Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerjasama seluruh pemerintah perkukuh ekon, kompak sosial S’pura

MOF serta pihak berkepentingan akan bantu perniagaan berinovasi, sokong rakyat pertingkat kemahiran
Sep 19, 2025 | 5:30 PM
kompak sosial, ekonomi, lawrence wong, adendum, PMO
Agensi pemerintah dan rakan kongsi utama akan bekerjasama demi memastikan sebuah ekonomi yang dinamik dan kompak sosial yang kukuh untuk Singapura di tengah-tengah dunia yang lebih berbahaya dan tidak menentu hari ini, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong. - Foto ST

Dalam amanat beliau yang disampaikan semasa pembukaan Sidang Parlimen ke-15 pada 5 September, Presiden Tharman Shanmugaratnam, antara lain, menyentuh tentang pentingnya menegakkan kepercayaan antara pemerintah dengan rakyat. Beliau juga bercakap tentang usaha memupuk sebuah masyarakat ‘Kita Dahulu’. Berikut adendum beberapa kementerian dan agensi di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang berkongsi rancangan masing-masing dalam memastikan sebuah ekonomi yang dinamik dan kompak sosial yang kukuh untuk Singapura.

Kementerian Kewangan (MOF) akan bekerjasama dengan agensi pemerintah dan rakan kongsi utama demi memastikan ekonomi yang dinamik dan kompak sosial yang kukuh untuk Singapura di tengah-tengah dunia yang lebih berbahaya dan tidak menentu hari ini, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Dengan teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI) membentuk semula industri, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata terdapat keperluan bagi negara ini menyesuaikan diri dengan pantas.

“Peraturan sejagat yang berpandukan undang-undang semakin lemah dengan halangan semakin meningkat terhadap perdagangan dan kerjasama.

“Teknologi baru seperti AI sedang membentuk semula industri, membawa gangguan tetapi juga peluang yang besar.

“Kita mesti menyesuaikan diri dengan cepat dan memanfaatkan teknologi ini untuk mendapatkan pekerjaan yang baik serta pendapatan yang lebih tinggi untuk rakyat Singapura.

“Dengan kadar perubahan yang lebih pantas, kita juga mesti mengukuhkan sokongan sosial dan memastikan setiap rakyat berkongsi kemajuan negara kita,” kata Encik Wong dalam adendum MOF yang dibentangkan pada 19 September.

Dalam hal ini, MOF akan bekerjasama dengan agensi dan pihak berkepentingan melalui Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) dan Semakan Strategi Ekonomi untuk mengharungi ketidaktentuan sejagat dan memastikan Singapura kekal berdaya saing.

Ini termasuk membantu perniagaan, terutama syarikat kecil dan sederhana (SME) berinovasi dan memanfaatkan AI serta teknologi lain, dan menyokong rakyat Singapura mempertingkat kemahiran melalui SkillsFuture.

Adendum MOF itu dibentangkan susulan amanat Presiden Tharman Shanmugaratnam yang disampaikan semasa pembukaan Sidang Parlimen ke-15 pada 5 September, yang antara lain menekankan tentang pentingnya menegakkan kepercayaan antara pemerintah dengan rakyat serta dalam kalangan rakyat sendiri.

Dalam mengekalkan kekuatan dan kemampanan fiskal negara, MOF antara lain akan memperuntukkan sumber secara bijaksana dan menilai program dengan teliti.

Encik Wong berkata dengan keperluan semakin meningkat, perbelanjaan pemerintah dalam penggal ini akan meningkat sebagai bahagian Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP).

“Itu sebabnya kami membuat perubahan cukai lebih awal untuk mengukuhkan asas dan struktur pendapatan kita.

“Pemerintah akan terus berbelanja mengikut kemampuannya dan mengekalkan belanjawan seimbang dalam jangka pertengahan,” kata beliau.

Dalam usaha membina sebuah masyarakat yang kukuh dan bersatu padu, MOF akan melabur dalam setiap peringkat hidup agar lebih banyak peluang terbuka kepada semua rakyat, tidak kira titik permulaan.

Ini termasuk memastikan perumahan awam dan penjagaan kesihatan mampu milik dan mudah diakses, membolehkan warga emas meniti usia senja dengan baik dan memperkukuh sokongan untuk penjagaan.

Turut membentangkan adendum pada 19 September ialah Kementerian Undang-Undang (MinLaw), Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dan tiga agensi di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO) iaitu Kumpulan Strategi, Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dan Pejabat Dasar dan Rancangan Sains dan Teknologi Sektor Awam.

Dalam langkah mewujudkan ruang digital yang lebih selamat, MinLaw akan mengkaji keperluan bagi sebuah agensi baru demi menyokong mangsa bahaya dalam talian dengan rangka kerja yang sesuai bagi bantuan.

Ia juga akan terus menjadikan undang-undang, proses perundangan dan prosedur mahkamah lebih mudah difahami dan digunakan rakyat.

Sementara itu, MDDI akan membina keupayaan, merangsang inovasi dan mempercepat penggunaan AI dalam perusahaan dan tenaga kerja untuk merebut peluang pertumbuhan.

Ini termasuk menyokong perusahaan termasuk SME, mengerahkan AI untuk mempertingkat kecekapan dan meningkatkan usaha memperkukuh lebih banyak Pusat Kecemerlangan AI merentas sektor untuk memperdalam keupayaan.

Kementerian itu juga akan terus melabur dalam prasarana digital teras demi memastikan keterhubungan kukuh dan mengkaji bidang seperti 6G, rangkaian bukan daratan dan teknologi baru seperti kuantum.

Dalam pada itu, Kumpulan Strategi pula akan terus menangani dua cabaran demografi negara iaitu kadar kesuburan semakin merosot dan penduduk yang semakin menua.

Ia menambah bahawa Singapura juga kekal komited terhadap sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050, antaranya dengan berusaha untuk menyahkarbon campuran tenaga dan memajukan pengerahan suria domestik.

Sementara itu, PSD pula akan terus menyediakan huraian yang mampan, berkesan dan cekap untuk rakyat dan perniagaan, termasuk dengan mempertingkat khidmat bersepadu melalui usaha seluruh pemerintah seperti ComLink+ dan ServiceSG.

Pejabat Dasar dan Rancangan Sains dan Teknologi pula akan memperluas dan menyatukan keupayaan sains, teknologi dan kejuruteraan serta sumber merentas agensi pemerintah dalam pelbagai bidang daripada perancangan dan rekaan bandar hingga ke kerja penggalian terowong.

“Pendekatan ini akan mempercepat perkongsian idea dan membangunkan huraian yang memberi kesan untuk menangani keperluan dan peluang Singapura,” kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam dan Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.

Peraturan sejagat yang berpandukan undang-undang semakin lemah dengan halangan semakin meningkat terhadap perdagangan dan kerjasama. Teknologi baru seperti AI (kecerdasan buatan) sedang membentuk semula industri, membawa gangguan tetapi juga peluang yang besar... Dengan kadar perubahan yang lebih pantas, kita juga mesti mengukuhkan sokongan sosial dan memastikan setiap rakyat berkongsi kemajuan negara kita.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg