Hari kedua berkempen pada 24 April sempena Pilihan Raya Umum (GE) 2025 menyaksikan lima parti - Parti Tindakan Rakyat (PAP), Parti Pekerja (WP), Parti Kemajuan Singapura (PSP), Parti Demokratik Singapura (SDP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP) - mengadakan rapat pertama mereka.

Berikut antara mesej utama yang disampaikan anggota parti-parti tersebut:

  • PAP
Perdana Menteri dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Lawrence Wong, menyampaikan ucapannya kepada para penyokong di rapat pilihan raya umum yang diadakan di Stadium Woodlands pada 24 April.
Perdana Menteri dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Lawrence Wong, menyampaikan ucapannya kepada para penyokong di rapat pilihan raya umum yang diadakan di Stadium Woodlands pada 24 April. - Foto ST

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) menggesa parti-parti politik agar tidak membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh memecahbelahkan masyarakat ketika berkempen di tengah-tengah pilihan raya umum (GE) 2025, dan untuk sentiasa menegakkan politik berbilang kaum.

“Dalam bahang kempen pilihan raya, adalah mudah bagi isu-isu dibangkitkan, dan jika kita tidak berhati-hati, ini boleh dieksploitasi, dan akhirnya, kita akan melaga-lagakan rakyat Singapura antara satu sama lain,” kata Encik Wong.

“Jadi saya katakan kepada semua parti politik dalam pilihan raya ini, marilah kita pastikan bahawa dalam setiap apa yang kita lakukan, kita sentiasa menegakkan politik berbilang kaum.

“Jangan api-apikan isu sensitif. Pastikan politik berhenti di garisan, yang bermakna apabila ia menyentuh kepentingan nasional, kedaulatan, keselamatan, tempat kita di dunia, jangan gunakan politik domestik untuk memecahbelahkan rakyat Singapura. Harus ada perpaduan,” tambah beliau dalam rapat yang diadakan di Stadium Woodlands itu.

2. WP

Setiausaha Agung Parti Pekerja, Encik Pritam Singh memberi ucapan terakhir di rapat Parti Pekerja di Anchorvale pada 24 April.
Setiausaha Agung Parti Pekerja, Encik Pritam Singh memberi ucapan terakhir di rapat Parti Pekerja di Anchorvale pada 24 April. - Foto ST

Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, menegaskan rakyat Singapura bahawa mereka harus tetap memilih Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) kerana parti itu telah terbukti menjadi “kuasa kebaikan” semasa krisis, meskipun iklim ekonomi tidak menentu akibat perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

“Terdapat tekanan terhadap Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk bertindak, terutamanya jika pandangan yang dikemukakan oleh WP dikongsi semua rakyat Singapura.

“Parlimen yang mempunyai Anggota Parlimen WP yang lebih rasional, dihormati dan responsif tidak akan menghalang Singapura. WP telah diuji tekanan ketika Singapura berada dalam krisis,” kata beliau sambil menukil tindakan parti itu semasa pandemik Covid-19.

3. PSP

Pasukan Parti Kemajuan Singapura (PSP) di rapat yang diadakan di Sekolah Tinggi Katolik.
Pasukan Parti Kemajuan Singapura (PSP) di rapat yang diadakan di Sekolah Tinggi Katolik. - Foto SPH MEDIA

Setiausaha Agung Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai, berkata bahawa barisan pemimpin generasi keempat (4G) telah “benar-benar hilang arah”.

Ini menyusuli pengalaman beliau dalam dilantik sebagai Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) selama lima tahun di Parlimen.

“Masa saya di Parlimen telah meyakinkan saya bahawa pimpinan generasi keempat (4G) PAP telah benar-benar hilang arah.

“Semakin saya membahaskan Pemerintah, semakin saya sedar bahawa pemerintah 4G PAP bukanlah pemerintah gred A yang kita pernah tahu,” ujar beliau.

4. SDP

Setiausaha Agung Parti Demokratik Singapura (SDP) Encik Chee Soon Juan
Setiausaha Agung Parti Demokratik Singapura (SDP) Encik Chee Soon Juan - Foto SPH MEDIA

Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Chee Soon Juan, mempersoal langkah pemerintah menaikkan kadar GST kepada 9 peratus ketika kos sara hidup sudah melonjak walaupun rakyat masih bergelut dengan kesempitan kewangan akibat pandemik Covid-19.

“PAP menaikkan (kadar) GST dan kemudian memberitahu anda bahawa mereka memberi baucar untuk membantu anda menghadapi kenaikan GST? Adakah saya terlepas sesuatu di sini?

“Atau adakah ini kedengaran seperti si pembakar yang menyalakan api di rumah anda dan kemudian datang membawa secawan air untuk membantu anda memadamkannya?” kongsi beliau.

5. PPP

Setiausaha Agung Parti Kuasa Rakyat, Encik Goh Meng Seng di rapat parti di Maktab Rendah Temasek di Bedok South.
Setiausaha Agung Parti Kuasa Rakyat, Encik Goh Meng Seng di rapat parti di Maktab Rendah Temasek di Bedok South. - Foto The Straits Times

Setiausaha Agung Parti Kuasa Rakyat (PPP), Encik Goh Meng Seng, menyampaikan ‘komen pedas’ terhadap Parti Pekerja (WP) dan setiausaha agung parti itu, Encik Pritam Singh, semasa hari pertama rapat Pilihan Raya Umum (GE) 2025.

Beliau berkata Encik Pritam tidak menghormati pengundi dan penyokong di GRC Marine Parade-Braddell Heights kerana WP tidak bertandingdi kawasan undi tersebut, membolehkan pasukan Parti Tindakan Rakyat menang tanpa bertanding.

“Tiada satu permohonan maaf; hanya alasan, alasan yang kurang kukuh,” katanya.