Tidak terlintas di benak fikiran, Encik Mohd Fahmi Aliman, beliau perlu membeli banyak pakaian baru sejurus selepas meninggalkan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada Disember 2018.
Menurut Encik Fahmi yang meninggalkan SAF dengan pangkat Kolonel, almari pakaiannya penuh pakaian, tetapi kebanyakannya seragam SAF dan pakaian senaman.
Sejurus selepas meninggalkan SAF, beliau menyertai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sebagai Timbalan Ketua Eksekutif dari Februari 2019 hingga Mac 2020.
Beliau kemudian berkhidmat sebagai Pengarah Sekretariat Bahagian Operasi dan Mobilisasi, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), pada April 2020 sebelum menceburi politik.
“Apabila saya tinggalkan SAF, tiba-tiba saya perlu beli baju smart (segak) lengan panjang untuk ke pejabat. Sebelum ini, saya cuma pakai seragam, baju polo-T ataupun baju senaman.
“Saya ingat hari-hari pertama saya di Muis, saya pegawai yang pertama tiba di pejabat dengan baju baru, dan sayalah yang buka lampu dulu,” kata Encik Fahmi, 53 tahun, berseloroh.
Beberapa perubahan kerjaya itu rupa-rupanya membawa perubahan lebih besar bagi Encik Fahmi, yang kemudian menceburi bidang politik selepas diperkenalkan sebagai wajah baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada April 2020.
Beliau menyertai pasukan PAP yang bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marine Parade.
Pasukan itu yang diketuai mantan Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin, dan memenangi kawasan undi itu dengan meraih 57.76 peratus undi, kelebihan 15.52 mata peratusan berbanding pasukan Parti Pekerja (WP) pada Pilihan Raya Umum 2020.
Tiga lagi anggota pasukan PAP bagi GRC Marine Parade pada ketika itu ialah Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong; Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng; dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Encik Fahmi mengambil alih tempat Profesor Madya Fatimah Lateef, mantan AP kawasan undi Geylang Serai, yang mengundur diri daripada politik pada 2020.
Dr Tan pula mengambil alih tempat Menteri Kanan Emeritus, Encik Goh Chok Tong, yang mewakili Marine Parade selama 44 tahun, sejak 1976.
Encik Fahmi yang berkongsi pengalamannya dengan Berita Harian (BH) baru-baru ini, untuk Siri Bersama AP menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), kini juga merupakan AP GRC Marine Parade, dan mewakili penduduk bagi divisyen Geylang Serai.
Namun, susulan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) yang dikeluarkan pada 11 Mac, GRC Marine Parade telah berubah wajah, dinamakan semula sebagai GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Ia akan menyerap Kawasan Undi Perseorangan (SMC) MacPherson dan beberapa bahagian SMC Mountbatten dan SMC Potong Pasir.
Selain memperjuangkan kesihatan penduduknya di Geylang Serai, Encik Fahmi, berbesar hati melihat keharmonian kaum dan agama di Geylang Serai yang bak mencerminkan kepelbagaian yang wujud di Singapura.
Menurutnya Geylang Serai memang sering dikaitkan dengan pasar dan pusat makanan Geylang Serai, serta bangunan ikonik seperti Tanjong Katong atau Joo Chiat Complex.
Namun tambahnya, mungkin ramai yang tidak tahu terdapat sekitar 200 pertubuhan agama, termasuk persatuan suku berbeza, masjid dan kuil di kawasan Geylang Serai.
Kunjungan demi kunjungan yang dilakukan Encik Fahmi ke kuil, persatuan suku dan masjid setiap musim perayaan membuatnya menghargai keindahan kepelbagaian dan perbezaan yang wujud di kawasan tersebut.
Menyifatkan Geylang Serai sebagai nadi masyarakat, Encik Fahmi, berkata:
“Ia menjadi satu kebanggaan untuk Geylang Serai kerana kami dapat mengeratkan lagi hubungan berlainan agama dan kaum.”
Beliau berkongsi bahawa hanya 11 peratus penduduk Geylang Serai merupakan penduduk Melayu/Islam.
Bakinya ialah bangsa lain, termasuk bangsa Serani yang mempunyai Persatuan Serani yang terletak kawasan Joo Chiat.
Dengan adanya Jejak Warisan Geylang Serai yang dilancarkan pada 2022, ia dapat membantu pelancong mahupun penduduk baru mengenali dan menghayati sejarah kawasan tersebut.
“Semua tempat beribadat di kawasan ini, termasuk dengan tempat bersejarah, saya masukkan untuk jadi satu jejak.
“Ia membolehkan orang ramai dari luar negera atau penduduk yang mungkin baru pindah ke Geylang Serai memahami sejarah daerah ini.
“Ada yang berkongsi ia sangat menarik dan mereka rasa terhibur apabila lalui jejak itu,” tambah Encik Fahmi.
Sementara itu, Encik Fahmi berkata pasar Geylang Serai adalah antara tarikan utama di Geylang dan menarik pelanggan dari seluruh Singapura.
Apabila mengunjungi pasar Geylang Serai pada hujung minggu, Encik Fahmi berkata suasana dan kemeriahan kawasan itu disebabkan oleh daya tarikan yang tidak boleh didapati di tempat lain.
“Ada datang dari Jurong, Hougang, Bishan untuk pergi ke pasar atau jalan-jalan.
“Saya tanya kenapa mereka dari jauh datang ke sini mereka kata ‘sebab ada keistimewaan’, kena datang ke sini untuk makan putu piring dan mi rebus di Eunos atau Haig Road,” kata Encik Fahmi.
Beliau akur bahawa sebelum pembukaan stesen MRT Marine Parade di sepanjang Laluan Thomson-East Coast (TEL) pada 2024, bukan mudah untuk mengunjungi Marine Parade dan Geylang Serai.
Namun dengan adanya laluan MRT tersebut, ia dapat mengurangkan keperluan menukar bas beberapa kali.
Selain itu, terdapat juga perkhidmatan bas ulang-alik percuma, WeCare, yang dilancar pada 2024 untuk menghubungkan penduduk, terutama warga emas yang menetap di kelompok Marine Parade, ujar Encik Fahmi.
Kelompok Marine Parade merangkumi kawasan Geylang Serai, Joo Chiat, Kembangan-Chai Chee, Marine Parade dan Braddell Heights serta Mountbatten dan MacPherson.
Perkhidmatan bas dan MRT itu merupakan antara pembaharuan yang dapat dilihat di Marine Parade.
Dalam pada itu, Encik Fahmi akur adanya cabaran di estet matang seperti Geylang Serai iaitu sebuah estet perumahan yang berusia beberapa dekad dan menjadi tumpuan ramai.
Ini termasuk menjaga kebersihan di sana.
Namun, beliau juga berkata tiada alasan yang boleh diterima untuk membiarkan estet itu kotor dan tidak terjaga.
Lantaran itu, beliau sering ‘turun padang’ ke Majlis Bandaran untuk menyampaikan maklum balas daripada penduduk.
Antara maklum balas yang Encik Fahmi terima seperti kolong blok yang kotor, sampah tidak dibersihkan, tembok dan siling yang retak dan jalan lecak, yang menjejas keselamatan penduduk.
“Mujur Majlis Bandaran dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bertindak dengan cepat dan tidak melengahkan masa untuk membersihkan dan membaiki kawasan yang perlu perhatian.
“Senang mata memandang jika tempat itu bersih dan oleh kerana ramai juga warga senja di sini, kita perlu pastikan keselamatan mereka terjaga,” kata beliau, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg