Parti Pekerja (WP) ingin mengambil alih sebagai parti pemerintah daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP), meskipun ia mungkin tidak berkata demikian secara terbuka sekarang, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Semasa berucap di Parlimen pada 24 September bagi menyokong Amanat Presiden, Encik Wong berkata adalah “sifat persaingan politik” yang WP ingin cuba membina barisan kepimpinannya dan meningkatkan kehadirannya di Parlimen dari masa ke masa.
“Saya percaya rakyat Singapura adalah pengundi yang arif,” kata Encik Wong.
“Mereka akan memutuskan parti mana yang layak mendapat kepercayaan mereka, baik dalam pemerintah mahupun dalam pembangkang.”
Encik Wong berkata beliau sepenuhnya menjangkakan WP sebagai pembangkang akan memastikan PAP menjalankan peranan dengan baik menerusi persoalan mereka, penelitian dasar, dan memastikan PAP dipertanggungjawabkan dalam apa jua yang dilakukan.
Encik Wong berkata walaupun rakyat Singapura telah memilih untuk mengembalikan PAP berkuasa, PAP tidak menganggap bahawa ia akan “secara automatik berhak untuk mentadbir”, hanya kerana ia telah berbuat demikian sejak pemerintahan sendiri.
Beliau menambah bahawa “hak untuk memimpin mesti diperoleh”, dengan bekerja keras dan menyampaikan hasil yang meningkatkan kehidupan rakyat Singapura.
Dalam ucapannya juga, Encik Wong menggesa semua Anggota Parlimen supaya menjalankan politik dengan serius, berintegriti, dan dengan penuh rasa tanggungjawab yang mendalam terhadap kepentingan jangka panjang negara.
“Jika mana-mana pihak tidak memenuhi jangkaan dan piawaian tinggi orang ramai, sudah tentu akan ada akibatnya,” kata Encik Wong. “Keistimewaan yang diberi hari ini boleh diambil dengan mudah esok hari.”
Encik Wong juga berkata bahawa pemerintah akan melakukan lebih banyak usaha untuk melibatkan rakyat Singapura di luar Dewan, melebihi sekadar mengalu-alukan pelbagai pandangan di Parlimen.
Meskipun terdapat banyak saluran untuk orang ramai memberi maklum balas, Encik Wong berkata pemerintah akan membuka peluang-peluang baru untuk rakyat Singapura mengadakan perbincangan dan penglibatan yang lebih mendalam.
Pusingan kedua Panel Belia juga akan dilancarkan pada 2026, kata Encik Wong, untuk menggalak belia berkongsi idea, menyusuli kejayaan pelancaran pusingan Panel Belia pertama pada 2023.
“Kepada semua warga muda Singapura, saya katakan: Kita tidak akan mengecewakan anda. Kita sedang membina Singapura bersama anda, dan untuk anda.
“Anda juga perlu memainkan peranan. Bekerjasama dengan kita untuk menjamin masa depan yang lebih cerah untuk diri anda dan warga senegara anda,” kata Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg