Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puan Halimah kecam tindakan Israel di Gaza, Tebing Barat

Mar 25, 2025 | 1:31 PM
Pendatang Yahudi memasuki rumah milik warga Palestin yang telah dirampas di Tebing Barat dan meletakkan bendera Israel, dengan  diperhatikan askar Israel.
Pendatang Yahudi memasuki rumah milik warga Palestin yang telah dirampas di Tebing Barat dan meletakkan bendera Israel, dengan diperhatikan askar Israel. - Foto AFP

Mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, mengutuk keras tindakan Israel di Tebing Barat dan Gaza, sambil mengatakan ia menonjolkan sikap tidak menghiraukan undang-undang antarabangsa.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 24 Mac, Puan Halimah berkongsi tangkap layar artikel daripada akhbar, The Straits Times dan BBC, yang melaporkan tentang tindakan Israel itu.

Beliau turut menulis: “Pertama, paksa pemilik rumah sebenar keluar dari rumah mereka dan tinggal di bangsal taman. Tetapi bangsal itu menghalang pandangan anda ke pantai yang menakjubkan. Tendang mereka keluar semula. Tidak peduli ke mana mereka pergi.

“Kemudian tukar surat hak milik supaya pemilik rumah sebenar tidak boleh menuntut apa-apa. Siapa peduli undang-undang antarabangsa yang menghalang perkara ini.”

Puan Halimah menambah: “Jadi apakah kuasa undang-undang dan moral dunia untuk menonjolkan pelanggaran wilayah di bahagian lain dunia? Di manakah hati nurani kita?”

Pada 23 Mac, Menteri Kewangan Israel, Encik Bezalel Smotrich, mengumumkan Kabinet keselamatan Israel meluluskan rancangan memisahkan 13 penempatan Yahudi di Tebing Barat yang diduduki Israel daripada masyarakat kejiranan mereka.

Penempatan itu akan diiktiraf sebagai penempatan bebas, berikutan kelulusan puluhan ribu rumah lain di seluruh Tebing Barat.

“Ini satu lagi langkah penting dalam laluan menuju kedaulatan sebenar di Yudea dan Samaria,” kata Encik Smotrich, merujuk kepada Tebing Barat.

Kementerian Luar Palestin mengkritik kelulusan pemisahan kejiranan dan pengiktirafan mereka sebagai penempatan bebas sebagai mengabaikan pengesahan dan resolusi antarabangsa.

Sekitar 700,000 pendatang Israel tinggal dalam kalangan 2.7 juta warga Palestin di Tebing Barat dan timur Baitulmakdis, di atas tanah yang ditawan Israel pada 1967 semasa perang enam hari itu.

Kebanyakan negara di dunia menganggap penempatan Israel di wilayah yang dirampas dalam perang sebagai haram.

Israel mempertikaikan perkara itu dan menggunakan alasan sejarah dan agama untuk mewajarkan hak mereka ke atas tanah tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg