Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SDA derma $16,000 hasil jualan poster GE2025 kepada Dana Wang Saku Sekolah ST

May 27, 2025 | 3:21 PM
STSPMF, Desmond Lim, Abu Mohamed, Lau Hui Ling
Pengerusi Perikatan Demokratik Singapura (SDA), Encik Desmond Lim (kanan), dan setiausaha agung, Encik Abu Mohamed, menyerahkan cek hasil jumlah awal yang dikumpul kepada pengurus besar Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times (STSPMF), Cik Lau Hui Ling, pada 25 Mei 2025. - Foto SDA

Perikatan Demokratik Singapura (SDA) telah menyumbang $16,000 kepada Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times (STSPMF), berikutan penjualan poster kempennya dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), lapor The Straits Times.

Poster itu, yang dijual pada harga $20 setiap satu, pada mulanya mengumpul $7,000, dan cek untuk jumlah itu telah diserahkan kepada pengurus besar STSPMF, Cik Lau Hui Ling.

Ia diserahkan di ibu pejabat parti itu di Changi Road oleh pengerusi SDA, Encik Desmond Lim, dan setiausaha agung, Encik Abu Mohamed, pada 25 Mei.

Pada 26 Mei, Encik Lim mengumumkan di akaun Facebook peribadinya bahawa $1,000 lagi telah dikumpul, dan beliau sendiri akan memadankan jumlah keseluruhan $8,000 dolar untuk setiap dolar, sekali gus menjadikan jumlah derma kepada $16,000.

Encik Lim berkata kepercayaannya bahawa semua kanak-kanak berhak mendapat sokongan dan galakan telah mendorong SDA untuk menderma dana yang diperoleh daripada penjualan poster kempennya kepada STSPMF.

Beliau secara berasingan memberi derma peribadi sebanyak $5,000 kepada Willing Hearts, sebuah badan amal tempatan yang menyediakan makanan percuma kepada yang memerlukan.

Jurucakap STSPMF mengucapkan terima kasih kepada SDA atas usaha mengumpul dana, dan Encik Lim atas sumbangan peribadinya.

“Kami amat berterima kasih kepada semua orang yang telah menyumbang kepada inisiatif amal ini dalam menyokong usaha kami untuk membantu kanak-kanak dan belia yang memerlukan,” tambah jurucakap itu.

Ini adalah kali kedua SDA mendermakan hasil jualan poster pilihan rayanya kepada STSPMF. Pada 2020, ia menderma $10,000 kepada dana itu selepas GE2020.

STSPMF ialah projek kemasyarakatan yang dimulakan oleh ST, dan telah membantu kira-kira 10,000 kanak-kanak dan belia daripada keluarga berpendapatan rendah setiap tahun bagi menampung perbelanjaan berkaitan sekolah mereka.

Dalam GE2025, SDA memperoleh 32.32 peratus undi berbanding Parti Tindakan Rakyat (PAP) sebanyak 67.68 peratus di GRC Pasir Ris-Changi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg