Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, memberi amaran kepada orang awam tentang satu video mendakwa beliau membuat kenyataan negatif terhadap pemerintah.
Video itu dipercayai disebar demi mempengaruhi rakyat Singapura untuk Pilihan Raya Umum yang akan datang.
Dalam hantaran Facebooknya pada 15 April, beliau berkata terdapat satu video tular yang menggunakan teknologi deepfake (palsu mendalam) untuk meniru suaranya.
“Ini benar-benar palsu! Saya tidak pernah membuat video sedemikian! Ia (video itu) adalah palsu dan suara saya pun digunakan!
“Ini adalah menakutkan bagaimana kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk mempengaruhi pengundi semasa tempoh kritikal ini,” katanya.
Puan Halimah turut menggesa rakyat Singapura yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) supaya mengekalkan kesopanan dan keadilan, tanpa mengira pendirian masing-masing.
“Bertandinglah atas dasar kekuatan visi dan kekuatan calon anda, serta keupayaan mereka untuk melaksanakan visi itu. Jangan gunakan taktik kotor seperti ini,” tambahnya.
Puan Halimah juga memaklumkan bahawa beliau akan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg