berwaspada dan bijak menilai maklumat daripada akaun media sosial yang menyasarkan parti politik.

Pihak berkuasa pula akan terus memantau ruang dalam talian bagi memastikan tiada campur tangan asing yang boleh menjejaskan proses pilihan raya.

Menjawab pertanyaan media, jurucakap MDDI berkata: “Kami akan terus memantau ruang dalam talian bagi mengesan sebarang campur tangan asing dan menggesa orang ramai agar menjadi pengguna maklumat yang bijak dan berwaspada.”

Pemerintah juga akan mengambil tindakan terhadap kandungan dalam talian yang melanggar undang-undang, lapor The Straits Times (ST).

MDDI menyatakan: “Kami akan bertindak terhadap kandungan yang melanggar undang-undang negara.”

Menurut laman web Jabatan Pilihan Raya (ELD), campur tangan asing merujuk kepada “cubaan pihak luar untuk memanipulasi politik dalam negara secara sembunyi dan memperdayakan, yang boleh merosakkan kedaulatan politik dan keharmonian sosial”.

“Politik Singapura seharusnya ditentukan oleh rakyat Singapura sahaja,” tambah kenyataan itu.

Nasihat pemerintah ini merujuk kepada beberapa akaun media sosial yang muncul menjelang Hari Penamaan Calon, yang kelihatan menyasarkan pelbagai parti politik.

MDDI berkata akaun media sosial tersebut sedang disiasat. ST mendapati beberapa akaun tersebut berkaitan dengan nombor telefon Singapura, manakala yang lain dicipta menggunakan nombor telefon Amerika Syarikat.

Kandungan yang dikongsi oleh akaun-akaun ini memberi gambaran palsu atau negatif dan menyasarkan pelbagai parti politik di Singapura.

Kebanyakan akaun ini menggunakan gambar palsu yang dihasilkan dengan kecerdasan buatan (AI), untuk menipu seolah-olah milik warganegara Singapura.

Pemeriksaan oleh ST mendapati sekurang-kurangnya 20 akaun sedemikian, di platform seperti Instagram dan Facebook.

Profesor undang-undang, Profesor Benjamin Ong dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata akaun-akaun ini tidak boleh diterima dalam mana-mana demokrasi, tanpa mengira parti politik yang disasarkan. 

Beliau menyatakan: “Fenomena ‘penglibatan palsu’, termasuk mencipta akaun banyak untuk memberi komen atau ‘like’ pada siaran, adalah percubaan untuk memberikan gambaran palsu tentang pandangan orang ramai dan populariti mereka... Terdapat niat yang jelas untuk menipu, dan memesongkan sentimen orang awam.”

Profesor Edson C. Tandoc Jr, yang memantau akaun palsu di media sosial sebagai sebahagian daripada penyelidikannya di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata serangan politik yang diatur menggunakan akaun tidak sah bagi menimbulkan sentimen negatif sudah lama wujud di negara lain. 

Beliau menjelaskan: “Kandungan siaran ini mungkin tidak mengandungi kenyataan yang tidak benar secara terang-terangan, menjadikannya di luar skop inisiatif undang-undang berita palsu.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg