Sistem meritokrasi Singapura tidak sempurna tetapi para Anggota Parlimen (AP) harus memberikan cadangan alternatif dan saranan khusus tentang bagaimana masyarakat boleh memperbaikinya, kata Encik Xie Yao Quan (SMC Jurong Central).
Akur bahawa Singapura “boleh melakukan lebih baik” lagi, Encik Xie berkata AP harus memberi tumpuan kepada cara memperbaiki meritokrasi supaya ia sesuai untuk tujuannya dan memberi manfaat kepada rakyat Singapura kini dan pada masa hadapan.
Encik Xie berkata demikian sebagai respons kepada soalan Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied) yang bertanya sama ada beliau berpuas hati dengan sistem meritokrasi Singapura kini, dan jika beliau bersetuju ujian sebenar sistem itu ialah sama ada ia memupuk mobiliti sosial.
“Adakah saya berpuas hati dengan keadaan meritokrasi di Singapura? Sudah tentu, kita boleh lakukan dengan lebih baik.
“Dalam semangat perbahasan yang membina di Dewan ini, mari kita beri tumpuan pada cadangan alternatif dan saranan khusus tentang cara kita boleh meningkatkan meritokrasi,” kata Encik Xie.
Encik Fadli telah meminta penjelasan berdasarkan ucapan Encik Xie, yang beliau sampaikan dalam bahasa Melayu.
Dalam ucapannya itu, beliau telah menyebut bahawa dalam mana-mana sistem meritokrasi, akan sentiasa ada golongan yang berada di hadapan, dan ada pula golongan masyarakat di belakang.
Semasa ucapannya sebagai respons kepada Amanat Presiden, Encik Xie berkata walaupun sistem meritokrasi Singapura tidak sempurna, ia kekal sebagai prinsip utama dalam membina keharmonian sosial dan mencapai kejayaan sebagai satu rakyat yang bersatu.
Beliau menambah bahawa sistem meritokrasi di Singapura telah dibina selama bertahun-tahun dan mesti diteruskan bagi memastikan ia dapat memberi manfaat kepada semua orang dan menjadikan kehidupan lebih baik untuk semua rakyat.
Dalam mana-mana sistem meritokrasi sekalipun, ujar Encik Xie, kemungkinan akan ada yang “berada di hadapan, dan ada yang mungkin berada di belakang”.
Justeru, untuk maju, beliau berkata semua rakyat perlu “berada di tangga bergerak ini” agar sistem meritokrasi dapat berlaku.
Dalam responsnya kepada Encik Fadli, Encik Xie menekankan ramai AP dalam Dewan telah bersuara dengan penuh semangat untuk golongan yang ketinggalan, dan mengingatkan beliau bahawa tiada pihak yang mempunyai rasa belas kasihan lebih daripada yang lain.
“Tiada siapa yang mempunyai monopoli dalam belas kasihan. Kita semua mengambil berat dan bersuara dengan penuh semangat tentang mereka yang ketinggalan.
“Kedua-dua belah Dewan pada penggal Parlimen yang lalu dan sekarang, telah membuat kritikan mengenai meritokrasi kita dan mencadangkan cara untuk meningkatkan meritokrasi kita,” tambah Encik Xie.
Awal minggu ini, Encik Fadli telah bertikam lidah dengan Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang) berhubung isu meritokrasi. – ANWAR SALEH
“
Adakah saya berpuas hati dengan keadaan meritokrasi di Singapura? Sudah tentu, kita boleh lakukan dengan lebih baik. Dalam semangat perbahasan yang membina di Dewan ini, mari kita beri tumpuan pada cadangan alternatif dan saranan khusus tentang cara kita boleh meningkatkan meritokrasi.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg