Singapura harus sentiasa berwaspada terhadap politik identiti kerana ia boleh meruntuhkan fabrik negara dan golongan minoriti akan paling teruk terjejas, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K Shanmugam.
Membentangkan kenyataan kementerian selama hampir satu jam di Parlimen pada 14 Oktober, beliau berkata sejauh ini, Singapura berjaya mengelakkan politik identiti untuk bertapak di sini.
Beliau menjelaskan parti pemerintah iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak gentar mengambil tindakan keras berhubung perkauman dan agama, sungguhpun ia mungkin merugikan parti dalam tempoh jangka pendek.
Beliau berkata: “Jika dilihat dalam sejarah ringkas (negara) kita sepanjang 60 tahun, terdapat percubaan mengapi-apikan sentimen agama dan kaum bagi kepentingan politik… (kerana) ia cara mudah untuk menambat emosi pengundi bagi manfaat politik jangka pendek.
“Namun sekiranya perpecahan telah disemai dalam kalangan masyarakat, ia sukar dibendung dan mustahil untuk memutarkannya kembali (kepada situasi asal).”
Beliau menukil contoh Pilihan Raya Umum (GE) 1963 dengan parti Barisan Sosialis, parti pembangkang utama ketika itu, mengambil pendekatan berbaur perkauman yang lebih cenderung kepada bangsa majoriti di Singapura iaitu masyarakat Cina.
Ketika itu, Singapura merupakan salah satu negeri dalam persekutuan Malaysia, dengan Barisan Sosialis antara lain ingin menerapkan pendidikan berteraskan Bahasa Mandarin.
Encik Shanmugam berkata kepimpinan PAP pada waktu itu boleh mengambil pendekatan serupa dengan menjadikan bahasa Mandarin sebagai bahasa rasmi Singapura bagi menambat hati masyarakat majoriti berbangsa Cina.
Namun demikian, ia tetap mengikuti prinsip berlandaskan ideal Singapura – merangkumi sekularisme, meritokrasi, semangat berbilang kaum, peluang saksama bagi semua dan yang berteraskan undang-undang.
Beliau menyifatkan langkah yang diambil kepimpinan parti waktu itu sebagai sesuatu yang “sangat berani dalam politik”.
“Selama 60 tahun, kami berusaha mencapai ideal yang tertera dalam Ikrar Negara.
“Namun, ideal-ideal ini masih sesuatu yang masih (sedang) dipergiatkan. Kami belum mencapai ideal (yang didambakan) sepenuhnya,” ujarnya.
Sebagai usaha bagi merealisasikan ideal sedemikian, beliau menggariskan dua dasar utama meliputi rangka undang-undang yang kukuh bagi melindungi keharmonian masyarakat dan pergaulan aktif bersama antara golongan etnik berbeza.
Encik Shanmugam berkata undang-undang seperti Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum dan Akta Mengekalkan Keharmonian Agama memastikan Singapura dapat mengurangkan konflik terkait dengan agama dan kaum.
Di bawah undang-undang ini antara lain, ucapan berunsur kebencian terhadap mana-mana agama dan bangsa tidak dibenarkan sama sekali.
Begitu juga kewujudan ruang selamat bagi membincangkan perihal kaum, bahasa dan agama di sini, seperti dialog tertutup, yang menjadi wadah pandangan terhadap isu sensitif dapat diketengahkan secara “terbuka dan jujur”, katanya.
Ini di samping pendekatan pemerintah mempergiat pergaulan individu berbilang agama dan bangsa yang secara aktif, sesuatu yang beliau sifatkan sebagai ‘Dasar Pemerintah Aktivis”.
Disebabkan pendekatan ini, beliau berkata Singapura mempunyai tahap keharmonian agama dan bangsa yang tinggi.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar parti politik di sini menolak sebarang bentuk campur tangan asing dan politik yang mencampur-adukkan perkauman atau agama.
Encik Shanmugam mengetengahkan contoh guru agama dari Singapura yang kini tinggal di Malaysia, Encik Noor Deros, yang antara lain pada April, menggesa agar masyarakat Melayu/Islam di sini mengundi Parti Pekerja (WP).
Gesaan itu dibuat di tengah-tengah kempen GE2025.
Encik Noor Deros sekali lagi mengeluarkan kenyataan mengenai calon WP yang bertanding di GRC Tampines pada kempen GE2025, Encik Faisal Manap, sebagai calon yang lebih lantang mengetengahkan isu masyarakat Melayu/Islam.
Ini jika dibandingkan dengan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines.
Ini selain campur tangan dua anggota Parti Islam Se-Malaysia (PAS) iaitu Encik Iskandar Abdul Samad dan Encik Mohamed Sukri Omar menerusi satu hantaran Facebook pada April.
Antara lain, ia menyatakan sokongan kepada Encik Faisal dan menyatakan bahawa AP Melayu/Islam PAP tidak boleh dipercayai.
Encik Shanmugam berkata WP sepatutnya menolak sokongan sedemikian dengan serta-merta dan memberikan penjelasan lebih jelas yang menolak unsur berbaur perkauman dan agama.
Menyanggah kenyataan Encik Shanmugam, Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh, berkata beliau tidak bersetuju WP mengambil tempoh yang lama untuk memberikan respons.
Selain pertikaman lidah antara Encik Shanmugam dengan Encik Pritam, tujuh AP lain turut mengajukan soalan susulan berhubung kenyataan kementerian tersebut, yang secara keseluruhannya mengambil masa lebih dua jam dibahaskan.
Sementara itu, sidang Parlimen pada 14 Oktober turut menyaksikan lima rang undang-undang diketengahkan buat kali pertama.
Ini termasuk Rang Undang-undang Jenayah (Pindaan Pelbagai), dengan salah satu usulan di bawah rang undang-undang ini adalah hukuman sebat bagi penipu dan anggota sindiket penipuan.
“
“Jika dilihat dalam sejarah ringkas (negara) kita sepanjang 60 tahun, terdapat percubaan mengapi-apikan sentimen agama dan kaum bagi kepentingan politik… (kerana) ia cara mudah untuk menambat emosi pengundi bagi manfaat politik jangka pendek. Namun sekiranya perpecahan telah disemai dalam kalangan masyarakat, ia sukar dibendung dan mustahil untuk memutarkannya kembali (kepada situasi asal).”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg