Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pritam persoal keadilan laporan sempadan pilihan raya

Mar 26, 2025 | 1:33 PM
Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, menyifatkan perubahan sempadan “salah satu lakaran semula sempadan paling radikal yang pernah dilihat Singapura kebelakangan ini”.
Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, menyifatkan perubahan sempadan “salah satu lakaran semula sempadan paling radikal yang pernah dilihat Singapura kebelakangan ini”. - Foto ST

Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, mempersoalkan keadilan sempadan pilihan raya baru Singapura, dalam komen pertamanya mengenai topik itu sejak laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) dikeluarkan pada 11 Mac.

Dalam hantaran Facebook pada 25 Mac, Ketua Pembangkang itu menyifatkan perubahan tersebut sebagai “salah satu perubahan sempadan paling radikal yang pernah dilihat Singapura kebelakangan ini”.

Ramai pemerhati politik menyatakan rasa tidak percaya bahawa pertumbuhan penduduk disebut sebagai sebab untuk semakan itu, katanya.

“Terdapat banyak ulasan awam, terutama oleh anak muda Singapura, yang mempersoalkan keadilan proses pelakaran semula sempadan politik oleh pemerintah PAP (Parti Tindakan Rakyat) itu,” kata Encik Pritam, lapor The Straits Times.

Beliau menambah: “Sempadan adalah penting dan sebab yang mewajarkan perubahannya amat penting.”

EBRC menentukan sempadan pilihan raya menjelang Pilihan Raya Umum (GE) berdasarkan terma rujukan yang ditetapkan oleh perdana menteri.

Bagi GE2025, ia mengesyorkan perubahan sempadan di 22 daripada 31 kawasan undi sedia ada.

Jawatankuasa itu tidak menjelaskan keputusannya dalam beberapa dekad.

Namun pada 2025, ia menyatakan bahawa peralihan penduduk adalah pemacu utama kepada perubahan di kawasan tertentu, yang mempunyai kesan seterusnya ke atas sempadan di kawasan undi sekitar.

Khususnya, bilangan pengundi di GRC Pasir Ris-Punggol, Sembawang dan Tampines, serta SMC Hong Kah North dan Potong Pasir, telah meningkat antara 13,000 dengan 23,000 di setiap kawasan undi sejak GE2020.

Encik Pritam menyeru PAP supaya mendedahkan maklumatnya kepada umum tentang cara orang ramai di kawasan individu mengundi, termasuk mereka di kawasan GRC Marine Parade yang telah diserahkan kepada GRC East Coast, dan “benarkan orang awam membuat kesimpulan sendiri”.

Beliau merujuk kenyataan yang dibuat semasa pilihan raya kecil Bukit Batok pada 2016 oleh Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, mengenai prestasi Encik Murali Pillai di Aljunied semasa GE2015.

Encik Lee, yang kini Menteri Kanan, berkata semasa pilihan raya kecil itu bahawa Encik Murali mungkin menjadi Anggota Parlimen (AP) Aljunied jika bahagian yang diselianya sebagai penasihat akar umbi dan pengerusi cawangan PAP adalah kawasan kerusi tunggal pada 2015.

Ini kerana Encik Murali memperolehi lebih banyak undi di kawasannya berbanding WP, walaupun pasukannya secara kolektif kalah dengan 49.04 peratus undian.

Encik Murali menang dalam pilihan raya kecil Bukit Batok 2016 dan kini menggalas jawatan sebagai Menteri Negara (Undang-Undang merangkap Pengangkutan).

“Selain menekankan bahawa tiada kawasan pembangkang yang selamat dan risiko pembangkang dihapuskan adalah hakikat yang sentiasa wujud, pendedahan Encik Lee memberi pengajaran,” kata Encik Pritam.

“Keputusan setiap kawasan dan daerah, walaupun di GRC, diawasi dengan teliti.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg