Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas Pengarah CIA: Belajar dari S’pura cara bangkit semula, raih kepercayaan rakyat

Bekas Pengarah CIA turut puji sistem pendidikan, pegawai tentera setempat hurai masalah rumit
Dec 11, 2024 | 6:44 PM
Rakan Kongsi dan Pengerusi Institut Global KKR, Jeneral (Bersara) David Petraeus (kiri), berucap di dialog anjuran Institut Timur Tengah (MEI) pada 11 Disember di Hotel Orchard, yang dikendalikan oleh Felow Kehormat MEI, Encik Bilahari Kausikan.
Rakan Kongsi dan Pengerusi Institut Global KKR, Jeneral (Bersara) David Petraeus (kiri), berucap di dialog anjuran Institut Timur Tengah (MEI) pada 11 Disember di Hotel Orchard, yang dikendalikan oleh Felow Kehormat MEI, Encik Bilahari Kausikan. - Foto BH oleh ANWAR SALEH

Pemimpin di negara-negara Timur Tengah harus belajar daripada Singapura bagaimana parti pemerintahnya mampu bangkit daripada kemunduran politik dan berjaya mendapatkan semula kepercayaan rakyat, kata Rakan Kongsi dan Pengerusi Institut Global KKR, Jeneral (Bersara) David Petraeus.

Berucap dalam dialog anjuran Institut Timur Tengah (MEI) pada 11 Disember di Hotel Orchard, Encik Petraeus memuji keupayaan pemerintah Singapura menambat semula kepercayaan rakyat sebagai “sesuatu yang benar-benar bijak” berikutan prestasi Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang mengecewakan semasa Pilihan Raya Umum (GE) 2011.

Encik Petraeus, yang berkhidmat sebagai Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA) dari 2011 hingga 2012 selepas berkhidmat selama 37 tahun sebagai seorang jeneral dalam tentera Amerika Syarikat, berkata demikian semasa menjawab soalan yang diajukan oleh ahli lembaga pengarah MEI, Encik Fazlur Rahman Kamsani.

Encik Fazlur telah bertanya tentang pengajaran dan pertimbangan strategik yang boleh dipelajari oleh Singapura daripada konflik yang sedang bergelora di Timur Tengah.

Dalam jawapannya, Encik Petraeus berkata beliau “berasa ia sebaliknya”.

“Apabila saya datang ke sini pada 2011, pegawai saya memberitahu bahawa keputusan GE 2011 amat mengecewakan bagi parti pemerintah. Kami (Amerika) tidak pasti sama ada kekecewaan ini akan berterusan pada masa hadapan.

“Dan apa yang berlaku selepas itu ialah pemimpin parti (PAP) telah duduk bersama-sama, muhasabah diri, membuat perubahan ketara, menyampaikan mesejnya secara berkesan kepada rakyat dan melaksanakannya.

“Lantas, mereka berjaya kembali ke garis (margin) kemenangan yang biasa mereka nikmati,” kata Encik Petraeus.

Semasa GE 2011, PAP memenangi 60.14 peratus undi – prestasi paling buruk buat parti pemerintah itu sejak ia memimpin negara. Ia juga merupakan kali pertama parti pembangkang, Parti Pekerja (WP), memenangi sebuah GRC.

Meskipun berdepan dengan kekecewaan semasa GE 2011, PAP telah bangkit semula dan memenangi 69.86 peratus undi dalam GE 2015 dan 61.23 peratus undi semasa GE 2020.

“Saya fikir persoalan sebenar adalah bagaimana orang lain boleh menerima pendekatan yang diambil Singapura berikutan sesuatu yang dilihat sebagai kemunduran politik dan memulihkan semula sokongan dan kepercayaan kepada pemerintah?

“Saya rasa itulah sesuatu yang benar-benar bijak,” tambahnya.

Dialog yang dianjurkan oleh MEI dan dikendalikan oleh Felow Terhormat MEI, Encik Bilahari Kausikan, turut menyentuh topik berkenaan konflik berterusan antara Israel dengan Hamas, serta konflik yang sedang bergelora di Syria, Iran dan kehadiran Amerika di rantau Timur Tengah.

Menyifatkan mantan Sultan Oman, Sultan Qaboos Said Al Said, sebagai ‘Lee Kuan Yew Timur Tengah’, Encik Petraeus juga memuji tokoh pemimpin lain di Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain, Oman dan Arab Saudi yang telah membimbing negara mereka dengan cara yang sangat “mengkagumkan”.

“Tokoh-tokoh yang mempunyai kuasa besar menjadi autoritarian sehingga rakyat berasa mereka sudah cukup dengan pemerintahan mereka, lalu mereka akan memenuhi Dataran Tahrir atau apa sahaja (untuk membantah).

“Jadi saya fikir banyak pengajaran yang boleh diambil dari Singapura,” tambahnya.

Encik Petraeus turut memuji sistem pendidikan Singapura yang beliau menyifatkan sebagai “amat menonjol”.

Beliau menekankan bagaimana semasa beliau menjalankan tugas sebagai Jeneral tentera Amerika di Afghanistan, pegawai tentera Singapura di bawah kepimpinannya “adalah yang paling berpendidikan” dan dapat menyelesaikan masalah yang tidak dapat dilakukan oleh tentera-tentera lain.

“Saya fikir setiap daripada mereka mempunyai beberapa ijazah daripada Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Stanford atau beberapa sekolah bertaraf Ivy League.

“Saya masih ingat memberi mereka sesuatu masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh pegawai lain, dan mereka dapat menyelesaikannya.

“Mereka kembali dalam masa kira-kira tiga setengah hari dan menyelesaikan semuanya dan membentangkan semua langkah dan butiran yang diperlukan,” tambah Encik Petraeus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg