Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, sedang berusaha menyepadukan kawasan Joo Chiat yang diwakilinya ke dalam GRC East Coast secara lancar, serta bekerjasama dengan pasukan Anggota Parlimen (AP) di sana untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada penduduk.
Bercakap kepada media selepas melawat Pasar dan Pusat Penjaja Blok 16 Bedok South bersama Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, yang juga AP GRC East Coast, pada 23 Mac, Encik Tong juga berkata beliau telah bertemu beberapa sukarelawan di divisyen GRC East Coast, termasuk Changi-Simei dan Siglap.
Dalam laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC), seluruh kawasan Joo Chiat dan sebahagian kawasan Kembangan-Chai Chee dari GRC Marine Parade akan digabungkan ke dalam GRC East Coast. Encik Tong, AP GRC Marine Parade sejak 2015, berkata tugas utamanya ialah mendekati penduduk East Coast, memahami bagaimana Pelan East Coast Hijau memberi kesan dan akan mempertingkat kehidupan penduduk, serta melihat sinergi yang ada dengan rancangan di Joo Chiat.
“Kami ingin cuba mencari cara menyepadukan (Joo Chiat) secara lancar, supaya gangguan kepada penduduk adalah minimum. Program yang kami janjikan dan kami telah mulakan di Joo Chiat akan diteruskan, dan kami berusaha menyertai East Coast dengan lancar, sejauh yang kami mampu,” katanya.
Encik Tong menambah bahawa “makanan di kedua-dua belah sempadan sama sedap”, dengan mereka mahu meningkatkan tawaran kepada penduduk selain meneliti ruang rekreasi bersama.
Bahkan, semasa lawatan ke pusat penjaja di Bedok South itu, beliau dan Encik Heng bertemu ramai penduduk yang datang dari kawasan seperti Joo Chiat dan Chai Chee di GRC Marine Parade.
Encik Heng berkata meskipun ada sedikit perbezaan dalam profil penduduk East Coast dan Joo Chiat, ada banyak persamaan antara dua kawasan itu dan mereka berkongsi matlamat ingin berkhidmat kepada penduduk.
Contohnya, sebagai sebahagian Pelan East Coast Hijau, mereka bekerjasama dalam program pembersihan pantai di Taman East Coast.
“Edwin dan saya telah berbincang apabila kami lihat peta tadi, kami akan ada banyak bidang kegiatan sama, yang telah pun kami mula lakukan, bahkan sejak beberapa tahun lalu.
“Ia akan memberi kami lebih banyak pilihan,” kata beliau.
Semasa wawancara bersama media itu, Encik Tong turut menjawab soalan tentang video di media sosial yang menunjukkan beliau menerima sambutan negatif oleh beberapa penduduk semasa satu lawatan ke kedai kopi.
Encik Tong berkata beliau melawat beberapa kedai kopi di Marine Parade pada 22 Mac dan lawatannya mendapat sambutan mesra dan baik penduduk.
Ada orang mengambil video lawatannya itu dan memuat naik ke dalam talian, namun video tersebut kemudian “diambil oleh beberapa laman dan digunakan di luar konteks” dalam cara yang memaparkan beliau secara negatif, dan “saya fikir, agak jelas untuk tujuan politik”, kata Encik Tong.
Beliau berkata orang yang mengambil video itu menjelaskan cara video itu digunakan adalah di luar konteks dan “memutarbelitkan kebenaran”.
“Oleh sebab perkara itu telah dijelaskan oleh beliau, saya fikir penjelasan itu tidak memerlukan penerangan lanjut, walaupun malangnya ia berlaku,” ujarnya.
Encik Tong berkata meskipun mereka kadangkala menemui penduduk mungkin kurang mesra atau menghadapi cabaran sukar, beliau, sebagai AP, akan tetap mendekati mereka.
“Saya akan terus berbuat demikian kerana menjadi tanggungjawab kami sebagai AP untuk mendekati semua penduduk, walaupun mereka mungkin menghadapi masalah sukar.
“Tetapi dalam pada itu, saya memberitahu pasukan saya jangan terganggu oleh perkara seperti itu. Fokus pada tugas sebenar, kerja keras di lapangan, dan dekati penduduk. Itu paling penting,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg