Pemerintah tidak mengeksploitasi isu atau sebab yang melagakan sesama kumpulan kerana ia sedia maklum sekiranya perpaduan pudar, ia sukar dipulihkan dan ia satu perkara serius, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Semasa berucap dalam rapat pertama Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di Stadium Woodlands pada 24 April, beliau menekankan pemerintah tidak memandang remeh isu bangsa atau mempolitikkan agama kerana ia boleh dieksploitasi dengan mudah.
“Apa yang membuat saya tidak lena pada sebelah malam, lebih-lebih lagi semasa GE, adalah melihat bagaimana di seluruh dunia, politik telah menjadi sumber perpecahan (komuniti), dengan politik memecahbelahkan masyarakat disebabkan keprihatinan bangsa, kepercayaan agama atau isu tunggal,” terang calon GRC Marsiling-Yew Tee itu.
Encik Zaqy turut menyentuh tumpuan yang diberi parti pemerintah kepada keprihatinan dan aspirasi masyarakat Melayu/Islam di sini.
Ini termasuk dari segi pendidikan, pekerjaan, peningkatan kemahiran dan kos sara hidup, dengan “sokongan padu” diberikan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sebagai “institusi yang memelihara dan memajukan kehidupan beragama”.
Rapat tersebut turut disertai Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung PAP, Encik Lawrence Wong; serta Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, di samping calon lain GRC Marsiling-Yew Tee dan SMC Sembawang West.
Sementara itu, pada rapat Parti Pekerja (WP) di padang terbuka berdekatan Anchorvale Crescent, calon GRC Punggol, Cik Siti Alia Abdul Rahim Mattar, menyentuh tentang bahan Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) mengenai konflik Israel-Palestin yang diajarkan dalam kelas.
Beliau menyoal mengapa ibu bapa tidak diberitahu sebelum slaid CCE itu ditunjukkan kepada pelajar.
Hanya selepas ibu bapa mengemukakan keprihatinan itu, bahan tersebut kemudian dikemas kini.
“Saya memberi contoh ini untuk menunjukkan sejauh mana ia memberi erti kepada rakyat Singapura agar suara mereka didengari,” katanya.
Calon WP bagi GRC Sengkang, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, turut berucap dalam rapat itu dan mengusulkan pembentukan Perbadanan Pengangkutan Negara.
Beliau berkata pembentukan pertubuhan bukan mencari untung milik awam itu akan menyelia operasi MRT, LRT dan perkhidmatan bas Singapura yang berteraskan mutu perkhidmatan dan harga dimampui.
Dalam rapat Parti Demokratik Singapura (SDP) di Stadium Choa Chu Kang pula, calon GRC Sembawang, Cik Surayah Akbar, mengusulkan, antara lain, mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 10 peratus atau lebih bagi barangan mewah, di samping menurunkan harga flat HDB.
Di samping itu, rapat Parti Kemajuan Singapura (PSP) di Sekolah Tinggi Katolik menyaksikan calon GRC Chua Chu Kang, Encik A’bas Kasmani, mengemukakan hujah mengenai pekerjaan warga emas.
Beliau berkata pekerja warga emas “membina negara ini” namun sumbangan mereka tidak dihargai, memandangkan mereka “tidak lagi dilihat sebagai berguna”.
“Saya telah lihat terlalu ramai pekerja warga senja diketepikan. Ini adalah perkara yang salah.
“Pemerintah memberikan gambaran peralihan silang generasi berjalan lancar – dengan pekerja warga senja memberi laluan kepada pekerja asing,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg