Keputusan untuk memindahkan Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dari GRC Chua Chu Kang ke GRC Punggol dibuat demi memastikan kestabilan kepimpinan di bahagian “timur negara ini”, tegas Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Berucap di rapat pilihan raya umum Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC Chua Chu Kang di Plaza Keat Hong pada 26 April, Encik Wong berkata bahawa walaupun ramai penduduk berasa sedih melihat pemindahan Encik Gan yang telah berkhidmat hampir dua dekad, keputusan itu diambil setelah mempertimbangkan keperluan strategik negara.
“Dengan persaraan para pemimpin kanan seperti Encik Teo Chee Hean (Menteri Kanan), kami memerlukan tangan yang berpengalaman untuk mengemudi kawasan timur. Encik Gan adalah calon terbaik untuk peranan itu,” kata beliau di hadapan para penyokong yang hadir di Plaza Keat Hong, bersebelahan Sekolah Rendah Concord.
Bagi memastikan kesinambungan pembangunan di GRC Chua Chu Kang, Encik Wong memperkenalkan Dr Tan See Leng sebagai calon pengganti.
Beliau menekankan bahawa Dr Tan membawa pengalaman luas dalam pentadbiran negara, khususnya semasa mengetuai Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
“Semasa krisis Covid-19, Dr Tan memainkan peranan penting dalam menguruskan situasi di asrama pekerja asing dengan cekap dan penuh keprihatinan.
“Selain itu, beliau memperkukuhkan langkah-langkah pekerjaan adil dan memperluas peluang peningkatan kemahiran menerusi program SkillsFuture,” kata Encik Wong.
Tambah Encik Wong, Dr Tan tidak berseorangan dalam usahanya untuk menerajui GRC Chua Chu Kang.
Dr Tan disokong oleh pasukan yang terdiri daripada Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang telah berkhidmat selama lima tahun sebagai Anggota Parlimen (AP) di kawasan itu; Dr Choo Pei Ling, yang berpengalaman dalam kerja-kerja kemasyarakatan; serta calon baru, Encik Jeffrey Siow, yang berpotensi menjadi pemegang jawatan penting pada masa depan.
Semasa ucapannya, Dr Tan See Leng mengakui bahawa pengenalannya kepada penduduk di GRC Chua Chu Kang tiga hari lalu mungkin mengejutkan ramai.
Namun beliau memberi jaminan bahawa beliau, bersama rakan sepasukannya akan memberikan sepenuh komitmen dan usaha terbaik mereka demi kesejahteraan semua penduduk dalam GRC tersebut.
“Kami berazam untuk membina asas kukuh yang telah diletakkan oleh DPM Gan dan semua pasukan PAP sebelum ini,” kata Dr Tan.
“Kami akan memastikan Chua Chu Kang kekal sebagai sebuah ‘Rumah yang Kita Cintai’.”
Sementara itu, PM Wong menyeru para pengundi supaya memberikan kepercayaan kepada pasukan PAP yang baru ini.
Beliau menekankan pentingnya kepimpinan yang stabil dan berwibawa, terutama dalam menghadapi cabaran global yang semakin mencabar.
“Kami faham kebimbangan rakyat Singapura tentang kenaikan kos sara hidup, ini juga bersangkut paut dengan isu global seperti peperangan dan gangguan rantaian bekalan menaikkan harga, tetapi kami fokus menanganinya...”
Beliau juga memberi jaminan Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bukan sekadar untuk tahun ini saja, malahan akan diagihkan selagi diperlukan.
“Kami boleh berbuat begini kerana kami telah menguruskan ekonomi dan kewangan dengan baik, kami ada sumber untuk melindungi rakyat Singapura daripada tekanan kos yang semakin meningkat, dan jika situasi ekonomi semakin teruk, kami akan melakukan lebih daripada itu..,” kata Encik Wong yang mengingatkan rakyat Singapura tentang cabaran masa depan.
“(Cabaran masa depan) perlukan pepimpinan, penyelesaian yang serius dan orang yang serius, undilah mereka yang fokus untuk menyatukan Singapura, bukan memecah-belahkannya.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg