Respons S’pura terhadap krisis di Gaza, kerosakan kereta api, vape antara agenda semasa Parlimen bersidang 22-26 Sept
Respons S’pura terhadap krisis di Gaza, kerosakan kereta api, vape antara agenda semasa Parlimen bersidang 22-26 Sept
Krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, kerosakan kereta api baru-baru ini dan tindakan tegas Singapura terhadap rokok elektronik atau vape adalah antara topik yang akan dibincangkan di Parlimen apabila ia bersidang pada 22 September.
Menjelang perbahasan parlimen selama seminggu mengenai Amanat Presiden, Ahli Parlimen (AP) telah memfailkan 125 soalan untuk dijawab di Parlimen, termasuk soalan mengenai perbuatan membuli di sekolah-sekolah dan serangan siber canggih.
Soalan-soalan ini akan dijawab oleh kementerian-kementerian yang berkaitan semasa 90 minit yang diperuntuk untuk waktu soal jawab setiap hari, sebelum AP membincangkan isu-isu yang dibangkitkan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam dalam Amanatnya pada 5 September yang menggariskan rancangan dan keutamaan pemerintah dalam penggal baru ini.
AP memfailkan enam soalan mengenai Gaza, termasuk satu oleh Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) mengenai rancangan Singapura terhadap mengiktiraf kenegaraan Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berikutan rancangan yang diumumkan oleh Australia, Perancis dan United Kingdom untuk berbuat sedemikian. Encik Christopher de Souza (GRC Holland-Bukit Timah) dan Encik Henry Kwek (Kebun Baru) pula meminta makluman mengenai perkembangan terkini mengenai bantuan kemanusiaan tambahan oleh Republik itu ke Gaza.
AP penggal pertama Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast) dan Cik Charlene Chen (GRC Tampines) bertanya bagaimana Singapura telah menyampaikan keprihatinannya mengenai krisis itu kepada pemerintah Israel dan bagaimana Singapura bekerjasama dengan negara-negara lain untuk memastikan Israel mematuhi undang-undang antarabangsa, berikutan serangan terbaru ke atas Qatar.
Cik Hazlina juga bertanya sama ada pemerintah akan mempertimbangkan penubuhan pasukan petugas antara kementerian untuk menyatukan usaha bantuan dan mengenai cara-cara untuk menjaga keharmonian antara komuniti yang berbeza di sini di tengah-tengah konflik Gaza.
Soalan-soalan ini akan dijawab dalam tiga kenyataan menteri oleh Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Negara Kanan Negara (Ehwal Luar) Cik Sim Ann, dan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
AP turut memfailkan enam soalan mengenai rangkaian insiden kereta api rosak baru-baru ini, termasuk satu daripada Encik Louis Chua (GRC Sengkang) mengenai bilangan kesalahan yang dilakukan setiap pengendali kereta api dan denda kewangan yang boleh dikenakan.
Beberapa AP, termasuk Encik Ng Chee Meng (SMC Jalan Kayu), Encik Liang Eng Hwa (SMC Bukit Panjang) dan Cik Yeo Wan Ling (GRC Punggol), meminta makluman terkini mengenai siasatan ke atas punca pelbagai kerosakan itu.
Terdapat 11 soalan mengenai rokok elektronik atau vape, dengan AP meminta perkembangan terkini mengenai tindakan penguatkuasaan dan angka terkini berkaitan kesalahan vape, termasuk rampasan vape haram dan produk berkaitan di sempadan Singapura.
Encik Ang Wei Neng (GRC West Coast-Jurong West) bertanyakan sebab yang mendorong usaha antara kementerian baru-baru ini untuk mengharamkan rokok elektronik, berapa ramai individu yang telah ditangkap dan mengenai rancangan Kementerian Kesihatan (MOH) untuk mengawal etomidate selepas klasifikasinya sebagai bahan Kelas C luput pada Februari 2026.
Encik Melvin Yong (Radin Mas) bertanya apa yang telah dilakukan oleh kementerian-kementerian untuk menghentikan penjualan rokok elektronik dan alat serupa di platform pesanan yang disulitkan; manakala Encik De Souza bertanya sama ada Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berhasrat untuk memperketat pemeriksaan kastam untuk menangani penyeludupan barangan tersebut.
Perbuatan membuli di sekolah-sekolah menarik 13 soalan, dengan AP penggal pertama Kenneth Tiong (GRC Aljunied) bertanya kepada Kementerian Pendidikan (MOE) sama ada ia ada sebarang rancangan untuk memperkenalkan kad skor keselamatan sekolah tahunan dan untuk melaksanakan dasar cegah buli standard wajib minimum di semua sekolah.
Encik Tiong juga mencadangkan mengadakan talian hotline cegah buli tanpa nama, sementara Encik Xie Yao Quan (SMC Jurong Central) mencadangkan agar MOE mempertimbangkan untuk menubuhkan unit cegah pembulian pusat untuk menyokong sekolah dalam menyiasat kes-kes paling teruk tanpa membebankan guru.
Berhubung keselamatan siber, Ketua Pembangkang Pritam Singh bertanya mengenai kedudukan pemerintah mengenai dakwaan Kedutaan China di sini mengenai serangan siber yang berasal dari Singapura.
Dalam sepucuk surat kepada akhbar The Straits Times pada 5 Ogos, kedutaan itu mendakwa terdapat 40,000 serangan siber terhadap sistem maklumat untuk Sukan Musim Sejuk Asia 2025 yang telah dijejaki China ke Singapura.
Secara berasingan, Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Changi) memfailkan tiga soalan mengenai peningkatan serangan ancaman berterusan canggih terhadap prasarana kritikal Singapura, dan rancangan pemerintah untuk memperkukuh keupayaan pertahanannya.
Sebahagian besar urusan Parlimen dari 22 hingga 26 September akan menyaksikan AP membahaskan kandungan Amanat Tuan Presiden dan meneliti rancangan yang telah digariskan oleh pelbagai kementerian dalam penggal pemerintahan baru ini.
Sepanjang minggu lalu, beberapa kementerian telah membentangkan beberapa tumpuan utama termasuk mengenai perumahan awam mampu milik, pelan tindakan ekonomi supaya ekonomi Singapura terus menumbuh di tengah-tengah pergolakan geopolitik dan rancangan penyesuaian iklim sulung Singapura.

