Sajak untuk suami.
Selepas beliau disahkan tidak akan bertanding sebagai calon di GRC Marine Parade-Braddell Heights, isteri Encik Fahmi Aliman, Cik Rohana Mohd Salleh, telah memuat naik sajak ke akaun media sosialnya.
Bertajuk Qadr atau Takdir, sajak dalam bahasa Inggeris itu berbunyi;
Kepada suami tercinta, Fahmi.
Dia melukis langit dengan cahaya keemasan,
Kemudian melabuh tirai menjemput malam.
Dengan bisikan nafasnya, Dia membentuk tanah liat,
Sang Pencipta yang boleh mengambil segalanya dari kita.
Lantas dakap rahmah yang diberikan dengan penuh keikhlasan,
Seperti masa yang berlalu pantas dan pasir yang beralih arah.
Kerana Dia yang memberi dan mengambil
akan terus bersama kita,
apa jua yang mendatang.
Encik Fahmi telah berkongsi sajak tersebut di akaun media sosial beliau juga.
Beliau yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East disahkah tidak akan bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights oleh Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang memimpin pasukan parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), GRC tersebut.
Dr Tan membuat pengumuman tersebut semasa memperkenalkan pasukannya dalam satu sidang media pada 20 April.
Tempat Encik Fahmi dalam pasukan PAP digantikan oleh Cik Diana Pang, seorang pengarah pembangunan perniagaan berusia 51 tahun yang telah dilihat bertemu penduduk di kawasan undi tersebut sebelum ini.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, juga telah dikerahkan ke GRC Marine Parade-Braddel Heights, berpindah dari GRC Nee Soon.
Tidak jelas sama ada Encik Fahmi, yang menyertai politik pada 2020, akan bertanding di kawasan lain atau bersara dari politik.
Berita Harian telah cuba mendapatkan komen Encik Fahmi, namun beliau enggan mengulas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg