Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 21 Mei mengumumkan Kabinet baru, yang dikatakannya pasukan ‘paling kuat’ untuk memimpin Singapura menghadapi cabaran dunia dan ekonomi yang tidak menentu.
Encik Gan Kim Yong kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan. Beliau juga meneruskan tugas menyelaras usaha memperkukuh ekonomi negara sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert).
Encik Wong turut melantik tiga menteri berpengalaman – Encik K. Shanmugam, Encik Ong Ye Kung dan Encik Chan Chun Sing – sebagai Menteri Penyelaras bagi tiga bidang tumpuan utama, iaitu Keselamatan Negara; Dasar Sosial; dan Perkhidmatan Awam.
Empat penjawat politik dinaikkan pangkat, dengan sembilan penjawat politik baru dilantik.
“Saya telah berusaha gigih untuk membentuk pasukan paling kuat untuk Singapura yang dibentuk tokoh yang berpengalaman serta menteri baru dan yang lebih muda,” ujar Encik Wong.
Antara yang dinaikkan pangkat ialah Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim. Beliau bakal menggalas peranan sebagai Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) dan akan mengambil alih jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam daripada Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, sebagai Pemangku Menteri.
Encik Masagos kekal sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, tetapi tidak lagi berkhidmat di Kementerian Kesihatan sebagai menteri kedua.
Bercakap di sidang media yang diadakan untuk mengumumkan Kabinet baru pada 21 Mei, Encik Wong berkata beliau akan terus bekerjasama rapat dengan penjawat politik dan Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam dalam usaha mendekati masyarakat Melayu-Islam.
“Mendekati masyarakat Melayu/Islam adalah keutamaan saya semasa penggal lalu; dan ia akan terus menjadi keutamaan dalam penggal baru pemerintah ini,” kata Encik Wong.
Dua Anggota Parlimen (AP) muka baru dan mantan kakitangan awam, Encik David Neo dan Encik Jeffrey Siow masing-masing dilantik sebagai pemangku menteri di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Kementerian Pengangkutan.
Ini ialah Kabinet pertama yang diumumkan oleh Encik Wong menyusuli Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Encik Wong memimpin pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang meraih 65.57 peratus undi di GE2025 pada 3 Mei. Beliau sebelum itu telah mengorak beberapa perubahan dalam Kabinet pada Mei 2024, selepas menggalas jawatan Perdana Menteri.
Perubahan terbaru ini melibatkan kebanyakan penjawat politik baru dan yang lebih muda, serta dalam portfolio sosial dan keselamatan.
Portfolio ekonomi rata-rata tidak berubah. Kesemua kementerian mengalami sekurang-kurangnya satu perubahan kakitangan.
Dalam pada itu, AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, dilantik sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar, Pembangunan Sosial dan Keluarga). Beliau akan berkhidmat mulai 1 Februari 2026.
AP muka baru, Dr Syed Harun Alhabsyi, dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan dan Pembangunan Negara). Beliau dijadual memulakan khidmat pada 1 Oktober 2025.
Mengambil kira Encik Zaqy Mohamad sebagai Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran, Pertahanan) dan Cik Rahayu Mahzam yang kekal sebagai Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital,Kesihatan), ini bermakna terdapat enam penjawat politik Melayu/Islam dalam Kabinet baru, serupa dengan bilangan penjawat politik Melayu/Islam dalam Kabinet sebelum ini.
Menurut Encik Wong, perubahan susulan dalam Kabinet boleh dijangka dalam masa satu, dua tahun.
“Ini adalah Kabinet pertama saya di permulaan penggal baru pemerintah, sedang kita memulakan fasa selanjutnya. Pasukan ini lebih besar daripada yang kami ada sebelum ini kerana kami masih berada dalam peralihan.
“Saya menjangka membuat penyesuaian lanjut dalam masa satu, dua tahun akan datang, apabila lebih banyak penjawat politik lebih baru bersedia menggalas jawatan lebih tinggi,” kata beliau yang memohon warga Singapura memberikan sepenuh sokongan kepada beliau dan pasukannya.
“Saya telah berusaha yang terbaik untuk membentuk pemerintah berkesan untuk membawa Singapura ke hadapan dalam masa yang tidak menentu dah bergelora ini.”
Upacara angkat sumpah untuk Menteri, Menteri Negara Kanan dan Menteri Negara dijadual pada 23 Mei.
Upacara angkat sumpah untuk Setiausaha Parlimen Kanan akan diadakan pada tarikh lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg