Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal dilantik Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam

Beliau turut dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara Kanan
May 21, 2025 | 6:00 PM
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) akan mengganti Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad sebagai pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) akan mengganti Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad sebagai pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam. - Foto ST

Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim akan dilantik Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, menggantikan Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Dr Faishal, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), akan dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) dan melepaskan jawatannya di Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Encik Masagos akan juga melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kedua Kesihatan dan Pengerusi Mendaki, namun akan tetap meneruskan peranan beliau sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Bercakap di sidang media pada 21 Mei bagi membentangkan Kabinet barunya, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata beliau telah bercakap dengan Encik Masagos, dan kededuanya bersetuju dengan perubahan tersebut.

“Saya telah berbincang dengan (Masagos) dan kami bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk generasi baru pemimpin mengambil alih portfolio ini.

“Jadi saya menaikkan pangkat Faishal Ibrahim kepada Menteri Negara Kanan dan melantik beliau sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam,” kata Encik Wong.

Beliau menambah Menteri Negara Kanan, Encik Zaqy Mohamad, yang kini merupakan Timbalan Pengerusi Mendaki, akan mengambil alih daripada Encik Masagos sebagai Pengerusi Mendaki.

Encik Zaqy, yang sebelum ini menggalas peranan sebagai Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), akan melepaskan jawatannya di Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dan mengambil jawatan baru di Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE).

Encik Wong turut memberikan jaminan bahawa Dr Faishal dan Encik Zaqy akan bekerjasama dengan penjawat politik dan Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam yang lain untuk mendekati masyarakat Melayu/Islam Singapura.

“Saya akan bekerjasama rapat dengan mereka juga. Mendekati masyarakat Melayu/Islam adalah keutamaan bagi saya pada penggal yang lalu, dan ia akan terus menjadi keutamaan saya dalam penggal baru ini,” kata Encik Wong.

Dalam melantik Dr Faishal, Encik Wong berkata beliau telah berbincang dengan Encik Masagos dengan pasukan Kabinetnya, dan mereka telah setuju bahawa Dr Faishal adalah calon yang terbaik untuk menggantikan Encik Masagos.

Beliau turut memberikan penghargaan kepada Encik Masagos yang telah menggalas peranan tersebut selama tujuh tahun, termasuk melakarkan beberapa inisiatif yang telah memberi manfaat kepada masyarakat Melayu/Islam seperti usaha M3 dan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).

Dr Faishal, semasa berucap kepada media selepas pengumuman tersebut, berkata Encik Masagos, serta Menteri-Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam sebelum ini telah “banyak melakukan kerja yang baik” yang dihargai oleh semua.

Beliau juga memberi jaminan akan meneruskan usaha-usaha baik yang telah dilakarkan oleh Encik Masagos seperti Wakaf Masyarakat Singapura.

“Saya bersyukur dengan kepercayaan yang telah diberi oleh PM Wong. Ini satu tanggungjawab yang besar dan saya menerimanya dengan rendah diri.

“Salah satu aspek yang saya mahu menerapkan adalah bagaimana kita boleh mendengar dan juga mendekati masyarakat dengan lebih luas dan lebih mendalam,” kata Dr Faishal.

Dalam menggalas tanggungjawab baru ini yang beliau sifatkan sebagai “mencabar”, Dr Faishal berkata beliau akan memanfaatkan pengalaman lebih 30 tahun beliau dalam arena mendekati masyarakat Melayu/Islam serta jawatan politiknya dalam pelbagai kementerian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg