Topik diikuti
Pergi ke BHkuWakil akar umbi mungkin dikerah penuhi kekosongan Faishal di Marine Parade
Wakil akar umbi mungkin dikerah penuhi kekosongan Faishal di Marine Parade
Penduduk lahirkan harapan, penganalisis tidak tolak kemungkinan; meskipun pasukan AP sedia ada mampu penuhi keperluan penduduk
Wakil akar umbi mungkin dikerah penuhi kekosongan Faishal di Marine Parade
Para penduduk Melayu di kawasan undi Kembangan, GRC Marine Parade-Braddell Heights (MP-BH), berkata kehadiran pemimpin Melayu di kawasan undi itu bagi mewakili dan menyuarakan keprihatinan, selain lebih memahami amalan budaya dan agama mereka, adalah sesuatu yang dialu-alukan.
Ini meskipun para penduduk menekankan bahawa Anggota Parlimen (AP) sedia ada di GRC tersebut mampu memenuhi keperluan mereka.
Demikian berdasarkan satu tinjauan rambang Berita Harian (BH) ke atas para penduduk di Kembangan pada 27 Julai.
Peguam dan naib pengerusi cawangan Punggol North Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Ahmad Firdaus Daud dalam satu hantaran di Facebook pada 26 Julai, berkongsi beliau telah meluangkan masa di Kelab Masyarakat Mountbatten berinteraksi dan berbual dengan pemimpin akar umbi Melayu dan bakal pemimpin dari seluruh negara.
Kelab Masyarakat itu terletak di Jalan Satu, sebahagian daripada SMC Mountbatten, namun ia dikendalikan oleh Majlis Bandaran MP-BH.
Hantaran tersebut telah menimbulkan spekulasi bahawa seorang pemimpin Melayu, seperti Encik Ahmad Firdaus, akan dikerah parti pemerintah ke GRC MP-BH, susulan peletakan jawatan mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang merupakan AP kawasan undi Kembangan.
Para pengamat yang ditinjau juga tidak menolak kemungkinan seorang pemimpin Melayu akan dikerahkan bagi memastikan suara penduduk Melayu terus diwakili.
Menurut mereka, kehadiran penasihat dan wakil Melayu membawa nilai simbolik yang lebih besar, memandangkan pusat budaya utama bagi masyarakat Melayu/Islam, seperti Geylang Serai, terletak dalam GRC tersebut.
Menjawab pertanyaan BH mengenai hantarannya itu, Encik Ahmad Firdaus berkata kelab masyarakat berkenaan menjadi lokasi sesi anjuran Persatuan Rakyat (PA) yang menghimpunkan pemimpin akar umbi dan bakal sukarelawan.
“Tujuan sesi ini adalah untuk berkongsi tentang peranan yang dimainkan PA dan bagaimana kami memerlukan lebih ramai wakil akar umbi masyarakat Melayu.
“Kelab Masyarakat Mountbatten menjadi tuan rumah bagi sesi tersebut,” katanya.
Encik Ahmad Firdaus turut menekankan tumpuan beliau kepada Punggol, sambil berkata tiada pengumuman dibuat untuk menandakan wakil baharu bagi GRC MP-BH, mahupun ada sebarang perancangan sedemikian.
“Saya rasa belum ada sebarang pengumuman tentang siapa yang mungkin akan datang untuk membantu empat AP sedia ada berkhidmat kepada penduduk di Kembangan, atau jika ada sebarang perancangan sedemikian.
“Tumpuan saya adalah untuk berkhidmat kepada penduduk Punggol sebagai Penasihat Kedua kepada pertubuhan akar umbi Punggol GRC dan Penasihat M³@Punggol,” kongsi beliau kepada BH.
Isu berhubung perwakilan Melayu di GRC Marine Parade-Braddell Heights timbul sebagai topik perbualan selepas Pengerusi PAP, Encik Desmond Lee, menyatakan bahawa tiada pilihan raya kecil akan diadakan susulan peletakan jawatan politik Dr Faishal.
Encik Lee yang juga Menteri Pendidikan berkata pada 20 Julai bahawa AP sedia ada akan menjaga kebajikan penduduk Kembangan.
Beliau menambah, perancangan lanjut tentang bagaimana pasukan tersebut akan diperkukuh akan diumumkan dalam masa terdekat.
Dr Faishal melepaskan semua jawatan politik berikutan satu ‘kesilapan pertimbangan’ dalam mengendalikan interaksinya dengan seorang wanita.
Pasukan AP GRC itu diterajui Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng; Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming; Cik Tin Pei Ling; dan Cik Diana Pang.
Semasa tinjauan BH di Pusat Penjaja Makanan dan Pasar Eunos Crescent, sebilangan penduduk yang ditemui berkongsi harapan mereka sekiranya seorang pemimpin Melayu boleh ditugaskan di kawasan undi tersebut.
Encik Muhammad Yahya, yang menetap di Eunos sejak 2000, berkata kehadiran pemimpin itu memudahkan penduduk menyuarakan isu khas yang dihadapi golongan Melayu/Islam.
“Terdapat sebilangan penduduk Melayu di sini, khususnya golongan warga emas, yang lebih selesa berbual dalam bahasa Melayu.
“Jadi, kehadiran AP Melayu mampu memudahkan penduduk meluahkan kebimbangan serta mengurus keperluan harian,” kata pesara berusia 76 tahun itu.
Isterinya, Cik Kamisah Salleh, 70 tahun, berkongsi sentimen itu, sambil menambah bahawa kehadiran pemimpin Melayu di kawasan itu juga boleh memberi “perasaan” bahawa penduduk Melayu/Islam di situ diwakili.
Seorang lagi penduduk Eunos sejak 1997, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Al-Atiq, berkata:
“Pemimpin atau penasihat Melayu dapat menyantuni penduduk Melayu/Islam dengan cara berbeza.
“Mungkin, ia lebih mudah untuk mereka memahami keperluan dan masalah khas masyarakat Melayu/Islam dengan lebih terperinci.”
Beliau, yang bertugas sebagai pemandu teksi, menambah bahawa kawasan itu juga mempunyai ramai penduduk Melayu, terutama kerana ia berhampiran Geylang Serai.
Bekas jurutera berusia 60 tahun, Encik Abdul Halim Ismail, berkata:
“Dr Faishal memang aktif turun padang untuk mendekati penduduk, jadi saya rasa adalah perkara lumrah untuk penduduk Melayu tercari-cari kehadiran serta kepimpinan AP Melayu.”
Meskipun akur mungkin terlalu awal untuk membuat andaian, namun para penganalisis politik tidak menolak kemungkinan seorang pemimpin Melayu daripada parti pemerintah dikerah ke GRC tersebut dalam masa terdekat.
Zamil Penyelidik Kanan, Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya, berkata kehadiran wakil Melayu baharu atau bakal pelapis Dr Faishal di GRC itu, boleh memulihkan perwakilan minoriti, mengekalkan jambatan budaya penting untuk masyarakat Melayu/Islam, serta meneruskan semula rangkaian hubungan akar umbi setempat, susulan peletakan jawatan Dr Faishal.
“Kehadiran perwakilan khusus Melayu di peringkat akar umbi dalam sesebuah GRC memastikan kepimpinan masyarakat yang peka terhadap budaya, menyediakan saluran langsung untuk menyuarakan kebimbangan golongan minoriti, serta memenuhi rangka kerja tadbir urus berbilang kaum yang dihasratkan melalui skim GRC,” kata Dr Faizal.
Dari segi penglibatan masyarakat dan kepercayaan pula, pemimpin atau penasihat minoriti tempatan boleh memahami unsur budaya dan agama dengan lebih baik, sekali gus membantu merapatkan jurang komunikasi antara pertubuhan akar umbi dengan masyarakat Melayu/Islam, tambahnya.
“Ini memudahkan pemberian nasihat untuk masyarakat dan pengendalian yang lebih berempati terhadap isu khusus berkaitan kebajikan sosial atau keluarga yang unik bagi isi rumah minoriti,” katanya.
Profesor Madya Eugene Tan daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) turut sependapat dengan manfaat mengerahkan wakil Melayu di kawasan undi itu.
“Menyusuli jurang yang wujud setelah Dr Faishal meletakkan jawatannya, ia sememangnya kritikal dan mendesak untuk PAP bukan sahaja mengerahkan seorang atau lebih wakil Melayu ke GRC MP-BH dengan segera.
“Malah memastikan wakil yang dikerah berupaya mendekati serta meraih kepercayaan dan keyakinan, bukan sahaja daripada pengundi Melayu bahkan juga pengundi lain,” kata Profesor Tan.
Beliau turut akur bahawa sesiapa sahaja yang dikerahkan ke GRC itu juga perlu berkhidmat kepada masyarakat luas, dan bukan sahaja masyarakat Melayu/Islam.
Sementara itu, langkah mengerahkan wakil Melayu di GRC itu juga penting untuk memastikan kawasan simbolik masyarakat Melayu itu terus diwakili dengan baik.
Profesor Tan berkata: “PAP tiada pilihan selain mengerahkan seorang atau lebih penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Melayu ke GRC berkenaan.
“Terdapat nilai simbolik yang besar pada GRC tersebut memandangkan ia merangkumi Geylang Serai, yang dilihat dan dianggap sebagai nadi sosial, sivik dan budaya bagi masyarakat Melayu.”
Pengarah Pengasas, Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib, juga menekankan bahawa kawasan Kembangan dan Geylang Serai mempunyai penduduk Melayu yang ketara serta merupakan kawasan Melayu yang simbolik.
Secara umumnya, beliau berpendapat keperluan penduduk Melayu secara umum boleh dilakukan oleh AP Melayu sedia ada, termasuk Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
Namun, tenaga pemimpin akar umbi Melayu boleh dikerahkan untuk membantu keperluan penduduk dalam memenuhi keperluan seharian, termasuk Sesi Bertemu Penduduk (MPS).
Beliau menarik perhatian bahawa tugas menyokong penduduk Melayu dalam hal harian tidak semestinya perlu bergantung kepada satu wakil sahaja.
“Ini boleh dilakukan dengan menggembleng tenaga dan kekuatan kepimpinan akar umbi Melayu secara bersama.
“Kita tidak harus bergantung kepada seorang tokoh sahaja.
“Ini juga akan memberi penilaian sekuat mana jentera akar umbi Melayu dan jika kurang, untuk AP Melayu lainnya memikirkan bagaimana memperkuatkannya.
“Apa yang paling penting adalah keperluan penduduk terjaga dan mereka merasakan ada pemimpin Melayu di akar umbi yang boleh mereka dekati dan meminta bantuan, untuk masalah seharian berkaitan kawasan itu,” jelas Encik Imran.
“
“Terdapat sebilangan penduduk Melayu di sini, khususnya golongan warga emas, yang lebih selesa berbual dalam bahasa Melayu. Jadi, kehadiran AP Melayu mampu memudahkan penduduk meluahkan kebimbangan serta mengurus keperluan harian.”“
“Kehadiran perwakilan khusus Melayu di peringkat akar umbi dalam sesebuah GRC memastikan kepimpinan masyarakat yang peka terhadap budaya, menyediakan saluran langsung untuk menyuarakan kebimbangan golongan minoriti, serta memenuhi rangka kerja tadbir urus berbilang kaum yang dihasratkan melalui skim GRC.”“
“Apa yang paling penting adalah keperluan penduduk terjaga dan mereka merasakan ada pemimpin Melayu di akar umbi yang boleh mereka dekati dan meminta bantuan, untuk masalah seharian berkaitan kawasan itu,”“
“Saya rasa belum ada sebarang pengumuman tentang siapa yang mungkin akan datang untuk membantu empat AP sedia ada berkhidmat kepada penduduk di Kembangan, atau jika ada sebarang perancangan sedemikian. Tumpuan saya adalah untuk berkhidmat kepada penduduk Punggol sebagai Penasihat Kedua kepada pertubuhan akar umbi Punggol GRC dan Penasihat M³@Punggol.”