Persidangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) adalah peristiwa penting untuk pembaharuan kepimpinan parti, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menjelang mesyuarat parti itu pada 25 Oktober.

Dalam mesej video yang dimuat naik ke media sosial pada 24 Oktober, Encik Wong berkata: “Saya berharap dapat bekerjasama dengan pasu­kan yang membawakan pengalaman serta perspektif baharu dalam kita mempersiapkan parti untuk tugas kita pada masa hadapan.”

Ini adalah ulasan pertama Encik Wong, yang juga setiausaha agung parti itu, mengenai kemungkinan komposisi pasukan kepimpinan baharu parti tersebut, termasuk peluang untuk menyertakan muka-muka baharu.

Persidangan itu, yang diadakan setiap dua tahun, menampilkan pemilihan dalaman parti untuk badan kepimpinan tertingginya – jawatankuasa eksekutif pusat (CEC).

Dalam persidangan itu, para kader parti akan memilih anggota CEC, kata Encik Wong.

Kader parti yang memerintah, yang membentuk ling­kungan dalamannya dan berjumlah lebih 2,000 orang, biasanya memilih 12 calon ke dalam CEC, yang kemudiannya melantik bersama dua calon yang mendapat undi tertinggi berikutnya.

CEC baharu itu kebiasaannya melantik sehingga empat lagi anggota untuk mencapai saiz maksimum jawatankuasa seramai 18 orang.

Ia juga membahagikan peranan yang berbeza, seperti pengerusi dan bendahari, dalam kalangan anggotanya.

Majoriti CEC semasa, yang ke-38 bagi parti itu, dibentuk oleh pemimpin generasi keempat, kecuali Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong dan Encik K. Shanmugam.

Ini akan menjadi peluang pertama bagi sebahagian daripada 27 Anggota Parlimen (AP) penggal pertama PAP daripada pilihan raya umum 2025 (GE2025) untuk dipilih menyertai CEC, menurut The Straits Times (ST).

Encik Wong selanjutnya menyatakan bahawa ini akan menjadi persidangan parti yang pertama sejak Singapura mengadakan pilihan raya.

Pada mesyuarat CEC pertama selepas persidangan sebelum ini pada 2024, beliau mengambil alih jawatan sebagai ketua parti, sekali gus melengkapkan peralihan kuasa kepimpinan daripada Encik Lee.

Persidangan parti itu berselang-seli setiap tahun dengan konvensyen parti yang menyaksikan tiada pengundian diadakan.

Pada konvensyen parti 2025, Encik Wong berkata beliau berharap dapat melihat anggota yang akan membentuk generasi pemimpin seterusnya parti itu menjelang pilihan raya umum menjelang 2030.

Persidangan itu adalah satu peristiwa yang berguna untuk parti yang memerintah menilai semula apa yang telah dijalankan dan menetapkan keutamaan mereka bagi baki penggal tersebut, kata Encik Wong dalam hantarannya itu.

Rakyat Singapura telah memberikan mandat yang kukuh kepada parti itu, kata beliau. Partinya memenangi pilihan raya tersebut, yang pertama bagi beliau sebagai ketua parti, dengan 65.57 peratus undi.

“Kami akan menunaikan janji kami, menangani cabaran mendatang, dan bekerja keras untuk meningkatkan taraf hidup semua rakyat Singapura,” ujar Encik Wong.