Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Peralihan ke arah model tenaga baru tidak harus bebankan rakyat

S’pura perlu tenaga bersih ‘milik sendiri’ bagi pacu transformasi digital global
Nov 20, 2025 | 12:00 PM
Perdana Menteri Lawrence Wong  (kiri) dalam dialog Forum Ekonomi Baru Bloomberg (NEF), bersama moderator John Micklethwait pada 19 Nov.
Perdana Menteri Lawrence Wong (kiri) dalam dialog Forum Ekonomi Baru Bloomberg (NEF), bersama moderator John Micklethwait pada 19 Nov. - Foto MDDI

Dengan permintaan tenaga dijangka melonjak akibat perkembangan kecerdasan buatan (AI), pusat data dan transformasi digital global, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong memberi berkata Singapura perlu mempertimbangkan model tenaga baharu - termasuk tenaga nuklear berskala kecil - bagi memastikan keselamatan tenaga jangka panjang negara.

Dalam dialog di Forum Ekonomi Baru Bloomberg (NEF), Encik Wong berkata landskap tenaga global sedang berubah dengan pantas dan Singapura tidak boleh mengandaikan model hari ini akan kekal mencukupi untuk masa depan.

“Permintaan tenaga akan meningkat - terutamanya dengan pusat data dan teknologi AI,” kata beliau.

“Kita perlu melihat secara serius apakah sumber tenaga baru yang diperlukan supaya kita kekal berdaya saing.”

Encik Wong berkata tenaga nuklear bukan lagi ‘topik larangan’ - meskipun menegaskan ia memerlukan kajian mendalam.

“Kami (Singapura) sedang mengkaji kemungkinan teknologi baru seperti reaktor modular kecil (SMRs, small modular reactors), terutamanya generasi baru yang lebih selamat,” kata beliau.

Namun beliau menekankan Singapura masih berada pada fasa awal penilaian, dan tiada keputusan akan dibuat tanpa bukti saintifik, perbandingan global dan sokongan masyarakat.

“Kita perlu menilai keselamatan, teknologi dan penerimaan awam. Kita belum sampai ke tahap itu - tetapi kita sedang membina keupayaan untuk memahami pilihan ini.”

Hari ini, hampir seluruh tenaga elektrik Singapura datang daripada gas asli cecair (LNG). Bagaimanapun menurut PM Wong, model ini tidak cukup untuk masa hadapan.

“Tidak ada penyelesaian sempurna (silver bullet). Kita terlalu kecil untuk menjana tenaga yang boleh diperbaharui pada jumlah yang besar,” katanya, sambil menambah negara ini mahu mempunyai sumber tenaga bersih ‘milik sendiri’ - sama ada hydrogen, atau teknologi lain di masa depan.

Dalam pada itu, PM Wong menarik perhatian bahawa peralihan digital membawa implikasi fizikal yang besar.

“AI bukan hanya tentang perisian - ia membawa permintaan tenaga baharu yang sangat besar,” ujar beliau.

Beliau berkata walaupun pusat data membawa pelaburan dan peluang pekerjaan, ia juga memerlukan perancangan tenaga dan infrastruktur fizikal jangka panjang yang lebih strategik.

Dalam mengurus peralihan ke arah model tenaga baru, Encik Wong menjelaskan pemerintah perlu memastikan ia tidak membebankan rakyat - terutamanya golongan berpendapatan lebih rendah.

“Kita bukan hanya memikirkan penyelesaian teknologi. Kita juga memikirkan kesan sosial - termasuk kos dan struktur sokongan kepada rakyat,” katanya.

Beliau menambah bahawa Singapura mempunyai pendekatan dasar yang lebih luas berbanding negara lain, termasuk sistem perumahan awam yang memberi nilai kekayaan jangka panjang kepada rakyat biasa.

Sementara itu, mengulas isu ketegangan geopolitik pula, Encik Wong menegaskan bahawa Singapura akan kekal berpendirian bebas dan pragmatik dalam menghadapi persaingan dua kuasa besar - Amerika Syarikat dan China.

PM Wong menyifatkan dunia hari ini berada dalam fasa peralihan berbahaya - dari satu sistem dunia berteras tunggal kepada sistem multipolar yang masih belum mempunyai peraturan jelas.

“Zaman unipolar - di mana Amerika memimpin dan menjadi penggerak utama sistem global - sudah berakhir. Peraturan lama tidak lagi terpakai, tetapi peraturan baru belum ditulis,” katanya.

Mengulas pertemuan terkini Presiden China Xi Jinping dan Presiden Amerika Donald Trump, PM Wong menyifatkannya sebagai perkembangan positif - namun rapuh.

“Ia mungkin hanya gencatan sementara, tetapi ia sangat diperlukan. Ia menyediakan perlindungan supaya persaingan tidak tergelincir menjadi pemisahan menyeluruh atau, lebih buruk, konflik,” katanya.

Beliau berkata dialog berterusan antara kedua-dua pemimpin sepanjang tahun depan memberi sedikit ruang stabiliti, namun “rasa saling curiga masih kekal mendalam.”

Isu Taiwan, katanya, kekal titik paling sensitif dalam hubungan kuasa besar.

“Taiwan adalah garis merah paling merah bagi China. Kami tidak melihat konflik ketenteraan berlaku dalam masa terdekat - kecuali jika ada tindakan unilateral yang mengubah status quo, seperti pengisytiharan kemerdekaan,” tegasnya.

Beliau menambah bahawa konsistensi dasar Amerika adalah penentu stabiliti jangka panjang.

“Jika Amerika kekal berpegang pada rangka dasar One China dengan berhati-hati, kita mungkin dapat mengekalkan keamanan di Selat Taiwan.”

Diminta mengulas sama ada negara-negara Asia Tenggara semakin condong kepada China berbanding Amerika - satu naratif yang sering dibincangkan dalam pemerhatian geopolitik Barat - PM Wong menolak gambaran itu sebagai simplistik.

“Ia bukan soal memilih satu pihak. Tekanan sentiasa ada - setiap kuasa besar mahu kita lebih rapat dengan mereka. Tetapi kedudukan Singapura jelas: kami membuat keputusan berdasarkan kepentingan negara, bukan logik blok,” katanya.

Beliau menyifatkan pendekatan Asean ini sebagai ‘multiple alignment’ atau penjajaran pelbagai - bukan ‘non-alignment’ atau pendekatan yang langsung berbeza.

“ASEAN pernah menjadi medan perang kuasa besar. Ia pengalaman yang sangat pahit. Kami tidak akan membenarkannya berulang.”

PM Wong turut memberi amaran bahawa tindakan unilateral negara-negara mengenakan tarif, sekatan teknologi dan kawalan rantaian bekalan - tanpa kerangka kolektif - boleh membawa dunia kepada perlumbaan tindak balas berbahaya seperti era 1930-an.

“Jika setiap negara bertindak sendiri berdasarkan ketakutan atau nasionalisme ekonomi, kita boleh memasuki kitaran pembalasan yang tidak berkesudahan - dengan akibat yang sangat buruk,” katanya.

Beliau berkata negara kecil dan sederhana perlu bekerjasama membina norma baru melalui platform seperti FIT-P (Kerjasama Masa Depan Pelaburan dan Perdagangan), WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia) dan rangka-rangka serantau lain.

“Perubahan besar selalu bermula dengan usaha kecil. Jangan pandang rendah permulaan yang kecil. TPP juga bermula begitu.”

PM turut Wong mengingatkan bahawa negara kecil tidak boleh bersikap selesa dalam dunia yang semakin tidak stabil.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg