Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiapa Ahmad Firdaus Daud, peguam yang ambil alih Faishal Ibrahim di Kembangan?
Peguam, Encik Ahmad Firdaus Daud, bakal mengambil alih tanggungjawab akar umbi mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di Kembangan mulai 1 September.
Berikut tujuh perkara mengenai Encik Firdaus, 42 tahun, yang aktif dalam kerja masyarakat dan akar umbi.
1. Jadi penasihat kedua di Punggol selepas GE2025
Encik Firdaus merupakan calon simpanan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Selepas GE2025, beliau dilantik sebagai penasihat kedua bagi pertubuhan akar umbi di Punggol di bawah Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dan terlibat dalam kerja akar umbi di kawasan tersebut.
Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights, berkata Encik Firdaus akan terus memegang jawatan sebagai penasihat kedua di Punggol buat sementara waktu, tetapi akan melepaskan peranan itu untuk memberi tumpuan kepada Kembangan.
2. Berucap di Persidangan PAP pada 2025
Encik Firdaus merupakan antara empat aktivis yang menyampaikan ucapan di majlis Anugerah dan Persidangan PAP pada 9 November 2025.
Bapa dua anak itu berucap tentang kekuatan masyarakat Melayu/Islam yang dipaparkan menerusi semangat ‘kita’ bukan ‘kami’, serta menerima kepelbagaian tanpa mengira latar belakang sesiapa.
3. Aktif sebagai relawan dalam pelbagai pertubuhan
Encik Firdaus menabur bakti dalam pelbagai pertubuhan termasuk sebagai anggota lembaga Pro Bono SG, Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA) Singapura, serta anggota Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) Masjid Al-Amin di Telok Blangah.
Beliau juga aktif sebagai relawan Roses of Peace, satu inisiatif untuk memupuk keharmonian sosial dan kepercayaan antara pelbagai kumpulan kaum dan agama.
Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Majlis Pusat, serta anggota Jawatankuasa Pengumpulan Dana bagi Dana Amanah Pendidikan (ETF), jawatankuasa SG50Kita, Suara Musyawarah dan Young AMP.
4. Suarakan keprihatinan masyarakat mengenai Gaza
Pada November 2023, Encik Firdaus menulis artikel yang menyuarakan pandangannya mengenai tindakan Israel di Gaza yang tidak seimbang.
Mengulas tentang apa yang berlaku di Gaza, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, waktu itu, berkata Israel mempunyai hak untuk mempertahan diri namun ini tidak bermakna boleh membunuh orang awam sembarangan atau menyebabkan pemindahan seluruh penduduk secara beramai-ramai.
Encik Shanmugam juga menarik perhatian tentang tulisan Encik Firdaus yang disifatkan sebagai wajar dibaca.
Encik Firdaus turut menjadi salah seorang anggota panel dalam perbincangan panel mengenai konflik Israel-Palestin anjuran Berita Harian (BH) dan unit maklum balas pemerintah, Reach, pada November 2023.
5. Bangkit jadi peguam setelah alami kesusahan
Dalam satu wawancara dengan BH pada 2017, Encik Firdaus menceritakan keluarganya pernah dilanda kesempitan wang.
Ayahnya diberhentikan kerja dan bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, mengalami kerugian pula dalam satu pelaburan hartanah.
Namun, beliau terus memburu cita-citanya dan berjaya mengukir kerjaya sebagai peguam, dengan pengkhususan dalam bidang undang-undang teknologi.
6. Muncul sebagai antara mahasiswa terbaik SMU
Beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Tanjong Katong dan Maktab Rendah Saint Andrew’s dan mempunyai ijazah Sarjana Muda Sains (Pengurusan Sistem Maklumat) daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
Beliau juga meraih anugerah Magna Cum Laude yang disampaikan kepada antara 35 peratus mahasiswa terbaik universiti itu.
7. Mulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam
Selepas tamat pengajian, bekas Presiden Persatuan Pelajar SMU itu menyertai perkhidmatan awam, mula-mula dengan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan kemudian dengan Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS) waktu itu.
Encik Ahmad Firdaus mengubah haluan kerjayanya dengan menjadi peguam, selepas beliau berjaya menamatkan program Doktor Juris (JD) di Sekolah Undang-Undang SMU yang membolehkan karyawan pertengahan kerjaya menjalani pengajian menjadi peguam.
