Guru agama, Encik Mohammed Noor Mohammed Deros, yang lebih dikenali sebagai Noor Deros, ialah seorang rakyat Singapura yang kini menetap di Kuala Lumpur.
Beliau juga ialah Naib Presiden 2 Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa) Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang meningkatkan kesedaran serta menyokong individu yang mengalami masalah kesihatan mental.
Beliau mula meraih perhatian di Singapura pada 2014 apabila mengasaskan kempen WearWhite, iaitu gerakan anti-LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) yang menyeru umat Islam untuk berpakaian serba putih sebagai tanda bantahan terhadap homoseksualiti dan mempertahankan nilai kekeluargaan tradisional.
Kempen tersebut merupakan reaksi terhadap acara tahunan Pink Dot yang memperjuangkan hak LGBT di Singapura.
Menurut biografi beliau di Persidangan Pemulihan Kesihatan Mental Antarabangsa 2019, Encik Noor mengajar akidah Islam, khususnya dalam konteks menghadapi cabaran falsafah Barat, di Johor Bahru, Selangor dan Kuala Lumpur.
Baru-baru ini, Encik Noor telah memuat naik beberapa hantaran di media sosial yang menyentuh unsur agama dan politik, termasuk mendakwa beliau telah bertemu dengan calon-calon Parti Pekerja (WP), dan mendesak mereka agar memperjuangkan hak-hak dan kepentingan masyarakat Melayu/Islam.
Pada 19 April, beliau menerbitkan satu senarai tuntutan kepada semua parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di Facebook dan menggalakkan orang ramai yang “sependapat, sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya” untuk membaca dan berkongsi tuntutan tersebut.
Antara tuntutannya ialah memansuhkan Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) dan menjadikan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sebuah badan bebas.
Pada 23 April, beliau mendakwa bahawa hanya WP yang telah memberi maklum balas terhadap tuntutannya, tetapi beliau menambah tiada “janji konkrit” yang dibuat.
Dalam hantaran yang lain, Encik Noor Deros mengkritik Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli, dengan menuduh beliau gagal mempertahankan hak dan aspirasi masyarakat Melayu Islam.
Beliau turut menyeru penduduk Tampines untuk “melakukan perkara yang betul”.
Pada 24 April, beliau berkata sekiranya WP “tidak memenuhi tuntutan masyarakat Islam untuk menolak normalisasi LGBTQ+ dan menangani isu-isu besar lain”, beliau menggesa supaya rakyat “mengundi calon, bukan parti”.
Pada sekitar tengah malam 26 April, Encik Noor Deros membuat satu lagi hantaran di Facebook di mana beliau menjelaskan bahawa WP telah ‘menerima’ permintaannya, tetapi itu tidak bermakna mereka ‘bersetuju’ dengan permintaan tersebut.
“Mengambil serius tidak semestinya bermaksud ‘bersetuju dan berjanji untuk melaksanakannya’,” tambah beliau, merujuk kepada hantaran yang terdahulu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg