Semakin ramai penjual makanan dan minuman (F&B) di bazar Ramadan utama di Singapura menerapkan amalan dan inisiatif kemampanan dalam operasi mereka.
Ini sedang peniaga F&B lebih peka untuk mengurangkan jejak karbon dan pembaziran makanan – secara tidak langsung meraih penjimatan dalam perbelanjaan operasi dengan melakukan amalan atau inisiatif tersebut.
Demikian antara perkongsian peniaga F&B baru-baru ini apabila Berita Harian (BH) meninjau operasi di tiga bazar Ramadan utama di sini.
Daripada 10 peniaga F&B yang dihubungi menerusi telefon, tujuh menerapkan amalan atau inisiatif kemampanan – termasuk memberi insentif untuk pelanggan membawa bekas atau cangkir sendiri, mengawal penghantaran bekalan dan menggunakan perkakas makan mudah reput.
Pemilik jualan air Ba-Balang di Bazar Gemilang Kampong Gelam (GKG), Encik Muhammad Ali Ibrahim, merupakan antara peniaga yang menerapkan inisiatif kemampanan.
Beliau berkata gerainya memberikan potongan harga $1 kepada pelanggan yang membawa bekas air sehingga satu liter.
“Di samping usaha ini yang mesra alam sekitar, ia juga sebenarnya membantu dalam penjimatan kos kerana ia mengurangkan tempahan cawan bekas dan straw, jadi situasinya memanfaatkan semua pihak.
“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat semai tabiat membawa bekas atau cangkir air sendiri dalam diri pelanggan ke mana-mana sahaja mereka pergi dan tidak perlu guna cawan plastik sewenang-wenangnya,” jelas beliau.
Buat masa ini, Encik Muhammad Ali tidak dapat menyatakan anggaran penjimatan kos kerana ia masih berada pada tahap awal tempoh bazar.
Namun, beliau menyaksikan sambutan amat menggalakkan daripada pelanggan yang menyahut inisiatif tersebut.
Bagi pemilik gerai pencuci mulut, Wan-A-Scoop, di Bazaaria Marsiling pula, Encik Wawan Husen, beliau berkata perniagaannya sedaya upaya mengawal penghantaran bekalan kepada sekali atau dua kali seminggu.
Beliau berkata: “Kebanyakan produk kami dapatkan dari sumber tempatan… jadi kami dapat kurangkan pelepasan daripada penggunaan pengangkutan.
“Kami sedang melakar kempen bagi menggalak pelanggan membawa beg, bekas atau cangkir sendiri di gerai kami. Kami akan berikan diskaun $1 jika mereka melakukannya.”
Pendekatan berhati-hati terhadap pembaziran dan kemampanan makanan diambil pemilik perusahaan snek dan minuman Katoshka, Encik Muhammad Hasif Othman, yang memiliki gerai di bazar Geylang Serai.
Beliau telah berniaga di bazar Geylang Serai setiap Ramadan sejak 2016, kecuali 2020-2022 disebabkan Covid-19.
Encik Hasif menjelaskan bahawa pihaknya mengambil pendekatan tersebut, terutama sepanjang bazar Ramadan, memandangkan permintaan berubah setiap hari.
“Strategi kami berteraskan perancangan teliti – setiap hari, kami sediakan bahan berdasarkan trend jualan lalu dan pemerhatian masa nyata.
“Jika laris, kami tidak tokok tambah bagi memastikan lebihan makanan yang minimum,” ujarnya.
Namun, langkah ke arah kemampanan masih agak sukar bagi perniagaan kecil seperti beliau, tambah Encik Hasif, kerana kos bungkusan mesra alam sekitar lebih tinggi berbanding bungkusan biasa.
Beliau berkata: “Salah satu halangan utama untuk menerima pakai sepenuhnya pembungkusan mesra alam adalah kos.
“Sebagai (pengendali) perniagaan kecil, jangkauan kos memainkan peranan penting. Kebanyakan pilihan bungkusan yang mesra alam adalah lebih mahal.”
Ini di samping ketidakpastian sesetengah peniaga terhadap manfaat penerapan amalan atau inisiatif kemampanan dalam operasi harian.
Hal ini dikongsi pemilik kuih-muih Melayu dan snek Artisan Pancake, Cik Roza Elfita Ali Amran, yang mempunyai gerai di Bazaaria Marsiling dan Bazar Geylang Serai.
“Saya tidak pasti dengan usaha mesra alam. Jadi saya hanya menggunakan kotak stirofoam, beg plastik, dan ‘brown paper’ (beg kertas coklat) sahaja. Bungkusan ini murah dan senang dicari,” katanya.
Ia juga menjadi keprihatinan Ajmir Briyani, yang mempunyai gerai di BazaaRia Marsiling.
Jurucakap perniagaan itu berkata setakat ini ia hanya tumpu kepada “pemerolehan bahan mentah yang lebih murah” bagi mengurangkan kos perbelanjaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg