Perancis dan Singapura akan memeterai perjanjian untuk bekerjasama dalam bidang termasuk pertahanan dan keselamatan, undang-undang, kecerdasan buatan dan pengangkutan semasa lawatan negara oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron.
Encik Macron berada di Singapura pada 29 dan 30 Mei.
Pada hari kedua, beliau akan menyampaikan ucaptama dalam sesi Dialog Shangri-La, menjadikannya pemimpin Eropah pertama yang berbuat demikian.
Menurut The Straits Times, lawatannya itu juga sempena memperingati 60 tahun hubungan diplomatik antara Singapura dengan Perancis, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 29 Mei.
Ini adalah pusingan ketiga jelajah beliau ke Asia Tenggara.
Encik Macron berkunjung ke sini selepas melawat Indonesia, yang menyaksikan beliau menandatangani pakatan pertahanan yang boleh membawa kepada pesanan baru peralatan ketenteraan Perancis.
Beliau sebelum ini berada di Vietnam yang menghasilkan perjanjian untuk negara itu membeli pesawat Airbus buatan Perancis.
Pada hari pertama lawatan Encik Macron ke sini, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan isterinya mengadakan majlis makan malam untuk beliau dan Puan Macron.
Pada 30 Mei beliau akan diberi sambutan istiadat di Bangunan Parlimen dan akan bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam, serta menghadiri jamuan negara yang dihoskan oleh Tuan Presiden.
Beliau juga akan bertemu semula dengan Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, dan mereka akan bersama-sama menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman mengenai bidang kerjasama.
Encik Macron diiringi beberapa menteri Perancis, termasuk Menteri Ekonomi, Kewangan dan Perindustrian dan Kedaulatan Digital, Encik Eric Lombard; Menteri Angkatan Tentera, Encik Sebastien Lecornu; Menteri Eropah dan Hal Ehwal Luar, Encik Jean-Noel Barrot; dan Menteri Perwakilan untuk Kecerdasan Buatan (AI) dan Hal Ehwal Digital, Cik Clara Chappaz.
Lawatan ini menandakan pertemuan pertama antara presiden Perancis itu dengan Encik Wong sejak beliau memegang jawatan tertinggi selaku Perdana Menteri pada Mei 2024.
Mereka sebelum ini bertemu ketika Encik Wong melawat Perancis secara rasmi pada April 2024, selaku timbalan perdana menteri ketika itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg