Pengasas syarikat kerja keluli tempatan terkemuka, TTJ Design and Engineering, telah menderma $500,000 kepada dana wang sekolah Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times.
Sumbangan sejumlah itu dapat membantu pendidikan lebih 640 murid sekolah rendah selama setahun, kata badan amal tersebut pada 19 Ogos, lapor The Straits Times (ST).
Encik Teo Hock Chwee menjadi penderma dana itu sejak 2015, menyumbang lebih $140,000 pada masa lalu kepada badan amal tersebut, yang menyokong kira-kira 10,000 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah setiap tahun.
TTJ adalah firma di sebalik beberapa struktur ikonik, termasuk Supertrees di Gardens by the Bay, Jambatan Helix di Marina Bay, Henderson Waves dan bumbung pavilion di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi.
Kegiatan utama syarikat itu ialah dalam reka bentuk, pembekalan, fabrikasi dan pembinaan kerja keluli.
Ia juga telah memasuki industri minyak dan gas luar pesisir melalui fabrikasi dan pembinaan struktur limbungan yang digunakan dalam pelantar minyak.
Encik Teo berkata: “Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perniagaan kami menjadi mampan, dan projek kami telah berkembang dengan berjaya.
“Saya ingin menyumbang kembali kepada masyarakat dengan menderma lebih banyak kepada mereka yang kurang bernasib baik secara peribadi.”
Dana wang saku itu dimulakan oleh ST pada 2000 sebagai sebuah projek kemasyarakatan.
Sejak penubuhannya, dana itu telah mengagihkan lebih $100 juta dan membantu lebih 220,000 kanak-kanak dan belia.
Penerima muda dana itu datang daripada keluarga yang pendapatan isi rumah bulanan kasar per kapita tidak lebih $750.
Had ini lebih tinggi daripada batas pendapatan $690 sebelum 2024.
Murid sekolah rendah menerima $65 sebulan, penuntut sekolah menengah mendapat $100 sebulan dan pelajar di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), maktab rendah dan politeknik mendapat $125 sebulan.
“Dana Wang Saku Sekolah Straits Times berterima kasih bagi kemurahan hati dan komitmen Encik Teo dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik dalam masyarakat kita,” kata dana itu.
Lebih banyak keluarga akan dapat memohon Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times (STSPMF) mulai 2024 apabila kriteria kelayakan pendapatan isi rumah per kapita kasar bulanan, dinaikkan daripada $690 kepada $750.
Kriteria kelayakan pendapatan STSPMF kali terakhir disemak pada 2020, daripada $625 kepada $690 seorang sebulan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg