Dalam kenyataan menteri yang disampaikan di Parlimen pada 14 Oktober, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, telah memberikan contoh bagaimana beberapa individu dan entiti cuba membawa isu kaum dan agama ke dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Beliau berkata perbuatan mencampuradukkan isu kaum dan agama dalam politik harus ditolak kerana ia boleh memecahbelahkan masyarakat dan negara.
Seorang guru agama warga Singapura, Encik Noor Deros, yang berpangkalan di Malaysia, pada 19 April, telah menyatakan beliau akan berkempen untuk mana-mana parti politik yang boleh memenuhi senarai tuntutannya.
Ini termasuk mengubah sistem kewangan negara menjadi lebih keislaman dan menamatkan dasar yang bertujuan memelihara perkadaran kaum yang sedia ada.
Pada 23 dan 24 April, Encik Noor Deros, membuat beberapa kenyataan.
Ini termasuk bahawa hanya Parti Pekerja (WP) yang mengambil serius tuntutannya dan beliau akan mengundang masyarakat Islam di Singapura untuk mengundi WP sekiranya parti itu bersetuju dengan tuntutannya.
Beliau turut memaparkan calon Melayu/Islam WP di GRC Tampines, Encik Faisal Manap, sebagai lebih lantang dalam memperjuangkan isu masyarakat Melayu/Islam, berbanding calon parti pemerintah, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Ini di samping mengulangi gesaan bagi penduduk Tampines mengundi Encik Faisal.
Encik Noor Deros juga berkata beliau telah bercakap dengan kesemua calon Melayu WP.
Calon Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Damanhuri Abas, telah cuba mendapatkan sokongan berdasarkan garis perkauman, kata Encik Shanmugam.
Pada satu acara SDP, Encik Damanhuri menuduh Anggota Parlimen (AP) Melayu Parti Tindakan Rakyat (PAP) gagal mewakili masyarakat Melayu.
Beliau mendakwa lebih ramai AP Melayu pembangkang diperlukan untuk mengutarakan isu-isu berkaitan masyarakat Melayu di Parlimen.
Dalam wawancara yang dimuat naik di media sosial, Encik Damanhuri menyatakan isu-isu yang dihadapi masyarakat Melayu belum dihuraikan sepanjang 60 tahun lalu di bawah pemerintah PAP.
Beliau menyeru pengundi Melayu agar tidak mengundi PAP, menggambarkan ia sebagai satu isu menegakkan maruah Melayu.
Dalam satu podcast berasingan, Encik Damanhuri turut berkata meritokrasi diamalkan secara memilih.
Hujahan beliau itu diulangi dalam bahasa Melayu semasa berucap di Rapat Pilihan Raya.
Parti Islam SeMalaysia (PAS) – sebuah parti politik Islam di Malaysia yang secara berterusan mendorong agar undang-undang dan hukuman syariah diamalkan – mengambil kesempatan dan menggesa rakyat Singapura mengundi berdasarkan garis perkauman dan agama dalam GE2025.
Bendahari Agung PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, telah meluahkan sokongan kepada anggota WP, yang juga calon GRC Tampines, Encik Faisal Manap, selain berkongsi beberapa hantaran lain yang menyokong ahli politik pembangkang lain dalam kalangan masyarakat Islam.
Secara berasingan, Ketua Pemuda PAS Selangor, Encik Mohamed Sukri Omar, pula memuat naik semula satu hantaran media sosial yang menyatakan AP Melayu/Islam PAP tidak boleh dipercayai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg