Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan, akan bertanding di SMC Sembawang West yang baru dibentuk dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Pengerusi parti itu, Dr Paul Tambyah, sekali lagi akan bertanding di SMC Bukit Panjang.
Dr Chee mengumumkan demikian pada 23 Mac menerusi risalah yang diedar semasa lawatan menemui penduduk partinya di kawasan itu.
“Keputusan saya bertanding di sini didorong komitmen teguh kepada anda dan keluarga anda,” ujarnya dalam risalah itu, sambil menambah bahawa di SMC Bukit Batok, yang telah dibubar, beliau “mencurahkan tenaga, dedikasi dan kecekapan organisasi untuk berkhidmat kepada penduduk”.
Dr Chee bertanding kali pertama di SMC Bukit Batok pada pilihan raya kecil 2016, memperoleh 38.8 peratus undi.
Pada Pilihan Raya Umum 2020, beliau meraih 45.2 peratus undi di kerusi perseorangan itu, yang sekarang menjadi sebahagian GRC Jurong East-Bukit Batok yang baru dibentuk.
“Dan saya bersedia untuk membawa semangat yang sama ke Sembawang West. Saya percaya Sembawang West bukan sekadar kawasan undi pilihan raya, tetapi sebuah komuniti bersemangat dan menjanjikan – boleh bersinar sebagai pelita bagi seluruh Singapura,” tulisnya.
Setakat ini, Parti Solidariti Nasional telah menyatakan hasratnya bertanding di SMC tersebut, yang baru dibentuk daripada GRC Sembawang.
GRC Sembawang kini mempunyai lima Ahli Parlimen: Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, Cik Mariam Jaafar, Cik Poh Li San, Encik Vikram Nair dan Dr Lim Wee Kiak.
Encik Ong sebelum ini berkata perubahan dalam sempadan pilihan raya tidak mengejutkan kerana lebih ramai penduduk telah berpindah ke Sembawang, dan populasinya telah berkembang dengan ketara sejak beberapa tahun lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg