Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP bahas erti ‘Kita Dahulu’, seru tingkat sokongan lebih luas bagi rakyat

Usaha bina negara satu padu, terangkum dan siap hadapi masa depan
Sep 25, 2025 | 9:16 PM
GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi
Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi. - Foto MDDI

Membina negara bersatu padu, terangkum dan bersedia untuk masa depan, sambil menekankan perpaduan sosial yang lebih kukuh, peluang untuk semua dan lebih banyak sokongan untuk golongan muda, warga emas dan golongan rentan.

Demikian antara gesaan yang dibuat 21 Anggota Parlimen (AP) daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja (WP) pada 25 September di Parlimen, iaitu hari keempat perbahasan sebagai respons kepada Amanat Presiden.

Mereka turut menyeru agar lebih banyak usaha dapat dilakukan bagi menangani ketidaksamaan kekayaan, memelihara identiti nasional, menggalak semangat sukarela dan mengimbangi kemajuan ekonomi dengan empati.

Dr Syed Harun Alhabsyi (GRC Nee Soon) menekankan kepentingan ‘Kita Dahulu’ sebagai nilai teras bagi rakyat Singapura, kerana ia mengukuhkan perpaduan sosial, daya saing ekonomi dan memupuk masyarakat yang dipacu nilai.

Beliau menegaskan etos ‘Kita Dahulu’ bukan sekadar inisiatif pemerintah tetapi tanggungjawab bersama yang penting untuk kejayaan Singapura dan kebolehpercayaan sejagat.

Beliau menekankan keperluan mereka bentuk kurikulum sekolah bagi memupuk perpaduan sosial, melalui kurikulum sekolah, cara estet perumahan dirancang serta melalui pelbagai program di tempat kerja atau dalam masyarakat.

“Kita mesti membenarkan interaksi sosial yang berbeza sentiasa berlaku dan menggalakkan peluang berbeza untuk bertemu,” kata Dr Syed Harun.

“Ia tidak bermakna kita mesti selalu bersetuju tetapi apabila kita tidak bersetuju, kita harus melakukannya dengan hormat, dan dengan hasrat untuk sama-sama mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua dan kebaikan yang lebih besar.”

Dr Syed Harun turut mengetengahkan peri pentingnya memupuk masyarakat penyayang, dipacu nilai, dengan empati dan keprihatinan terhadap orang lain kekal penting.

Beliau menonjolkan usaha sedia ada oleh masyarakat Melayu/Islam, seperti Projek Dian, Wakaf Masyarakat, Subsidi Yuran Pengajian Tinggi dan sumbangan masyarakat yang dikumpul untuk membantu golongan memerlukan dan mereka yang terjejas di Gaza sebagai contoh bagaimana masyarakat mengikut etos, ‘Kita Dahulu’.

“‘Kita Dahulu’ sebenarnya berakar kukuh dan berdaya tahan lama dalam masyarakat kita.

“Inilah kekuatan kita sebagai masyarakat, dan ia adalah sesuatu yang harus kita terus pupuk, perkuatkan dan bangunkan bersama di Singapura,” katanya.

Sementara itu, AP WP, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik (GRC Sengkang), dalam ucapan sulungnya di Parlimen, berucap mengenai tiga bidang utama sokongan untuk rakyat Singapura – perumahan, pemulihan dan pendidikan.

Mengenai pemilikan rumah, beliau menekankan cabaran yang dihadapi terutama oleh keluarga berpendapatan rendah, dan mengusulkan memperluaskan flat sewa awam dan mempertimbangkan dinamik keluarga dalam permohonan sewa.

“Saya mengakui pemerintah telah terus berkembang untuk menambah baik akses perumahan bagi rakyat Singapura, termasuk projek perintis baru-baru ini.

“Bagaimanapun, lebih banyak perlu dilakukan untuk membantu kumpulan tertentu yang terjejas secara tidak seimbang oleh bekalan perumahan,” kata Encik Muhaimin.

Mengenai pemulihan dadah pula, Encik Muhaimin menekankan keperluan sokongan menyeluruh selain usaha penguatkuasaan, termasuk kaunseling dan bantuan pekerjaan.

Dalam aspek pendidikan, beliau menggesa Kementerian Pendidikan (MOE) menjejaki kadar tamat pengajian universiti tahunan mengikut etnik untuk lebih memahami hasil pendidikan merentas masyarakat.

Beliau turut meminta data terperinci mengenai peratusan orang Melayu berpendapatan rendah yang berjaya ke universiti dan bilangan pelajar Melayu yang memohon Subsidi Yuran Pengajian Tinggi Mendaki sejak sedekad lalu.

“Kita mesti membenarkan interaksi sosial yang berbeza sentiasa berlaku dan menggalakkan peluang berbeza untuk bertemu. Ia tidak bermakna kita mesti selalu bersetuju tetapi apabila kita tidak bersetuju, kita harus melakukannya dengan hormat, dan dengan hasrat untuk sama-sama mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua dan kebaikan yang lebih besar.”
Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi.

“Saya mengakui bahawa pemerintah telah terus berkembang untuk menambah baik akses perumahan untuk rakyat Singapura, termasuk projek perintis baru-baru ini. Bagaimanapun, lebih banyak perlu dilakukan untuk membantu kumpulan tertentu yang terjejas secara tidak seimbang oleh bekalan perumahan.”
Anggota Parlimen GRC Sengkang, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik.

“Kita mesti lakukan lebih banyak usaha lagi dan mengusahakannya di luar sokongan sedia ada agar manfaatnya dapat diberikan kepada lebih banyak keluarga. Tahun-tahun penting seorang anak tidak hanya berakhir selepas kelahirannya. Ibu bapa memerlukan masa, kelenturan dan sokongan sepanjang tempoh usia si anak sebagai kanak-kanak dan sewaktu persekolahan.”
Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Changi, Cik Valerie Lee.

“Kita harus beri bantuan, bukan sahaja kepada golongan yang dijaga, malah kepada penjaga itu sendiri. Sama seperti kita melabur dalam penjagaan kesihatan untuk mencegah penyakit, kita mesti melabur dalam kesejahteraan kerana apabila penjaga dijaga, mereka yang dijaga dapat meraih manfaatnya.”
Anggota Parlimen GRC Bishan–Toa Payoh, Cik Elysa Chen.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg