Setiap masyarakat atau kumpulan mempunyai isu keprihatinan yang khusus, namun rakyat Singapura segenap lapisan juga menghadapi isu-isu nasional yang menjejas kehidupan mereka, termasuk kos sara hidup.
Oleh itu, Parti Tindakan Rakyat (PAP) berharap rakyat akan menyedari kepentingan yang dipertaruhkan dan memilih pasukan yang terbaik untuk membawa Singapura terus maju ke hadapan apabila mereka keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas dalam sidang media di ibu pejabat PAP pada 23 April tentang sama ada kehadiran naib pengerusi Parti Pekerja (WP), Encik Faisal Manap, yang akan menerajui pasukannya untuk menentang pasukan PAP diketuai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di GRC Tampines akan menjejas undi di kawasan itu.
Terdapat “begitu banyak risiko” di tengah-tengah dunia yang berubah dengan pergolakan di sekeliling dan ketegangan geopolitik, dan “lebih daripada sebelumnya, siapa yang rakyat Singapura pilih sebagai pemerintah dipilih mereka dalam dunia berubah ini adalah kritikal”, kata Encik Wong.
“Kepentingan pilihan raya ini bukan hanya mengenai isu masyarakat tertentu. Ia mengenai masa depan Singapura.
“Kita semua harus prihatin, dan saya berharap rakyat Singapura, tanpa kira latar belakang, akan lihat pada perkara ini, kenali kepentingan yang dipertaruhkan, kenali risiko, dan memilih pasukan terbaik yang akan membolehkan Singapura terus maju,” kata beliau.
Terdapat beberapa kejutan pada Hari Penamaan Calon pada 23 April, termasuk perubahan saat-saat akhir melibatkan dua menteri berprofil tinggi – Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Encik Gan berpindah dari GRC Chua Chu Kang untuk menerajui kawasan undi baru, GRC Punggol, manakala Dr Tan pula meninggalkan kerusinya di GRC Marine Parade-Braddell Heights untuk memimpin GRC Chua Chu Kang.
Ditanya mengenai keputusan di sebalik perubahan tersebut, Encik Wong berkata jika melihat pada gambaran keseluruhan, pengerahan tersebut merupakan pengagihan kepimpinan kanan PAP yang lebih baik dalam GE2025.
“Saya akan berada di kawasan barat di Marsiling-Yew Tee, Menteri Kanan Lee Hsien Loong berada di tengah di Ang Mo Kio dan DPM Gan akan berada di Punggol di kawasan timur,” kata beliau.
“Jika kami dipilih, itu pengagihan kepimpinan yang lebih baik untuk memastikan kami boleh meliputi seluruh Singapura dan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada semua penduduk,” tambah beliau.
Encik Wong turut menyentuh tentang pembaharuan kepimpinan dalam parti, sambil menambah bahawa persaraan dua lagi menteri, DPM Heng Swee Keat dan Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, akan memberi laluan kepada darah muda.
“Jika anda tanya saya sama ada mereka masih boleh menyumbang, tentu sekali mereka boleh. Namun, mereka juga menyedari keperluan bagi pembaharuan dan telah memutuskan untuk mengundurkan diri untuk memberi laluan kepada pembaharuan,” kata beliau.
Encik Wong berkata beliau “telah bekerja lebih keras” kali ini untuk membawa masuk muka baru demi mengukuhkan lagi pasukan PAP, dengan ada antara mereka berpotensi menjadi pemegang jawatan politik.
“Kami menampilkan (calon-calon ini) dan berharap rakyat Singapura dapat melihat potensi mereka juga, dan membantu saya memilih mereka masuk Parlimen.
“Dan daripada individu yang dipilih itu, saya akan dapat menghimpunkan pasukan kukuh untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg